Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Tuesday, October 28, 2008

MAHASISWA AL-AZHAR DIABAI KERAJAAN.

Apa kata Tuan Yang Terutama Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Duta Besar Malaysia ke Kaherah apabila mahasiswa Al-Azhar diabai oleh pihak kerajaan? Adakah mahasiswa kita akan menjadi pro pembangkang apabila kerajaan mengabaikan tanggungjawabnya?
Adakah mahasiswa kita akan lemah kerana sistem STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) yang lemah di Malaysia?
Ikuti wawancara bersama Tuan Yang Terutama Datuk Duta.
BOLEH Datuk terangkan butiran lanjut ke arah menjana kecemerlangan mahasiswa dari Malaysia di Universiti Al-Azhar?

Hasrat dasar negara membina intelektual Melayu bertaraf dunia di bawah program modal insan hendaklah mencakupi pelajar Melayu yang mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar yang kini mencecah 6,000 orang. Mereka adalah aset penting negara tetapi jika dinafikan kepentingannya, negara akan kerugian golongan intelektual profesional, penggerak dan pemangkin kepada pembangunan ummah yang sangat berpengaruh. Oleh itu, bagi melahirkan ulama intelektual Islam yang unggul, tetapi pakar dalam bidang Islam dan memenuhi tuntutan semasa, maka mahasiswa Universiti Al-Azhar adalah sasarannya.

Apakah faktor yang menyebabkan Datuk berpandangan demikian?

Pandangan ini bertepatan aspirasi dan hasrat kerajaan melahirkan generasi intelek cemerlang dalam pelbagai bidang khususnya memiliki minda kelas pertama bertaraf antarabangsa seperti diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai intelek Ulul Albab. Lagipun, Malaysia sebagai model negara Islam perlu merancang mulai sekarang membentuk ulama muktabar dengan memiliki ilmu pengetahuan luas, berfikiran global dan bertaraf antarabangsa. Selain itu, umat Islam di Malaysia dan dunia akan terdedah cabaran lebih hebat yang memerlukan tokoh agama, ulama cemerlang dan mampu menganalisa serta mengeluarkan penyelesaian bernas melalui pemikiran kreatif, tajdid dan faham tuntutan semasa.

Bagaimana usaha ke arah mencapai impian itu?

Bagi menjayakan hasrat berkenaan ada beberapa kelemahan pelajar Universiti Al-Azhar untuk mencapai cita-cita itu. Sebenarnya, pihak Universiti Al-Azhar tidak senang dengan pelajar Malaysia kerana lemah bahasa Arab yang menyebabkan kualiti pelajar sangat rendah. Berikutan itu, saya memaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menggariskan beberapa cadangan supaya perubahan drastik dilakukan oleh kerajaan kita. Antaranya, memilih pelajar lulus cemerlang termasuk bahasa Arab dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diberi biasiswa penuh menyambung pelajaran ke universiti berkenaan. Selain itu, mereka juga kurang mahir dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta penguasaan bahasa Inggeris. Mereka juga kurang pendedahan dalam bidang personaliti unggul, keilmuwan dan kemahiran profesional seperti keusahawanan, pengurusan, kewangan serta kepemimpinan di samping tidak mendapat sokongan kewangan kerajaan. Bagi menjamin kecemerlangan bahasa Arab, kemahiran dan personaliti unggul, Universiti Al-Azhar mewujudkan program khas dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia ke Mesir. Pelajar yang menyertai program ini diberi biasiswa dengan dilatih tubi pengukuhan penguasaan bahasa Arab dan ilmu agama. Program matrikulasi itu adalah program khusus dan berasingan. Program ini tidak mengganggu proses kemasukan pelajar Malaysia ke Universiti Al-Azhar bagi program lain.

Setakat ini, bagaimana sambutan terhadap program ini?

Pada sesi pengajian 2008/2009, kita menerima 50 pelajar. Amanah Raya Berhad (ARB) muncul organisasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama menaja 20 daripada 50 pelajar dalam bidang pengajian Islam universiti itu. Mereka adalah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh cemerlang 9A dan 10A peperiksaan itu. Pelajar ini diletakkan berasingan pelajar program lain iaitu kursus matrikulasi (bahasa Arab) selama setahun dan empat tahun lagi sarjana muda. Saya mahu mereka tamat pengajian hingga Doktor Falsafah (PhD). Pelajar berkenaan adalah antara 6,000 calon PhD diperlukan kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang seperti diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini.

