Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Saturday, November 29, 2008

MECD, KPT Lancar Program Usahawan di Mesir

KAHERAH 28 Nov. - Tujuh belas usahawan akan mengambil bahagian pada pameran dan jualan produk, di sini sempena Program Pembudayaan dan Gerak Usahawan di Mesir selama tujuh hari.

Pameran Gerak Usahawan di Pusat Persidangan Antarabangsa Kaherah, Mesir itu yang turut disertai sembilan agensi kerajaan, berlangsung pada 30 November dan 1 Disember ini.

Program anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu akan dilancarkan oleh Timbalan Menteri MECD, Datuk Saifuddin Abdullah.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MECD, Alwi Ibrahim memberitahu, program Gerak Usahawan di Kaherah dan Iskandariah itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar Malaysia di luar negara mengenai sektor keusahawanan dan potensinya bagi mencetuskan minat mereka terhadap sektor itu sebelum tamat pengajian masing-masing.

Mesir ialah negara pertama pelancaran program itu.

"Mereka akan didedahkan mengenai industri berpotensi, peluang pembiayaan dan khidmat nasihat, malah kami membawa wakil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membolehkan pelajar yang sudah sedia menubuhkan syarikat, mendaftarkan syarikat masing-masing," katanya.

Monday, November 24, 2008

MINGGU PENYIASATAN

Minggu ini adalah minggu penyiasatan. Selepas seminggu yang lalu mahasiswa kita 'dipenjarakan' atas alasan yang masih lagi tidak diketahui sehingga kini. Sehingga artikel ini ditulis, sudah lebih 1 minggu 3 orang mahasiswa Malaysia yang ditangkap dan 'dipenjarakan' tidak menemui keputusan muktamad.

Saya bersama Presiden PMRAM, Khairul Anuar Ismail lebih daripada tiga kali berulang alik ke Balai Polis (yang menyimpan mahasiswa kita itu) dan pihak polis masih lagi dengan jawapan yang sama iaitu 'visa mahasiswa telah tamat'.

Mengikut logik akal, seorang mahasiswa (sepatutnya) tidak boleh dikenakan tahanan reman lebih daripada tempoh masa (mungkin 3 hari) kerana alasan visa.

Oleh kerana perkara ini masih lagi di dalam penyiasatan, saya tidak berani membuat pelbagai andaian atau spekulasi berkenaan isu ini.

Almaklum, sebagai mahasiswa yang berada di perantauan, adalah lebih elok menghidupkan visa setelah tamat tempoh. Usah bertangguh sehingga hampir 1 tahun.

Mengapa mahasiswa kita (Malaysia) terlalu rimas membuat visa?

Pertama : Urusan visa bagi Mahasiswa Malaysia hanyalah hari Sabtu sahaja. Kemudian, urusan tersebut juga terpaksa berkejar-kejar serta berhimpit-himpit sesama pelajar Indonesia. Oleh kerana jadual giliran membuat visa pelajar Malaysia dan Indonesia pada hari yang sama, ini makin menyukarkan. Bayangkan sejumlah 4,000 orang pelajar Malaysia dan hampir 3,000 orang pelajar Indonesia ingin membuat urusan dalam masa sehari. Pening atau tidak?

Kedua : Kaunter visa (imigresen) hanya ada 2 sahaja. Oleh yang demikian, fahamlah kita bahawa urusan visa pelajar sememangnya sukar. Paling menghairankan adalah mahasiswa kita diarahkan bertemu dengan pihak polis selepas menghantar borang permohonan visa (terutama di cawangan). Mengapa Malaysia sahaja?

Ketiga : Urusan membuat visa bukan seperti urusan di Malaysia (menggunakan sistem angka giliran). Siapa yang bijak menyelit, dia akan terlebih dahulu mendapat peluang.

Ini adalah beberapa perkara yang menjadi trauma mahasiswa kita apabila ingin berurusan dengan pihak imigresen ketika membuat urusan visa.

