Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Tuesday, September 30, 2008

SALAM AIDILFITRI 1429H

video

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR BATIN

Buat mereka yang mengenali saya, keluarga, sahabat-sahabat dan sanak saudara. Seronok kan berhari raya di Malaysia?

Dalam dingin Subuh hatiku terusik
Kenang nasib diri di rantauan
Bergema takbir raya menitis airmata
Terbayang suasana permai desa

Rindu hati ini inginku kembali
Pada ayah bonda dan saudara
Tetapi aku harus mencari rezeki
Membela nasib kita bersama

Hanyaku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh ku pohonkan ampun maaf
Jangan sedih pagi ini tak dapat kita bersama
Meraikan aidilfitri yang mulia

Dari Novel ke Drama TV

Pelbagai pihak bersungguh-sungguh untuk memperkasakan kuasa 'novel' pada hari ini. Pernah kita mendengar sebuah karya cerpen milik Faisal Tehrani berjudul "Cahaya Dalam Jiwa" diangkat sebagai sebuah drama tivi. Kemudian, filem-filem negara termasuklah 'Jogho' karangan Allahyarham S. Othman Kelantan yang berasal daripada novel Juara dan bermacam-macam lagi.

Terbaharu, karya novel Sangeetha yang mengangkat nama Azizi Haji Abdullah menerusi Hadiah Novel MASTERA akhir tahun lalu, diadaptasi ke sebuah drama tivi Syawal ini. Jangan lepaskan peluang menyaksikan sendiri sebuah drama sastera berkonsepkan cinta yang diadun daripada novel Sangeetha. Penulis skrip, Zakaria Ariffin daripada ASWARA telah menangani skrip jalan cerita ini.

Hari Raya ke-3, RTM 2.


Saturday, September 27, 2008

CERPEN : RAMADAN TERAKHIR DI KAHERAH

KARYA TERBAHARU

Sempena dengan penutup musim bulan Ramadan ini, saya bekalkan saudara dengan sebuah cerpen yang berjudul "RAMADAN TERAHIR DI KAHERAH"

RAMADAN TERAKHIR DI KAHERAH
Oleh Syafiq Zulakifli

SATU
“INI Ramadan terakhir kita!”

Empat ratus orang mahasiswa berkumpul di hadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Al-Azhar Kaherah. Masing-masing menyarung ‘abaya’ hitam yang disulam khas sempena Majlis Konvokesyen Graduan Mahasiswa Universiti Al-Azhar. Siapa yang tidak kenal pada Al-Azhar; universiti yang telah mencetak hampir berjuta-juta mahasiswa di bumi peradaban Islam ini. Kota sejarah yang terus sarat dengan ulama dan pemikir Islam terulung di dunia. Rata-rata mengakui bahawa Mesir merupakan kubu kuat pemerintahan dan pentadbiran jejak-jejak sirah Islam yang masyhur. Mengikut catatan sejarah silam, Khalifah Aziz Billah telah menubuhkan universiti Islam pertama di dunia iaitu Al-Azhar.

Persiapan dan kelengkapan aturcara konvokesyen mahasiswa graduan Al-Azhar yang akan berlangsung sebentar lagi telah pun tersusun rapi. Tidak mungkin program besar sebegini berjaya tanpa bantuan tenaga daripada ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM); salah sebuah persatuan tertua di bumi Mesir ini. PMRAM yang sudah bertapak di bumi Mesir selama hampir tujuh puluh lapan tahun ini tidak pernah culas di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah persatuan yang menjaga kebajikan kepada semua mahasiswa di bumi Mesir.

Graduan dan graduanita sudah berpusu-pusu masuk ke dalam ruang dewan besar program. Walaupun tidak ditemani oleh kedua ibu-bapa, nikmat yang dikecapi bakal mewarnai dunia seorang wira dan wirawati sebagai seorang mahasiswa. Menjulang segulung sijil bernama ijazah sarjana muda sudah menjadi harapan semenjak mereka menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini.