Jadi, pelajar ini bukan mengikuti pengajian khusus seperti pelajar lain?

Mereka akan belajar semua kursus sama ada Usuluddin, bahasa Arab, Fikah, Hadis dan lain-lainnya. Dengan kata lain, apabila mereka tamat nanti muncul ulama muktabar yang mengetahui semua perkara berbanding sekarang yang khusus kepada bidang tertentu yang apabila ditanya tergagap-gagap menjawab sedangkan ia adalah pelajar Universiti Al-Azhar. Pelajar ini juga didedahkan dengan ilmu kemahiran asas dalam bidang seperti mekanikal, pertukangan, pertanian dan sebagainya. Program ini dikendalikan kerjasama Malaysia melalui Kedutaan Malaysia di Mesir.

Datuk menyatakan penguasaan bahasa Arab pelajar kita lemah, apakah Datuk mendapati sistem pengajaran di negara kita lemah atau sijil yang dikeluarkan khususnya Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tidak sesuai?

Memang, penguasaan bahasa Arab pelajar kita mendukacitakan kerana diajar guru tidak berkelayakan selain kurang penekanan berbanding bahasa Inggeris. Kerajaan sepatutnya memberi penekanan sama supaya Islam maju seiring peredaran zaman. Mengenai STAM, saya tidak mahu komen kerana kerana ia dilaksanakan Kuala Lumpur, tetapi ternyata lemah.

Apakah Universiti Al-Azhar akan menggantikan peperiksaan lain selepas mendapati STAM tidak berfungsi dengan baik?

Saya difahamkan, Universiti Al-Azhar akan memperkenalkan peperiksaan khas kepada pelajar luar negara termasuk Malaysia sebagai syarat kemasukan ke institusi tertua itu tahun depan. Universiti itu akan mengikuti jejak Univesiti Oxford dan London yang mensyaratkan lulus Ujian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Asing (TOEFL) sebagai syarat kemasukan ke universiti masing-masing. Sebenarnya, Universiti Al-Azhar tidak berpuas hati pencapaian pelajar kita dalam penguasaan bahasa Arab sehingga memerlukan mereka meneruskan pengajian lebih lama, empat hingga 10 tahun di institusi yang mengeluarkan ramai cendekiawan dan ulama tersohor dunia ini.

Apakah Datuk bersetuju bahawa kerajaan mengabaikan pelajar aliran agama?

Saya bersetuju dan sebenarnya kerajaan mengetepikan mereka. Sepatutnya, kita tak boleh menyalahkan pelajar agama menyertai parti pembangkang apabila mereka pulang ke tanah air. Kita membiarkan mereka seperti ayam kehilangan ibu dan kadang-kala nak makan susah terpaksa minta pada kawan-kawan. Bagaimanapun, saya dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman bernasib baik kerana pembelajaran kami ditaja kerajaan. Saya pun mungkin mengambil pendekatan sama sekiranya diabaikan. Kini, kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi perhatian pelajar yang belajar kedoktoran dan kejuruteraan dengan menyediakan biasiswa sedangkan pelajar agama diabaikan. Siapapun akan memberontak sekiranya dibiar terabai.

Bagaimana perkembangan pelajar perubatan di Universiti Al-Azhar?

Ada kira-kira 8,000 pelajar termasuk 2,000 pelajar perubatan yang mengikuti pengajian di tujuh universiti di sekitar Mesir. Tahun ini saja, seramai 850 pelajar perubatan diambil membabitkan 200 pelajar tajaan JPA, Mara (100) manakala selebihnya persendirian yang datang melalui ejen dilantik. Saya bagi pihak kerajaan Malaysia berterima kasih kepada Universiti Al-Azhar yang menambahkan jumlah pengambilan pelajar perubatan untuk ditempatkan di universiti dan kolej di sekitar Al-Azhar berbanding 20 hingga 30 pelajar sebelum ini. Pertambahan itu selaras kehendak kerajaan seperti diumumkan Datuk Seri Mohamed Khaled yang negara memerlukan 6,000 doktor lapan tahun akan datang. Tahun depan dijangka 1,000 pelajar lagi akan mendaftar untuk program berkenaan.

