Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Saturday, January 31, 2009

Lebih 1,500 orang banjiri ceramah PAS di Mesir

PAS LANCAR PROGRAM MEM ‘PAS’ KAN MAHASISWA karya Faizal Sabhon

Anda yang mahu membaca karya beliau sila sahaja paut ke laman ini. Mari lihat PRO DAN KRONTA.


Lebih 1,500 orang mahasiswa banjiri ceramah Presiden PAS


KAHERAH, Mesir 31 Januari – Lebih daripada 1,500 orang mahasiswa yang sedang menuntut di Mesir menghadiri ceramah umum yang disampaikan oleh YB Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang diadakan di Dataran Hayyu Asyir, Kaherah, Mesir.

Program yang bermula pada jam 9.00 malam itu diselesaikan dalam jangka masa 2 jam 45 minit.
“Di dalam kedinginan malam dengan suhu dianggarkan kurang daripada 10 darjah celcius, seluruh mahasiswa Mesir turun membanjiri tapak ceramah”, kata Tarbus Merah.

Program di bawah anjuran Yayasan Amal Malaysia dan Muslim Care merupakan program pertama terbesar di Dataran Hayyu Asyir, Kaherah pada tahun 2009 ini. Ia membuka tirai 2009 dengan program ceramah sebegini.

Kehadiran Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang diserikan dengan kedatangan YB Salehuddin Ayub (Ketua Pemuda PAS), dan 9 orang Ahli Parlimen daripada PAS.

“Kedatangan mereka ke Mesir adalah khusus untuk mengadakan misi kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang telah menimpa musibah semenjak sebulan yang lalu. Kita berbangga dengan usaha pihak-pihak kerajaan, NGO dan parti-parti politik di dalam membantu rakan seakidah kita.”

Program tersebut mendapat perhatian walaupun di dalam keadaan cuaca yang dingin.

Tamat

shoot dari belakang memang tidak mendapat kepuasan

LAPORAN OLEH TARBUS MERAH

Almaklum, tatkala diberitakan bahawa seorang pemimpin sayap kiri negara akan mengadakan satu ceramah umum, saya jadi panas-panas punggung.

Seingat saya, Tuan Guru Presiden baru turun ke Mesir baru-baru ini. Tetapi selepas terfikir bahawa kehadirannya bersama rombongan atas satu dasar iaitu ke sempadan Palestin di Rafah untuk menjalankan misi kemanusiaan, saya tiba-tiba tidak menghiraukan keadaan itu.

Dalam cuaca sejuk dan dingin ini sebenarnya, saya tidaklah beria-ia untuk hadir. Namun, setelah berfikir rasional dan mahu merasai kehangatan majlis, saya gagahkan juga untuk hadir.

Saya tiba agak lewat. Namun, majlis belum bermula. Semua mahasiswa sudah berkumpul di Dataran Hayyu Asyir, Kaherah bagi mendengar amanah yang bakal disampaikan oleh Presiden PAS sendiri.

Dalam cuaca dingin tersebut, dengan kapasiti saya seorang manusia yang bertubuh kecil tanpa memakai pakaian sejuk, saya gagahkan juga mencari tempat untuk memenuhi ruang dataran.

Selepas hampir 10 minit duduk di tapak lokasi, pengerusi majlis telah pun mendengarkan salamnya kepada hadirin yang berada di dalam majlis.

Saya ralit mendengar amanat yang disampaikan. Dengan hanya memegang senaskhah novel karya Faisal Tehrani, saya tidak mencatat apa-apa pada malam itu.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Dr. Mujahid Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar), dan disusuli Dr. Dzulkifli Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor).

Yang menariknya, saya agam metah mendengar ucapan daripada Dr. Dzulkifli. Entah kenapa saya amat tertarik dengan ucapan dan intonasi, gaya bahasa yang disampaikan oleh Ahli Parlimen ini. Sungguh tidak dijangka, ada seorang Ahli Parlimen PAS yang mampu bertutur lagak seorang sasterawan negarsa, Dato’ A. Samad Said. Walaupun suaranya langsung tidak sepicing pun, tetapi saya tanggap bahawa gemersik itu cukup memadai.