“Ini Ramadan terakhir kita di sini. Dunia permusafiran kita akan berakhir tidak lama lagi.” Aku memulakan bicara selepas mendapatkan kerusi di dalam dewan tersebut.

“Alangkah bertuahnya adik-adik kita masih mempunyai peluang menjamah hidangan ilmu yang disediakan oleh ulama-ulama di Masjid Al-Azhar. Mereka masih punya masa berbaki yang banyak sedang kita bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dunia Mesir tidak lama lagi.” Nuaim yang berada di sebelah membalas.

Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri tentang Al-Azhar. Aku saling bertukar-tukar pandangan terhadap dunia permukiman di Kota Kaherah yang akan berakhir tidak lama lagi. Barangkali airmata syahdu jikalau ditangiskan hanya menjadi airmata kering yang tidak bernyawa. Usah dikatakan peluang berguru dengan syeikh sudah tamat; malah keperluan untuk mengisi ruang menghafaz al-Quran juga sedikit sebanyak menjejaskan keadaan. Rata-rata mengakui bahawa peluang di negara sendiri amat tipis untuk mendalami ilmu-ilmu Islam secara lebih dekat. Malah, untuk mendapatkan fatwa secara langsung daripada Darul Ifta’; sebuah pusat fatwa terkemuka di Mesir juga bakal tergantung. Dunia akan terus berubah. Rutin harian juga bakal diwarnai dengan polemik kehidupan yang berbeza di Malaysia. Tanggungjawab yang bakal digalas juga akan lebih mencabar.

Ramadan ini sungguh asing bagi diriku. Tiada yang lebih istimewa daripada meneguk segelas rasa syukur duduk menetap di bumi asing. Siapa yang menyangka hidangan percuma di masjid-masjid sekitar Mesir menjadi hidangan harian untuk semua penduduk dan mahasiswa perantauan di kota bersejarah ini. Malah, sebagai anak perantauan mengisi waktu iftar di masjid-masjid sudah menjadi rutin biasa. Wang saku boleh disimpan untuk keperluan akan datang. Jimat.

Senja terakhir Ramadan, aku mengambil peluang berbuka di masjid berdekatan. Harapnya nanti Ramadan ini bakal disinari dengan cahaya gemerlapan bersama warga Arab Mesir.

“Kamu orang muda berasal daripada mana?”

“Malaysia.”

“Kamu sebaik-baik manusia di muka bumi ini.”

Orang arab Mesir amat bermurah hati dengan segala pujian. Malah setiap tutur bicaranya dan kalam-kalam pujian dengan nama-nama Allah pasti akan meniti di bibir mereka. Sungguh Ramadan ini terasa kelainannya. Nikmat yang dikecapi, pengalaman yang dirasai, bakal menjadi hidangan sunyi pastinya selepas ini.

“Aku berbangga melihat kamu wahai anak. Sungguh cekal hatimu menuntut ilmu di sini.” Lelaki muda berdagu pandak itu mula menegur.

“Aku berhijrah ke sini kerana inginkan ilmu. Di sini imam mazhabku disemadikan.”

“As-Syafie?”

“Ya.”

“Aku mahu mendalami ilmu Tuhan ini dengan sebaik-baiknya. Tetapi, masaku dan kehidupanku sungguh terbatas. Aku akan meninggalkan kota ini tidak lama lagi. Ini Ramadan terakhir aku.”

Lelaki muda itu sedikit terperanjat.

“Kamu sudah lama di sini?”

Aku mengangguk tanda membenarkan percakapannya.

“Hampir empat tahun aku di sini. Aku melayari dunia pendidikan Islam yang paling gemilang. Aku ingin menjadi seorang ulama. Aku memahami bahawa tanggungjawabku untuk menjadi seorang pendakwah dan ulama adalah satu kewajipan yang amat besar. Tetapi aku takut akan segalanya.”