Saturday, October 25, 2008

Menulis Satu Kebajikan

FENOMENA penulisan sememangnya semakin rancak. Mereka yang tidak tahu menulis juga sudah mula belajar mahu menulis. Penulisan adalah salah satu kebajikan yang tidak mampu ditandingi dengan unsur kebajikan-kebajikan yang lain.
Ini adalah kesan daripada pemahaman kita terhadap keperluan untuk memahami tujuan penulisan itu sendiri. Pada saya, menulis mengajar saya untuk berfikir lebih jauh. Memahami penulisan sendiri bermakna memahami diri sendiri.
Justeru, peluang-peluang hidup yang ada untuk menulis ini saya manfaatkan.
Tambahan:
Terima kasih kepada semua yang menjayakan Festival Konvokesyen dan Anugerah Mahasiswa Cemerlang kali ke-16.
25-27 Oktober sedang berlangsung Kembara Jejak Realiti (KEJORA) PMRAM di Ismailia. Saya akan ke sana pada hari terakhir, insya-Allah. Keperluan di Kaherah lebih banyak.
Saya tidak dapat mengup-date blog dengan sempurna kerana masalah internet.

Monday, October 20, 2008

Balas Emel Anda

RABU INI : Graduan kita akan memakai pakaian ini. Ahli-ahli UMNO Mesir pun sertai program PMRAM.

SAYA adalah pembaca setia kepada mana-mana komentar yang masuk ke dalam komentar emel PMRAM ataupun komentar daripada laman web PMRAM. Paling saya suka adalah emel yang diterima daripada seorang hamba Allah ini.

Insya-Allah saya akan menjawab satu persatu komentar yang diberikan.
1- Tahniah atas homepage PMRAM yang agak menarik. Tapi kalau boleh banyakkan gambar dalam berita2, atau aktiviti yang telah dijalankan. Itu sebagai bukti sambutan ahli terhadap PMRAM.


Komen saya : Terima kasih di atas komentar saudara. PMRAM sebuah organisasi yang akan memberikan input dan informasi setiap hari kepada ahlinya.


2- Takziah kepada BP PMRAM yang telah menimpa rompakan di kawasan hadiqahdauli. Tapi, maaf, saya merasakan apa yang terjadi sebenarnya menunjukkan salahBP PMRAM sendiri, sebab bukan ke PMRAM dah keluarkan pekeliling orang lelaki pun jangan jalan seorang, dan bawa duit banyak, dan jalan Hadiqah Dauli tu pun sudah diwartakan oleh PMRAM sebagai bahaya, dan pernah dah berlaku kejadian di situ. Jadi, PMRAM kenalah tunjuk contoh. Janganlah buat qarar (undang-undang) , tapi sendiri tak ikut.


Komen saya : Malang itu tidak berbau. BP PMRAM bukan sengaja keluar malam tanpa sebab. Mereka ada tugas lebih penting di luar. Sanggup berkejar ke sini dan ke sana sehingga kekadang tidak makan pun pernah. Lagi, kalau anda mahu tahu kerana anda semua BP PMRAM sanggup tinggalkan rakan serumah kerana berkejar ke sini ke mari memenuhi jemputan anda. Anda ingat kami tidak buat kerja?


3- Sangat dikesalkan PMRAM sebagai persatuan yang ada tulis MELAYU dalam nama persekutuannya tidak mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu. Saya maksudkan disini perkataan "Apresiasi". Penghargaan maksudnya tu kan. Walaupun dengan hujah ia telah dimelayukan, tapi istilah tersebut masih ada dalam B.Melayu. PMRAM mesti memperjuangkan penggunaan B.M dengan betul.


Komen saya : Anda yang sepatutnya belajar bahasa Melayu lebih banyak daripada kami. Sekiranya perkataan tersebut telah diserap dan wujud di dalam Kamus Dewan, maka tidak menjadi masalah perkataan itu digunakan.

Sekian, harap maaf, komentar untuk kebaikan PMRAM, bukan menjatuhkan, walaupun bahasanya agak tegas.
Komen saya : Saya juga minta maaf. Saya hanya menyampaikan apa yang saya fikir perlu.