Selepas beberapa perkara yang hadir akhir-akhir ini, terbaharu saya didatangi satu perkara 'tertutup' yang memerlukan saya menyiasat perkara ini.

Insya-Allah, selepas ini go to exam pula!

Tambahan :

Saya selalu dipanggil 'pakar bahasa' oleh teman-teman. Ingin saya tegaskan bahawa saya juga masih belajar. Mari lihat ilmu baharu.

1. Imbuhan 'pe-' atau 'per-' (Pelantikan atau pelantikan)

Yang mana satu pilihan anda?

Jawapannya : pelantikan

Pelantikan Badan Pengurus PMRAM adalah di bawah tanggungjawab ahli.

2. Bagi perkataan had, cat, lap, wap (tiga huruf), sekiranya imbuhan ditambah dihadapan makanya, perkataan tersebut perlu ditambah dengan huruf 'e'

Contoh : mengelap, mengehad, mengecat, pengewapan

Sekian.

Orang-orang bahasa lebih bijak daripada saya.



Saturday, November 15, 2008

Imtihan, Berlabuh Dan Kerjaya

Imtihan,Berlabuh,Dan Kerjaya
i
Dihitung-hitung waktu dan masa yang berlalu, kita sudah tiba di pertengahan bulan November. Pastinya peluang, masa dan ruang yang ada untuk ‘bermain-main’ sudah tidak lama. Hanya beberapa minggu lagi (hitung sendiri) peperiksaan semester pertama akan berlangsung. Saya seperti juga rakan-rakan yang lain.
Punyai amanah ilmu yang perlu dipikul. Dalam mengejar kamus kehidupan yang kadang-kadang ada turun naiknya, semangat untuk menjadi seorang mahasiswa yang lengkap dengan role model Islam itu sentiasa menjadi azam yang tersimpul dibenak kalbu.
Barangkali, kita bukan seorang mahasiswa yang hanya polos semata-mata. Dijadikan batu kepada masyarakat. Malah pada tanggapan saya, amat ‘mustahil’ jika graduan daripada lepasan Timur Tengah ini hanya bertenggek-tenggek di tempat yang tidak sepatutnya.Kembali ke titik asal.Untuk semester pertama ini, saya bersama teman-teman akan mengulati beberapa madah. Di antaranya Tafsir Ayat Ahkam, Balaghah dan Adab, Bahasa Inggeris dan Qawaid Feqhiyah. Bukan mudah untuk mudah. Tetapi jikalau sesuatu yang dianggap mudah itu dipermudahkan, nah berikan sahaja hasilnya nanti.
Oleh yang demikian, ini nasihat buat diri dan semua, andai ada ruang yang tidak dipenuhi, maka insaflah. Jika ada peluang yang dimungkiri, bertaubatlah. Dan, andai ada masa yang dicalari, berfikirlah.
Tambahan : Kepada teman-teman yang masih lagi di Malaysia jangan lupa kuliah telah bermula. Tak kan nak datang untuk periksa sahaja. (Kes ‘cemburu’ lihat orang lain pulang lama sangat)
ii
Mac 2008 yang lalu, kali ketiga saya menaiki takhta sebagai seorang pemimpin pelajar. Dan ruang itu masih belum berakhir sehinggalah proses ‘Pencalonan Kepimpinan Badan Pengurus PMRAM 2009’ akan berlangsung. Jika tidak ada halangan yang besar, sekitar satu atau dua minggu daripada sekarang, pencalonan itu akan dibuka.
Maka, berbondong-bondonglah kalian mencalonkan kepimpinan yang baharu. Saya orang lama dan akan juga berlabuh daripada tirai kepimpinan. Cukup! Bas! (Kata arab Mesir) Makanya,ruang itu nanti akan diisi pula oleh generasi baharu yang masih ‘empuk’ umurnya, masih ‘ranum’ kekuatannya. Itu doa saya.
Semenjak dipilih untuk menjawat beberapa taklifan di sini, ramai kalangan kepimpinan saya sendiri telah pulang membawa satu sinar yang baharu di Malaysia. Ada yang sudah bergelar, selebriti (RTM1,ASTRO OASIS, TV9), ada pula yang sudah bergelar seorang pegawai di Jabatan Mufti dan ada pula yang sudah mengisi ruang berkhidmat di Bank Negara Malaysia. Paling istimewa, seorang teman yang punya wawasan sehingga berjaya membuka ‘Al-Hira Learning’ yang menjurus ke dalam bidang konsultan dan pengurusan akademik. Tahniah.Itu semua rezeki kalian. Rezeki kita tidak tahu lagi.
Beberapa hari saya tidak dapat mencapai pautan blog Abang Faisal Tehrani. Kenapa ya? Ada orang sabotaj? Entahlah.
iii
Ramai bertanya saya, “Tahun depan pulang selepas tamat bergelar graduan, saudara mahu jadi apa?”Itu di antara persoalan yang paling sukar saya jawab. Tetapi saya mahu hidup di dalam kerjaya buku. Tidak kira sama ada perkara itu mudah atau tidak, saya mahukan kerjaya ‘buku’.
Apa ada dengan buku? Ini jawapan saya.
Pertama, saya boleh sahaja menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana kerana ruang itu memperkenalkan saya dengan buku baharu. Tetapi bidang apa? Kedua, dunia kerjaya seorang editor. Editor juga bermain dengan buku. Editor menyemak buku, menulis dan sebagainya. Pastinya itu di antara tugas yang akrab dengan jiwa.Ketiga, guru. “Ha! Guru!” Tukas seseorang yang mematikan semangat saya berbicara. Guru juga di antara insan yang mampu bermain dengan buku. Di antara pengalaman paling besar yang saya peroleh adalah ruang membaca lebih luas sekiranya anda menjadi seorang guru.
Keempat, penulis. Itu di antara kerjaya paling ganas. Mahu jadi penulis? Penulis mana ada gaji tetap? Penulis tidak boleh kaya. Penulis bla..bla..bla.. Itu jawapan anda. Tapi, jawapan saya. Penulis itu juga adalah kerjaya. Mungkin kerjaya sampingan atau kerjaya hakiki.
iv
Imtihan! Periksa! Saya tidak ada masa! Salam!