Kemudian, YB Dr. Hatta Ramli (Bendahari PAS) selaku Ahli Parlimen Kuala Krai mengambil tempat untuk berceramah. Disusuli oleh seorang tokoh wanita muslimah PAS, YB Dr. Lo’ Lo’ Ghazali (Ahli Parlimen Titiwangsa).

Kehangatan majlis dengan kedinginan malam sesekali dicuit sindir ala-ala satira oleh Dr. Lo’ Lo’ Ghazali dengan katanya, “awak sendiri yang mahu memilih duduk di dataran dengan suhu semacam ini.”

Majlis pada malam yang ditunggu itu akhirnya didakap peluang keemasan oleh YB Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat). Barangkali ruang YB terbatas untuk berucap, tetapi gementar dan gejolak jiwa pemuda-pemuda (mahasiswa) yang mahukan semangat seorang pemimpin muda seperti YB ini juga saya rasai.

Majlis yang dipengerusikan oleh YB Mohd Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap) tersebut diakhiri dengan ceramah umum oleh YB Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Biarpun, YB Tuan Guru Nampak letih selepas pulang daripada Rafah, tetapi semangat menyampaikan mesej Islam kepada seluruh mahasiswa Al-Azhar di Mesir benar-benar menyucuk-nyucuk jiwa yang gersang ini.

Terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan majlis.

Tambahan :
Saya bukan penganjur, tetapi saya anggap majlis ini amat bermakna kerana mempertemukan saya dengan beberapa aktivis politik yang belum pernah ditemui.

Orang-orang kerajaan, usah salah sangka. Saya juga ralit mendengar ceramah-ceramah umum daripada tokoh kerajaan sebelum ini walaupun ada khabar bahawa tatkala Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang hadir baru-baru ini, hanya lima puluh orang sahaja yang turun mendengar bisikan AM-NO kepada mereka.

Hehehe…

(Syafiq Zulakifli sudah dilabel macam-macam pemikiran)


Thursday, January 29, 2009

Siapa Calon Presiden PMRAM 2009?

Khairul Anuar Ismail, Presiden PMRAM 2008. Adakah masih kekal?

DESAS-desus kepimpinan PMRAM 2008 akan melabuhkan tirai pentadbiran sudah kedengaran. Ini gara-gara pencalonan kepimpinan PMRAM bagi sesi 2009 telah dibuka selama 10 hari bermula 27 November 2008 hingga 07 Disember 2008. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya PMRAM dengarnya akan memaklumkan, senarai calon kepimpinan PMRAM sesi 2009 di dalam masa yang terdekat.

Apapun, sama-sama kita doakan yang terbaik. Apakah tirai kerusi Presiden PMRAM 2009 akan berulang lagi di bawah takhta Ustaz Khairul Anuar bin Ismail? Saya sebagai anggota Badan Pengurus PMRAM yang masih memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung PMRAM pun turut merasai keperitan dan kehangatan.

Tambahan :

1. Dap-Dip-Dup...
Semacam mahu menunggu calon BN atau PAS untuk Pilihanraya Kecil sahaja. :)

2. Ramai orang berkata saya tidak layak menduduki kerusi Presiden. Hehehe. Alhamdulillah.

3. Saya sudah tiga tahun dalam dunia kepimpinan. Mahu kekal untuk tahun keempat? Tidak!


Tuesday, January 27, 2009

SELAMAT HARI LAHIR MAMA

Seorang insan mengajar aku menjadi makhluk Tuhan yang paling mengakrabkan. Dia menilai mana satu hak dan kebatilan. Barangkali Dia pernah memarahiku atas kesilapanku yang lampau.

Dia,
seorang insan yang tidak pernah kenal erti susah sebuah penderitaan. Tidak pernah gusar menghadapi kekecewaan. Tatkala bumi meletakkan nafas, barangkali Dia insan pertama yang ku panggil untuk bersama.