Friday, October 17, 2008

Perkembangan Sektor Awam Pada Hari Ini

Selepas bertemu Menteri Besar Kedah, YAB Ustaz Azizan Abdul Razak

MUNGKIN banyak cerita yang boleh kita sampaikan kepada kepimpinan negara pada hari ini. Banyak komentar yang boleh kita berikan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak yang akan mengepalai pentadbiran kerajaan tidak lama lagi. Namun, betapa benar Mac 2009 yang kita nantikan, banyak desas desus yang tidak seronok kita dengar di cuping telinga kita.
Dikatakan bahawa sektor kerajaan (sektor awam) banyak mengalami krisis dan polemik pentadbiran yang kurang terancang. Pemikiran, idea dan segala jenis dan macam keadaan yang semakin hari semakin meluat dibuatnya.
Pada sisi lain, orang yang pernah duduk di dalam sektor kerajaan juga sentiasa mengutuk kerajaan mereka sendiri. Mengapa hal ini terjadi? Apakah mereka membenci dan tidak senang dengan kerajaan hari ini? Atau mereka yang seringkali terperangkap dengan kata-kata nista yang dilemparkan kepada kerajaan dan mereka yang tuli itu hanya mengangguk membenarkan.
Tanggapan saya begini.
Orang yang pernah duduk di dalam sektor perkhidmatan awam sememangnya sudah bergelumang dengan kehidupan yang hampir tidak terancang kerajaan. Mereka melihat daripada dalam bagaimana peruntukan dan pengendalian kemajuan pentadbiran diuruskan secara sistem biokrasi dan monarki. Mereka melihat bahawa 'orang-orang' sahaja yang layak memegang jawatan dan sekiranya 'orang-orang' menjadi 'arang' dalam kerajaan, mereka tidak akan layak dinaikkan pangkat. (Oleh itu jangan jadi pembangkang)
Kedua, mungkin sahaja begini. Kita melihat bahawa kerajaan masih duduk di dalam kepompong mereka (Red Ocean Strategy) tanpa memikirkan gerakan pemulihan yang dilakukan oleh pihak swasta (Blue Ocean Strategy) yang banyak mendatangkan keuntungan. Idea-idea kerajaan tepu dan masih tidak berkembang walaupun lima buah kerajaan negeri sudah berpaling tadah kepada pihak pembangkang.
Apapun, kita perlu memikirkan tanggungjawab kita sebagai seorang mahasiswa. Apakah hanya melihat atau menunggu kehidupan pada masa akan datang tanpa memikirkannya pada hari ini?
Tambahan
Tahniah kepada Ustaz Mohd Hafiz Mansor yang sudah menyinarkan sumbangan azhari apabila membuka sinar kembali di dalam Jabatan Mufti Johor. Sekurang-kurangnya kita ada orang Mesir yang kembali aktif dalam pentadbiran Jabatan Agama Johor. Beliau adalah mantan Timbalan Presiden PMRAM sesi 2006. Kita mahu lahirkan banyak orang-orang Azhar di dalam pentadbiran negara.

Saturday, October 11, 2008

APABILA KULIAH TELAH BERMULA

Apabila kuliah telah bermula, tugas sebagai seorang mahasiswa perlu dilaksanakan. Sebahagian kitab pengajian tahun akhir ini saya telah 'menjamah'. Barangkali beratur di tingkat empat, bangunan Syariah, Universiti Al-Azhar, sudah menjadi kelaziman. Semenjak bergelar mahasiswa Al-Azhar dari tahun pertama lagi, pengalaman beratur panjang dengan sesekali dihimpit oleh Arab sudah ralit. Namun, saya gagahkan juga. Kadang-kadang teman seangkatan sebagai 'mangsa' membelikan buku.
Ada beberapa buku lagi (terutama) buku semester pertama masih belum dibeli kerana belum keluar daripada percetakan universiti. Rakan-rakan yang pulang bercuti masih belum nampak menjelma di perkarangan bumi Mesir. Insya-Allah sehari dua ini, mahasiswa Johor baharu akan tiba.
Minggu hadapan minggu paling mencabar. Pertama, saya terlalu ripuh untuk menguruskan Konvokesyen PMRAM yang akan berlangsung di Dewan Fustat, Pusat Muktamar Al-Azhar. Sebagai pengarah program tentunya inginkan kepuasan di dalam bertindak.
8 Oktober yang lalu, ketika saya ke universiti keputusan 'silibus' Al-Quran akan berubah telah pun diputuskan melalui satu kenyataan. Dahulu, sebelum menjejakkan kaki ke sini, ura-ura untuk menjadikan setahun 5 juzuk telah mula berkumandang di telinga. Malah menjadi kegerunan mahasiswa untuk menghafaz ayat sebanyak itu. Namun secara rasminya baru-baru ini silibus telah bertukar daripada 2 juzuk setahun kepada 1 juzuk setahun. Ini bermakna mahasiswa Malaysia ke bumi Mesir akan menyelesaikan silibus al-Quran seperti berikut :-
Pengajian Tahun 1 : 1 Juzuk (Bermula daripada Juzuk Pertama)
Pengajian Tahun 2 : 2 Juzuk (Bermula daripada Juzuk Pertama)
Pengajian Tahun 3 : 3 Juzuk (Bermula daripada Juzuk Pertama)
Pengajian Tahun 4 : 4 Juzuk (Bermula daripada Juzuk Pertama)
Ini bermakna mahasiswa kita akan menghafaz al-Quran sebanyak 4 juzuk sahaja.
Ini coretan saya sempena Kuliah Telah Bermula