“Golongan yang tidak takut kepada Allah tidak boleh dianggap sebagai ulama. Barangkali orang muda sepertimu akan mencapai kejayaan insya-Allah. Aku mendoakan agar engkau bersama golongan orang-orang yang dipelihara Tuhan.” Lelaki itu cuba menerangkan.

“Wahai orang muda, aku harap engkau tidak tertipu dengan ilmu yang engkau ada hari ini.”

“Tertipu?”

“Orang yang berilmu boleh terpedaya dengan ilmunya. Bukankah engkau tidak mengetahui, dunia kini sering berkejar-kejaran. Barangkali mereka yang hebat menyampaikan itu, merekalah paling berilmu. Wahai anak muda, Imam Ghazali pernah menyatakan antara golongan yang terpedaya ialah ahli fekah yang menguasai ilmu ketaatan tetapi tidak mengamalkannya. Sebahagian daripada mereka menguasai ilmu sehingga mereka mengenali perkara yang maksiat, tetapi mereka tidak menjauhinya.”

Aku kaget melihat lelaki muda itu. Barangkali sepanjang permukimanku di sini, inilah kali pertama dan mungkin kali terakhir aku mampu mendengar kata-kata ini diperdengarkan di cuping telingaku.

Tiba-tiba aku teringatkan Ahmed Yassin. Seorang teman sekuliah. Dia berasal daripada bumi Iskandariah. Sebuah kota besar di utara negara Mesir. Pernah juga dia menasihatkan aku agar tidak terpedaya dengan segala ilmu yang telah tertanam di dalam diri seorang penuntut ilmu.
Aku memandang lelaki itu berulang-ulang kali. Tentunya ada maksud yang tersirat di sebalik kata-katanya itu sebentar tadi.

DUA
“Bulan Ramadan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin dan papa.” Imam Masjid Al-Azhar menasihatkan melalui tazkirahnya pada malam Ramadan terakhir itu.

Lazimnya, semua masjid di sini tidak mengadakan solat tarawih sebanyak dua puluh rakaat. Selepas empat rakaat tarawih, imam akan menyampaikan tazkirah bagi mengingatkan manusia tentang keperluan Ramadan dan hak-hak Ramadan.

Imam mengingatkan lagi bahawa, Islam bukan sesuatu yang mudah meletakkan nilai Ramadan. Malah, nilai ketakwaan merupakan dasar utama kejayaan sesebuah Ramadan dan pengertian puasa itu sendiri. Ramadan bukan sekadar mengosongkan perut daripada makan dan minum. Tetapi, lebih daripada itu Ramadan adalah bulan yang mengajar manusia sebagai hamba mengenal hakikat ketakwaan terhadap Tuhan sebagai pencipta.

“Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadan kerana keimanan kepada Allah Taala dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah Taala, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” Imam menyandarkan beberapa hadis berhubung dengan Ramadan.

Aku mengumpul kekuatan pada akhir Ramadan. Takut-takut ini Ramadan yang terakhir di dalam kamus peribadi. Biarpun ini Ramadan terakhir di dataran Wadi Nil, aku lebih rela dan sanggup mengharungi makna yang tersirat di sebalik Ramadan dengan sebaiknya. Islam bukan mengajar menghayati makna Ramadan mengikut tempat, malah jika teman-temanku mengakrabi kekuatan Ramadan pastinya malamnya tidak akan renggang dengan solat-solat sunat yang memberikan ganjaran yang besar kepada pelaksananya.

Usai menyelesaikan kewajipan, aku segera pulang bersama teman-teman ke asrama tempat kami menginap. Beberapa teman-teman mempelawa singgah ke kedai makan dengan alasan ‘moreh’ katanya.