Dia,
seorang insan yang berjihad bukan dengan pedang di tangan. Bukan juga berjuang di dalam medan pertempuran. Barangkali medan yang dilalui amat payah untuk dilakarkan dan dicoretkan.

Dia,
tidak pernah ketawa kerana kegagalanku. Tidak pernah tersenyum kerana kesengsaraanku. Tetapi Dia menangis kerana menyayangiku selalu.

Dia,
bakal mengganti syuhada' di arena kerohanian lahiriah yang tak pernah terfikir oleh mindaku.

Nantikan kami di pintu itu.

Syafiq Zulakifli
Kaherah, Mesir

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN (1964-2009)



Monday, January 26, 2009

BINCANG TENTANG PMRAM


Asrama Rumah Melayu Abbasiah : Milik Siapa?

BUKANKAH kita semua mengetahui bahawa sejarah lampau telah melakarkan bahawa sebidang tanah seluas 2.212 meter persegi telah dihadiahkan oleh Jamal Abdul Nasir, Presiden Mesir pada ketika itu kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) di atas jasa-jasa ahlinya membantu pihak kerajaan Mesir.


Namun, tiba-tiba pada 3 Oktober 2004 bangunan Asrama Rumah Melayu Abbasiah telah bertukar nama kepada Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah. Dimanakah hak orang Melayu pada rumah tersebut? Dimanakah hak PMRAM di atas tanah tersebut.


Mari kita selidiki beberapa nota yang saya kumpulkan.


Surat bertarikh : 30 JUN 1985.


Tuan Penyelia

Asrama Melayu Abbasiah.

Tuan,


Peraturan Asrama 1981


Dengan hormatnya saya menarik perhatian tuan kepada perkara yang tersebut di atas. Sukacita dimaklumkan bahawa peraturan asrama yang digunakan sekarang adalah mengikut peraturan yang dibuat pada tahun 1981 oleh Pengarah JPM yang pertama yang telah dipersetujui oleh Kementerian Pelajaran.


2. Bagi tujuan peraturan ini diketahui oleh semua penghuni asrama sila tuan pamerkan peraturan tersebut di papan iklan asrama. Perhatian tuan juga dirujuk kepada beberapa pindaan yang telah dibuat kepada peraturan-peraturan tersebut dari masa ke semasa dan juga berkuatkuasa peraturan yang telah dijalankan di asrama pada masa ini.


Terima kasih.


“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,


(HAJI MOHAMAD BIN HAJI SHAFIE)


Pengarah,

Jabatan Penuntut Malaysia,

Kaherah.


LAMPIRAN

PERATURAN-PERATURAN ASRAMA PENUNTUT MELAYU MALAYSIA, KAHERAH.


Lihat pada ceraian 1 (1.3)

Tapak bangunan ini diperolehi dari hadiah pihak berkuasa Kerajaan Mesir atas daya usaha dan jasa-jasa ahli-ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.


Lihat pada ceraian 1 (1.6)

Anjung tingkat bawah asrama ini adalah dikhaskan sebagai Pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.


Lihat pada ceraian 2 (2.3)

Dasar pentadbiran Asrama ini diputuskan oleh sebuah jawatankuasa terdiri :

Pengarah JPM

Penyelia Asrama

Pengawai Kebajikan (I) JPM

Pegawai Kebajikan (II) JPM

Juruwati Asrama

Tiga (3) orang wakil PMRAM


Ini adalah isi surat pada 30 JUN 1985. Tiba-tiba dalam tahun 1992, satu notis dikeluarkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.


16 Mac 1992.

Saudara Yang di Pertuan

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

d/a Rumah Melayu

Abbasiah

Kaherah.


Per : NOTIS MENGOSONGKAN PEJABAT PMRAM DI RUMAH MELAYU ABBASIAH

Adalah saya diarah dengan hormatnya memberi notis kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) supaya mengosongkan Pejabat PMRAM yang bertempat di Rumah Melayu Abbasiah, dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat ini.


Sekian, terima kasih.