Tuesday, October 07, 2008

Ruang Pandai Bahasa KEMBALI


Hampir setahun saya tidak ke udarakan ruangan Sudut Pandai Bahasa. Oleh yang demikian, setiap minggu mulai bulan Oktober 2008, saya akan menggunakan ruang dan peluang untuk mengajar serta mendidik pembaca dengan beberapa penggunaan bahasa.

Tajuk Minggu Ini : JUSTERU ATAU JUSTERU ITU?

Selalu kita menggunakan kalimah ini sebagai penanda wacana. Yang mana satukah penanda wacana yang tepat? Justeru atau Justeru Itu?

"Justeru" yang bermaksud kebetulan, senyampang, tepat, malahan, atau bahkan ialah Kata Tugas dan boleh hadir dalam ayat, klausa, frasa untuk mendukung tugas tertentu. "Justeru" juga merupakan penanda wacana yang sering digunakan oleh penulis dalam wacana tulisan, malah sering juga kita dengar dalam syarahan, ceramah umum dan ucapan pemimpin negara.

"Justeru" sebagai penanda wacana berfungsi untuk menceritakan sebab dan kesan sesuatu idea, hujah dan pandangan yang dikemukakan bagi menunjukkan pertalian antara wacana sebelum dan selepasnya.

Frasa "justeru itu" tidak wujud dalam penanda wacana ataupun frasa kerana perkataan "justeru" tidak membawa makna oleh, yang boleh dirangkaikan menjadi oleh itu.

Oleh yang demikian, penanda wacana 'justeru' adalah paling tepat.

CONTOH :

Justeru, saya mencadangkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi menggunakan kaedah yang terbaik memerangkap mahasiswa kita di bumi Mesir ini.


Bagaimana Saya Mula Menulis?


Karya
Ammu Amni

Saya kurang pasti apakah gelaran yang selayaknya diberikan ke atas diri. Barangkali saya tidak layak digelar seorang penulis mahupun pengarang. Malah, tatkala saya mencoretkan nama blog ini sebagai “Bicara Penulis”, saya juga tidak mengetahui sejauhmana layaknya nama itu digunapakai.

Sejujurnya, saya mula menjadi seorang pengarang paksaan. Pertama, atas nama keterpaksaan. Saya dipaksa menjamah medium kewartawanan apabila diminta untuk menyelenggara dan diamanahkan sebagai seorang wartawan Suara Kampus Mahasiswa Edisi Johor (SUKEJ). Dan, barangkali orang pertama yang saya wawancarai adalah seorang tokoh mahasiswa daripada Selangor, Ustaz Ahmad bin Yusof melalui judul wawancara ‘Israeliyat’.

Itu ceritera lama saya kira. Namun, saya tidak menolak bahawa usaha-usaha saya sebelum ini pernah merakamkan penglibatan secara tidak sengaja (baca : tidak langsung) di dalam bidang penulisan sewaktu menjadi Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu di SMA Kerajaan Johor, Kluang. Pernah saya mewawancara seorang guru bahasa Melayu (kini Guru Kanan Bahasa) Encik Hamsan Mohamed yang merupakan graduan sarjana di dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, penglibatan tanpa sengaja juga pernah dirakam tatkala menjadi seorang Ketua Editor Majalah Al-Irsyad, Maahad Johor pada tahun 2003. Itulah detik-detik yang tidak pernah saya lupakan.