Monday, November 03, 2008

Terima Kasih Pada Semua


3 November

Minggu yang paling sibuk dengan gelora program. Selepas Kembara Jejak Realiti (KEJORA) PMRAM, mahasiswa Johor di Mesir dikunjungi oleh Exco Kerajaan Negeri (YB Datuk Maulizan Bujang selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran, dan Pengajian Tinggi Negeri Johor)

Sebagai anak Johor di perantauan, ucapan terima kasih diucapkan kepada rombongan terutamanya daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor, Yayasan Pelajaran Johor, dan Yayasan Warisan Johor yang hadir bersama-sama di dalam majlis tersebut.

Paling menarik adalah kehadiran daripada Pengarah Yayasan Warisan Johor. Sememangnya saya sudah lama 'mengidamkan' bertemu dengan Pengarah Yayasan Warisan Johor. Terima kasih kepada Tuan Haji Jama bin Johan dan isteri yang hadir ke Mesir.

Keduanya, terima kasih juga kerana bawakan kami lagu-lagu Ghazal, Zapin dan pelbagai VCD dan buku sejarah. Moga nanti pelbagai program kebudayaan di Mesir ini dapat diadakan pada masa-masa mendatang.

Oleh sebab saya menjadi pengerusi majlis pada malam program, peluang saya bertanya terbantut. Oleh yang demikian, saya berharap YWJ akan menghantar wakil Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan juga wakil daripada Bahagian Sejarah dan Persuratan untuk mengadakan kursus di Mesir.

Apapun, terima kasih kepada semua yang sudi berkunjung.