(HJ AHMAD BIN ISMAIL)

Pengarah

Jabatan Penuntut Malaysia

Kaherah.


Milik siapakah PEJABAT PMRAM SEKARANG?


Friday, January 23, 2009

Galeri Gambar Lawatan ke Hospital dan Cerpen






Ini sebahagian daripada gambar lawatan kami menemui mangsa-mangsa di Hospital Hilal Ahmar, Ramses, Kaherah. Ambil iktibar dan pengajaran daripadanya.

Siapa lagi mahu mendengar rintihan mereka selain daripada kita. Kita yang masih ada kedua-dua belah biji mata, kedua-dua tangan dan kaki harus bersyukur kerana negara kita aman dan damai. Negara Mesir yang menjadi jiran kepada Palestin, adakah bakal diratah oleh tangan-tangan Zionis ini?

TANGISAN AKHIR MUHARAM

Muharam yang menggantikan malam dan siang
dicekik dengan simbol kebinatangan
darah, luka dan kesakitan
hanya sebuah mainan.

Tangisanmu perwira
bukan sebuah syair duka
yang kau lakarkan di alur pipimu
tetapi senjata jihad yang mahal
kerana akan dibeli
oleh syurga yang kekal buat selamanya.

Syafiq Zulakifli

***

Ini karya abang Nazmi Yaakub. Saya sengaja mahu berkongsi dengan teman-teman.

CERPEN : MALAM PERTAMA DI RAFAH
Karya Nazmi Yaakub

CINTA tidak mungkin bersatu, kata mereka.

Betapa tidak benarnya mereka, Rafiah!

Barangkali mereka melihat tembok waja di sempadan yang memisahkan Rafah dan al-Arish, sekali gus mengurungmu di Wilayah Gaza serta membantingkan aku kembali ke Mesir. Lalu cinta kita, tegas mereka, adalah mustahil.

Betapa pesimisnya mereka untuk menyedari cinta mewajarkan kemustahilan. Cinta bukan jisim yang boleh dikepung dalam wilayah dilingkari tembok. Cinta juga bukan jasad yang boleh melantun apabila terlempar ke tembok yang memisahkan dua negara kita.

Kalaupun cinta dapat diamati oleh deria, ia adalah suara.

Seperti suaramu, Rafiah. Pertama kali aku dengar dari balik tembok waja yang tidak mungkin membendungnya daripada terlepas bebas ke langit kita.

Kala itu, kauberbicara dengan adik lelakimu. Tentang jihad dan tentang syahid. Dan aku jadi khusyuk mengutip irama dan nada yang berlagu di lidahmu.

Dari balik tembok itu, kaumenguji adikmu: "Cuba bacakan ayat cinta paling agung di dunia ini?"

Adikmu membaca ayat al-Quran itu, sedikit gugup. Kau pun menyambung bacaannya:

"Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, akan tergamak untuk berkasih-sayang dengan golongan yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, meskipun mereka yang menentang itu ialah bapa, anak, saudara ataupun keluarga mereka," alun kau, serentak sekawan burung melayang dan melintasi tembok sempadan.

Aku mendengar lagi kau menyambung tartil bacaanmu: "Golongan (yang setia) itu, Allah menetapkan iman dalam hati mereka dan memperkuat mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sedangkan mereka kekal di dalamnya. Allah merestui mereka dan mereka pula meredai (serta bersyukur) nikmat anugerah-Nya. Merekalah penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong (agama) Allah itu ialah golongan yang berjaya."

Aku terus memasang telinga tentang riwayatmu: "Ada kisah cinta agung tentang sahabat Rasulullah, Handhalah bin Abu 'Amir."

"Bukankah Handhalah itu sahabat yang meminta izin daripada Rasulullah untuk membunuh ayah kandungnya kerana mengengkari kerasulan Nabi Muhammad dan bersifat hasad terhadap baginda?" Tanya adikmu dengan suara yang teruja.