Namun, sikap serius itu saya terjemahkan dan benar-benar menjadi selepas diberi kesempatan bersama Saudara A. Ubaidillah Alias, Saudari Syarifah Salha Syed Ahmad, Saudara Mohd Zaki M Noor melalui Kem Latihan Penulis PMRAM. Di sini saya bermula. Di sini saya diperkenalkan dengan majalah Tunas Cipta. Di sini juga saya mengenali Nisah Haji Haron seorang pengarang cerpen ‘Annyss Sophelia’.

Segalanya secara kebetulan. Saya yang mentah ini mula melibatkan diri secara tidak langsung melalui penulisan-penulisan rencana dan coretan peribadi sehinggalah karya pertama mula tersiar di majalah Fokus SPM, Februari 2007.

Tajam minat dan semangat itu saya kumpul sehingga benar-benar padu selepas diberi peluang berguru bersama Puan Zaharah Nawawi, Puan Salmiah Ismail, Puan Nisah Haron dan Saudara Faisal Tehrani menerusi Bengkel Penulisan Karyawan Muda Luar Negara pada Ogos 2007. Peluang itu benar-benar terasa. Dididik di dalam kamar Dewan Bahasa dan Pustaka pada asalnya sehinggalah saya dan teman-teman berhijrah ke Hotel Mandarin Court di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Barangkali itulah mula-mula perjalanan yang benar-benar dirakamkan. Selepas sebulan berbengkel, saya menghasilkan cerpen “Sebuah Rahsia Merdeka” yang memenangi Hadiah Penghargaan Sayembara Penulisan Cerpen Jawi Kemerdekaan ke-50 Negara Malaysia anjuran Perpustakaan Negara Malaysia. Sehingga kini, saya masih merasai kehangatan sebagai seorang pengarang yang telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pengarang walaupun masih mentah.

Oleh sebab bebanan tugas dan masih bergelar mahasiswa yang menuntut di Perlembahan Nil, saya tidak terus gagah untuk merakam karya sastera yang berat. Ini termasuklah penulisan cerpen yang benar-benar masih tumpul dan jarang-jarang ditulis.

Namun, November 2007 semasa akhir-akhir nyawa saya bergelar seorang guru di SMK Bandar Baru UDA, barulah saya merakamkan cerpen “Hadiah Untuk Ustaz” yang terbit di Berita Minggu pada 18 Mei 2008 yang lalu.

Namun, kesungguhan melayarkan penulisan di dalam bidang cerpen jarang-jarang saya gagahkan. Tetapi, kekangan dan keterbatasan itu saya sudahi dengan penulisan puisi Islam. Sebermula dengan karya “Kubur Kita Lain-Lain di Berita Minggu pada akhir Oktober 2007, karya “Nur Subuh I” di Majalah URTV, “Seorang Anak Murid II” di Ruangan Tunas Cipta, “Sebuah Pengharapan II” dan “Sejarah Nabi Musa” masing-masing di Berita Minggu, dan tidak ketinggalan akhbar arus perdana paling popular Mingguan Malaysia menerusi karya berjudul “Peringatan Kecil Dari Tuhan”, “Senyuman Nakhoda Yang Ditinggalkan” dan “Tafakur Di Mimbar Makam Imam Syafie”.

Setiap karya mempunyai gagasan tersendiri. Saya masih baharu di dalam alam penulisan. Sementelah membaca autobiografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, saya menyedari bahawa saya terlalu kerdil daripada insan penulis yang lain. Lebih-lebih lagi saya bukan anak angkat DBP dan tidak pernah menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) yang telah melahirkan penulis serba-boleh dan matang.

Siapalah saya dan bagaimana penulisan saya pada masa mendatang?


Sunday, October 05, 2008

BAHASA CHAT : Pelajar Melayu Jangan Kurang Ajar

Adakah sepatutnya dialog ini ditulis di dalam iklan?

ali : sihat?
abu : chat aja...
abu : dgq kata ada buku baru..
abu : sungguh ka?

Saya tidak kira sama ada anda orang utara, atau selatan, atau timur mahupun barat seharusnya bahasa slanga tidak digunakan di dalam iklan. Anda tahu betapa kurang ajarnya anda terhadap bahasa Melayu sendiri kerana anda mempermainkannya?

Sudah terang lagi bersuluh bahawa orang Melayu sendiri yang merosakkan bahasa Melayu. Oleh yang demikian, tidak hairanlah orang Melayu hanya menjadi seorang tupai yang layu.

