OLEH kerana saya anak jati negeri Johor Darul Takzim di samping menetap di daerah Johor Bahru, suka saya menarik perhatian warga Johor amnya sama ada yang berada di Malaysia ataupun di luar negara terhadap Majlis Perasmian Kota Iskandar, Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor yang bakal dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.
Projek Iskandar Malaysia (IM) yang merangkumi beberapa kawasan di negeri Johor (selatan) telah menjadi buah mulut di kalangan pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Isu kuasa tanah dan beberapa lagi pembangunan segitiga ini dijadikan bahan ceritera kerana pelbagai salah tanggap negatif terhadap kewujudan bandar ini.
Dikatakan bahawa bandar Nusajaya dirancang demi memastikan pelabur-pelabur asing dapat menumpukan IM sebagai salah satu pusat pelancongan, perdagangan dan pendidikan yang terkenal di dunia.
Saya menjangkakan bahawa bandar Nusajaya yang telah menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor yang baharu ini setaraf dengan bandar Putrajaya di Kuala Lumpur.
Justeru, sama ada anak-anak Johor yang berada di perantauan ataupun yang sedang menuntut di dalam negara menyedari pembangunan IM ini, saya kurang pasti apakah ia akan memberikan kesan positif atau negatif di kalangan rakyat (generasi muda).
Ramai membicarakan hal komuniti perdagangan negeri Johor yang bakal dikuasai oleh penduduk dan warga Singapura dengan wujudnya bandar tiga segi Iskandar Malaysia ini. Namun, daripada sisi yang berbeza saya berpendapat ada perkara-perkara yang tidak diketahui bakal berlaku di sini nanti.
Sebagai contoh, dikhabarkan akan terbinanya salah satu universiti berorientasikan aero-angkasa demi melahirkan Malaysia sebagai pengeluar produk angkasawan pada masa-masa mendatang.
Namun, adakah bandar baharu Nusajaya ini akan menjadi cerminan kebanggaan untuk warga Johor? Yang penting, isu pembangunan negeri sering sahaja dibualkan oleh masyarakat amnya.
Ulasan