"Ya, tetapi Rasulullah tidak mengizinkannya berbuat demikian. Riwayat Handhalah adalah kisah pencinta yang agung," balas kau, mendorong aku jadi lebih teruja daripada adikmu.

"Ceritakan kisah pencinta agung itu," pinta adikmu dan aku, serentak. Sudah tentu aku hanya meminta dari relung hati.

"Handhalah menikahi Jamilah binti Abdullah bin Ubay bin Salul dalam keadaan umat Islam di Madinah bersiap sedia untuk keluar berperang. Lalu, beliau meminta izin Rasulullah untuk bersama-sama isterinya pada malam pertama pengantin sebelum berangkat menyertai perang Badar. Keesokan harinya, bersenjatakan pedang yang berkilauan, beliau bertempur dalam perang itu," kata kau dengan nada sedikit tinggi, seolah-olah memancing minat adikmu.

"Sudah tentu Handhalah yang menebas-nebas pedangnya dengan bersemangat, menang dalam peperangan itu," sampuk adikmu.

Aku membayangkan kau tersenyum manis. Di hujung senyum, tergantung semangat jihad. Aku tahu Rasulullah dan sahabatnya memenangi perang Badar itu, tetapi Handhalah menemui syahid.

"Tidak adikku. Handhalah gugur di hujung pedang Abu Sufyan bin Harb," balas kau, tetapi aku tidak menemui sendu di hujung katamu. Juga tiada kecewa pada tingkah suara adikmu. Kalian berdua membesar dengan api jihad tak pernah padam.

"Handhalah syahid!" Tegas adikmu, mengiyakan telahanku.

"Lebih menarik, Rasulullah bersabda baginda melihat malaikat memandikan Handhalah di antara langit dengan bumi sehingga sahabat mendapati ada air menitis daripada kepala jenazahnya," sambung kau dengan nada syahdu yang terbuai di hujung riwayatmu.

Nada itu bagaikan melayang, lalu melintasi tembok sempadan dan hinggap di dadaku. Ia menjadi hujan, menumbuhkan cinta di atmaku.

Ya, syuhada' yang gugur berjihad pada jalan Allah tidak perlu dimandi dan dikafankan, tetapi Handhalah menghunus pedangnya dalam keadaan berjunub selepas bersama-sama isterinya. Aku menyambung riwayat itu dengan pohon cinta tumbuh perlahan-lahan, tetapi pasti di dada.

"Rafiah binti Meshaal! Ayuh, bawa adik lelakimu pulang ke rumah." Ada suara serak wanita mengganggu riwayatmu, tetapi aku tidak kesal kerana dapat mengetahui namamu.

Aku bayangkan kaubangkit sambil membetul-betulkan jilbab hitam yang membalut tubuhmu dan mengemas-ngemas khimar yang menutup rambutmu.

Bermula saat itu, cintaku tumbuh pada gadis bernama Rafiah! Kaulah itu!

Aku mula merisik tentangmu, Rafiah, lewat kaum kerabatku yang menetap di Rafah. Aneh bukan, kita dipisahkan tembok besi dan batu sedangkan kami dengan kalian adalah satu pada darah, bangsa dan agama.

Lewat lisan mereka, aku dapati kau bukan kalangan fellaheen biasa. Keringat keluarga kalian tidak hanya tumpah ketika berbudi pada tanah. Ayahmu, pejuang Hamas yang terbenam dalam penjara bawah tanah Israel tanpa bicara.

Abang sulungmu sudah mengorbankan dirinya untuk membeli syurga Allah kala gugur dalam pertempuran gerila dengan tentera Israel. Bersenjatakan senapang automatik Kalashnikov AK47, abangmu dan pejuang menyerang pos pengawal tentera Israel. Mereka membalasnya bukan saja dengan senapang automatik M16 buatan Amerika Syarikat (AS), bahkan lewat senapang mesin Negev berkeupayaan 800 pusingan perminit (rpm). Serangan itu sempat mencarik tubuh tentera Israel, tetapi hujan peluru mereka turut singgah di tubuh abangmu.