Iklan adalah sesuatu yang bersifat kormesil. Memperkenalkan produk dan barang-barang sama ada secara langsung ataupun tidak. Justeru, bahasa sms, bahasa chatting bukanlah sesuatu yang seharunya digunakan.

p/s : Orang yang mahu solat, meletakkan kopiah di atas kepala bukan di atas lutut. Itu tidak adil namanya.

WAJAH-WAJAH AIDILFITRI 1429H


5 Syawal berlalu dengan pelbagai coretan kenangan. Ada yang manis dan masam. Tetapi dalam mencoret sejarah Aidilfitri apa yang lebih penting adalah tugas dan bebanan amanah masih terus segar terakam dan perkembangan pendidikan akan terus meluncur selepas ini.

Pendidikan semester akan bermula. Kitab sudah mula dijamah. Secara peribadi, saya menyeru dan sama-sama memotivasikan diri untuk mencapai kecemerlangan pada sesi pendidikan pada tahun 2008/09. Sesungguhnya harapan kita, dan harapan semua untuk mengungguli kecemerlangan dalam akademik pada sesi ini.

Thursday, October 02, 2008

Penerima Anugerah Hadiah Karyawan Sastera Johor Meninggal

Disalin daripada Utusan Online, Jumaat, 3 Oktober 2008

Budayawan Dr. Shaharom Husain meninggal dunia

Oleh KAMIL MASLIH

JOHOR BAHRU 2 Okt. - Tokoh guru dan budayawan, Dr. Shaharom Husain, 88, meninggal dunia hari ini akibat sakit tua.

Allahyarham yang juga terkenal sebagai tokoh sastera menerusi novel Keris Laksamana Bentan dan drama Si Bongkok Tanjung Puteri menghembuskan nafas terakhirnya dalam tidur pada pukul 7.45 pagi di rumah anak sulungnya, Dr. Mohamed Hatta di Taman Berlian, Gombak.

Jenazah Allahyarham dibawa ke sini untuk dikebumikan bersebelahan kubur isterinya, Allahyarham Aminah Abdul Rashid di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah selepas waktu Asar.

Beliau meninggalkan empat orang anak lelaki iaitu Dr. Mohamed Hatta, Dr. Mustapha Kamal, 55, Muhammad Iqbal, 50, dan Mustafa Kamil, 49, serta 23 cucu dan enam cicit.

Menurut Hatta yang juga Naib Presiden Kanan dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan CyberJaya, ayah beliau meninggal dunia selepas menunaikan solat Subuh.

"Dalam dua tiga hari sebelum ini ayah memang banyak berzikir serta mengucapkan Allahhuakbar berulang kali," katanya yang memberitahu ayahnya telah dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) minggu lalu kerana pembedahan tulang kaki dan punggung selepas terjatuh.

Kata Dr. Mohamed Hatta, ayahnya merupakan seorang yang amat menekankan pendidikan sepanjang hayatnya.

"Beliau pernah berpesan bahawa kalau kaum Melayu tidak menguasai pendidikan, bangsa Melayu tidak akan maju dan tidak mendapat tempat di dunia.

"Selain itu, beliau juga sering mengingatkan untuk kita mencari ilmu bagi dunia dan akhirat," katanya.

Semasa hayatnya, Allahyarham telah dianugerahkan beberapa penghormatan negeri dan negara seperti Tokoh Guru Johor, Tokoh Guru Kebangsaan, Anugerah Budayawan Johor dan Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Anak kelahiran Kampung Peserai, Mukim Tiga, Batu Pahat itu juga merupakan penerima pertama Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Perguruan Sultan Idris pada tahun 2000.

Beliau mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Idris dari tahun 1938 hingga 1950 dan pernah mengajar di maktab berkenaan serta Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru selain menjadi Karyawan Tamu di UKM.

Dalam dunia kesusasteraan, beliau telah bergiat aktif sejak tahun 1940-an dan telah menghasilkan pelbagai novel dan drama yang sering digunakan sebagai teks sastera di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sejak era 1980-an hingga sekarang.

Antara karya beliau termasuklah Lembing Awang Pulang ke Dayang, Hantu Laut dan Korban Sungai Muar, Tun Fatimah, Bermandi Darah Di Sungai Johor selain menulis memoir biografi Perjuangan Politik Datuk Onn Jaafar serta menulis semula buku Tawarikh Johor.


WAJAH-WAJAH SATU SYAWAL