Abang keduamu lebih nekad. Beliau sebahagian Briged al-Qassam dan berbekalkan restu ibu, beliau melilitkan bom di pinggang, lalu meletupkan diri di pos pengawal tentera Israel. Abang keduamu sempat mengirimkan lima tentera Israel ke neraka.

Dunia mungkin saling bertingkah tentang tindakan abang keduamu, tetapi kalian di sana tidak menemukan hujah praktikal untuk berdepan dengan serangan peluru tanpa mata yang menjadi panah api dari langit.

Dari ceritamu kepada adik lelaki itu, nampaknya kau sedang mempersiapkannya sebagai mujahid dalam perjuangan intifadah.

"Seolah-olah keluarga mereka sudah bersumpah untuk menyerahkan saudara lelaki mereka kepada Tuhan," kata kaum kerabatku.

Namun, mereka masih meragukan cinta antara aku di al-Arish dan kau di Rafah. Mereka menggoda aku dengan was-was: "Bagaimanakah kau mahu menanam dan menyiram pohon dari balik tembok? Kau si petani dari Mesir, sedangkan ladangmu di Wilayah Gaza?"

"Suatu hari nanti, tembok itu akan runtuh. Kalaupun ia tidak runtuh, cinta kami pasti mendapat jalan untuk melintasinya," tegasku dengan rahang kukacipkan.

"Kalian terpaksa membuat pilihan yang sukar. Pertama, kau harus membawa Rafiah tinggal di al-Arish, sekali gus memaksa bakal isterimu membiarkan keluarganya meneruskan perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman ganas Israel. Atau kaumengikutinya ke Rafah dan meninggalkan kehidupan yang merdeka kepada perjuangan yang sarat dengan kepayahan," hujah mereka dengan lebih rasional selepas momokan tidak berjaya.

"Bumi dan langit ini hanya satu. Di antara al-Arish dan Rafah hanya ada tembok. Kalau cinta tidak melompatnya, ia pasti merempuhnya," tekad aku sambil menumbuk tapak tangan kiriku.

Menyedari keraguan yang mereka bidik tidak bisa menumbangkan keyakinanku, lalu mereka akur dengan hasrat itu. Mereka meminang kau, Rafiah di Rafah untukku di al-Arish.

Keluargamu menerima peminangan itu dengan reda. Sudah tentu bukan didasarkan kalian tidak mempunyai anggota keluarga lelaki yang dewasa. Keluargamu sudah bisa hidup tanpa kaum lelaki untuk mencari rezeki. Di tangan anggota keluarga wanita pun, kalian masih bisa mencari secebis roti.

Tuhan tentu tidak mempersia-siakan keluarga yang menyerahkan kaum lelakinya pada jalan Allah.

Keluarga aku juga bukan asing daripada perjuangan Palestin. Datukku pernah bersama-sama Yasser Arafat menyeludup senjata dari Mesir, lalu menyusupkannya masuk ke Palestin. Pertumpahan darah sudah tidak terelakkan apabila si bangsat dari Poland, David Ben-Gurion mengisytiharkan penubuhan negara haram, Israel pada 1948. Lalu senjata itulah, kalian gunakan untuk bertempur dengan tentera pengganas Israel yang melakukan pembunuhan dan pengusiran beramai-ramai. Malah, datukku pernah ikut berjuang dalam Perang 1956 bersama-sama pemuda bersemangat Islam yang meresap dalam tentera Mesir cuba menumpaskan tentera Israel.

Ayah sendiri dalam diam, tetapi pasti menggerakkan al-Ikhwan al-Muslimun meskipun dimusuhi tanpa alasan yang benar oleh kerajaan kami. Berbeza dengan datuk yang berjuang lewat senjata, ayah membantu rakyat Palestin khususnya penduduk di sempadan Rafah melalui stetoskop dan picagari. Beliau aktif dalam Kesatuan Doktor Sinai Utara, sekali gus sering melintas sempadan untuk mengirimkan bantuan kemanusiaan dan perubatan.

Justeru, latar keluarga kau dan keluargaku tumbuh pada bumi yang satu dan berteduh di bawah kolong langit yang sama. Dan aku mahu satukan susur galur keturunan kita lewat cinta yang bisa menerobos tembok sempadan al-Arish dan Rafah.

Tanpa visa dan tanpa pasport. Seperti puisi seorang sasterawan dari timur.

Kita terpaksa bertunang lebih lama apabila aku mendapat panggilan kerahan tenaga untuk berkhidmat dalam tentera Mesir selama tiga tahun.

Ada rahmatnya aku menjalani latihan ketenteraan di bawah angkatan tentera yang terkuat di rantau Arab dan benua Afrika itu. Aku senang membidik-bidik antara rifel sniper separa automatik Dragunov SVD dengan Heckler & Koch PSG-1.

Aku akrab dengan latihan menembak tepat kerana ia menuntut kesabaran yang amat tinggi. Bukankah aku sudah diuji untuk bersabar kala cuba membidikmu, Rafiah?

Meski aku menunjukkan prestasi yang tinggi dalam latihan ketenteraan itu, aku memilih untuk tidak kekal dalam dunia ketenteraan. Jiwaku lebih intim dengan al-Arish. Aku mahu mendamping Rafah. Lebih penting mahu mengakrabimu, Rafiah.

Lagipun perjuangan membebaskan negaramu, menuntut aku berada di al-Arish, berhampiran Rafah.

Sekembalinya aku ke wilayah ini, cinta kita diuji lagi. Kali ini lebih genting. Regim pengganas Israel menutup Wilayah Gaza hingga bekalan makanan, ubatan dan minyak khususnya diesel untuk jana kuasa elektrik terhalang.

Kalian di Rafah turut terkepung dalam penjara paling luas di dunia; sepanjang 40 kilometer dan selebar 10 kilometer.

Kau, Rafiah, cintaku dan tunangku, jadi banduan tanpa kesalahan bersama-sama 1.4 juta warga Gaza. Kesalahan kalian hanya kerana memilih Hamas untuk meneruskan hak hidup di bumi sendiri dan kesalahan Hamas kerana memilih untuk memerangi regim Israel setelah mereka merampas bumi kalian, membunuh saudara-mara kalian dan memungkiri perjanjian.

Bukankah mereka mengatakan cinta tidak mungkin bersatu? Kau di Rafah dan aku di al-Arish, lalu di antara kita adalah tembok waja yang memisahkan kita meskipun hakikatnya kita bersatu pada darah, bangsa dan agama.

Namun, cinta bukan jisim yang boleh dikepung atau jasad yang kembali terbanting tetapi cinta adalah kuasa yang bisa menerobos tembok besi baja paling padu sekalipun.

Dalam kepungan itu, kau kirimkan keyakinan kepadaku: Bumi dan langit ini hanya satu. Di antara al-Arish dan Rafah hanya ada tembok. Kalau cinta tidak melompatnya, ia pasti merempuhnya.

Dan cinta memilih untuk merempuhnya. Bukan sekali, bahkan 17 kali lewat letupan yang menumbangkan besi baja sebelum Subuh itu. Di antara Rafah dan al-Arish, cinta jadi bebas untuk melintasinya. Sebebas warga Rafah dan Gaza untuk membeli barang keperluan dari kota kami, Rafiah.

Rafah dan al-Arish sudah bersatu. Justeru kau dan aku juga mesti bersatu. Kita langsungkan perkahwinan ini. Meskipun dalam majlis penuh sederhana.

Lebih penting, aku jadi suamimu, Rafiah. Dan kau jadi isteriku.

Malam tadi, aku jadi petani dari al-Arish yang menyemai benih di ladang gadismu di Rafah. Dinihari ini, kala aku mengucup dahi mulusmu selepas aku beriwayat panjang tentang kisah cinta kita, aku ingin bertanya: "Apakah kau masih mengingati kisah Handhalah yang kauriwayatkan pada adikmu?"

Kali ini tanpa berselindung di sebalik tembok waja itu lagi- aku menyaksikan kau mengangguk, lalu aku cubit dagu tirusmu.

"Panggilan jihad sedang berkumandang, Rafiah. Mereka memerlukan penembak tepat untuk operasi kali ini. Doakan moga-moga aku tidak perlu mengangkat hadas besar ini. Biarlah malaikat memandikan aku di antara langit dengan bumi," pohonku sambil mengucup bibir merahmu.

Dan aku seperti Handhalah, menyandang rifel sniper separa automatik, meninggalkanmu, Rafiah, menuju ke medan jihad.

NAZMI Yaakub, nama pena bagi Mohd Nazmi Yaakub yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, pada 10 Februari 1978 adalah lulusan Sarjana Muda Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar as-Syarif Cawangan Damanhur, Mesir. Cerpen dan puisinya mendapat tempat dalam akhbar dan majalah arus perdana negara ini manakala dua novelnya, Lambaian Huda diterbitkan Creative Enterprise dan Merentas Sungai Sejarah (Dewan Bahasa dan Pustaka). Memenangi hadiah ketiga Peraduan Menulis Novel Alaf Baru 2001 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Hadiah Sastera Penulis Muda Kelantan anjuran DBP Wilayah Timur 2001/2002. Kini berkhidmat sebagai wartawan Berita Harian.

Terkini : LAWAT MANGSA GAZA

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang diketuai oleh Timbalan Presiden, Ustaz Abdul Muizz bin Muhammad telah melawat mangsa-mangsa Gaza di Hospital Hilal Ahmar, Ramses, Kaherah.

Misi kemanusiaan dan menghantar bantuan kepada mangsa merupakan salah satu daripada keprihatinan PMRAM di dalam membantu semua mangsa tragedi berdarah yang telah meragut beribu-ribu umat Islam di bumi Palestin.

Laporan bergambar dan makluman lanjut selepas ini.

Tambahan :
Rombongan kali ini saya ditugaskan sebagai jurugambar dan merakamkan detik-detik bersama semua mangsa di hospital.

Thursday, January 22, 2009

PELAJAR MALAYSIA DI MESIR DI LARANG KE GAZA

Ini adalah pekeliling yang telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah. Untuk membaca seterusnya anda boleh terus ke link http://www.jpmk.info.

PMRAM buat setakat ini mengucapkan terima kasih kepada semua Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa yang telah mengumpulkan sumbangan untuk Gaza kepada pihak PMRAM.

Untuk pengetahuan, kewangan tersebut telah pun disalurkan kepada pihak Jami'iyah Syariiah di Mesir dan akan terus dihantar ke Gaza. Teruskan membantu Gaza dengan menyumbang kepada PMRAM.


Pesta Buku Antarabangsa Kaherah kali ke-41

Kulit buku novel-novel Arab. Anda tertarik membelinya?

Di antara buku yang dijual di tapak pesta

Di luar tapak pesta tahun lalu


Yang ditunggu-tunggu telah tiba. Pesta Buku Antarabangsa Kaherah kali ke-41 telah berlangsung bermula 21 JANUARI hingga 5 FEBRUARI. Teman-teman yang ada kelapangan dan 'duit kocek' lebih bolehlah memborong.

Saya pernah memborong hampir LE 2,000 ketika ekonomi sedang stabil. Namun, kini hanya meninjau buku-buku terbaharu di pasaran.

Seperti yang pernah saya tulis dalam artikel tahun-tahun sudah; apabila anda hendak ke Pesta Buku Antarabangsa Kaherah ini, pastikan anda menulis dahulu buku yang anda ingin beli di rumah. Ini disebabkan, apabila anda tiba di pesta buku ini, anda boleh pitam dan hampir pengsan apabila tidak mencatatnya kerana pesta buku ini adalah yang terbesar.

Kebiasannya, ulama-ulama terkemuka dunia akan datang ke pesta ini bagi menandatangani buku-buku milik peribadi mereka. Waktu itu, berduyun-duyun yang akan turun bersama-sama mendapatkan tandatangan.