Kaherah menjanjikan malam Ramadan yang amat berlainan. Warganya berpusu-pusu mengisi peluang untuk menjamah makanan. Barangkali juga aku boleh sandarkan bahawa pesta bulan bagi mereka adalah bulan Ramadan. Jikalau di negara sendiri, pesta lelong baju dan pesta pakaian hari raya menjadi santapan muda-mudi, orang dewasa dan warga tua tetapi sungguh berlainan di sini.

Kota yang lebih menjanjikan kesetiaan, kemakmuran dan permuafakatan sesama ahli keluarga dengan berkumpul beramai-ramai di ruang-ruang legar kedai makan. Tentu juga kedai makan seperti As-Syabrawi, Abu Mazen dan El-Mo’men sungguh laku pada malam-malam Ramadan. Gerai-gerai tidak akan ditutup selagi azan Subuh tidak dilaungkan.

TIGA

“Tuk. Tuk. Tuk. Tuk. Tuk.” Siapa yang mampu memejamkan mata tatkala bunyi cemeti kecil dipukul di atas tin kosong bersaiz besar itu mula bersuara. Lazimnya, ketika jam menunjukkan tepat dua pagi, bunyi itu mula bergema. Warga kota akan dikejutkan untuk bersahur. Juga, dalam musim panas sebegini keadaan pula memaksa mata berdiri gagah sehingga ke waktu Subuh. Tentu, waktu sahur terakhir ini kudrat yang ada tidak sama dengan kekuatan pada awal Ramadan.

Teman-teman serumah bergilir-gilir menunaikan tanggungjawab memasak. Barangkali, aku juga tidak ketinggalan melunaskan tugasan. Jika bukan aku yang menggalas beban memasak, pastinya peluang menunaikan qiamullail akan dilaksanakan.

Allah berfirman, dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Qiamullail adalah kekuatan yang paling utama di dalam madrasah Ramadan. Ibnu Qudamah menyebut dalam kitabnya Mukhtasar Minhaj al-Qasidin bahawa qiamullail amat sukar untuk dilaksanakan kecuali siapa yang diberi taufik oleh Allah Taala untuk melaksanakannya. Namun, sebagai penguat zahir dan batin diri, aku berdoa moga-moga kekuatan yang masih berpuput tidak akan hilang dengan semangat yang tidak tetap, niat yang tidak kuat dan azam yang tidak kental.

EMPAT

Orang-orang dapur sudah memulakan rewang. Ada yang ditugaskan memotong bawang, mengupas kentang, memotong daging dan ayam. Semuanya atas dasar satu kesaksamaan; menyambut lebaran di perantauan yang tidak akan serupa menyambutnya di negara sendiri. Tiga tahun lalu, tatkala menyambut lebaran aku ditugaskan untuk menjadi penyambut tetamu. Namun, kini sebagai abang senior tugas itu dipundakkan kepada adik-adik baharu.

Suasana malam lebaran itu masih serupa dan sama dengan suasana sebelum ini. Kerjasama, bantuan dan semangat berpasukan teman-teman seangkatan tidak pernah luntur. Kami memahami tanggungjawab masing-masing. Yang Dipertua persatuan awal-awal lagi telah mengingatkan kami bahawa perpaduan dan kerjasama berpasukan itu dituntut di dalam Islam. Allah mengingatkan hambanya, bertolong-tolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa serta janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan permusuhan.

Hari ini, kehidupan bekerjasama dan saling membantu kami rasai. Sejarah membuktikan bahawa ketika Perang Badar berlaku, umat Islam hanya mempunyai tiga ratus tiga belas orang berbanding musuh seramai seribu orang. Namun, atas dasar dan sikap tolong-menolong dan kefahaman mereka terhadap perintah Allah, maka kemenangan telah berpihak kepada umat Islam. Pengalaman sirah ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kami selaku mahasiswa Islam di perantauan.

Azan Maghrib berkumandang di udara. Gerombolan mahasiswa berpusu-pusu ke surau menjamah sebiji kurma dan terus menunaikan solat Maghrib. Usai menunaikan solat, takbir Syawal bergema di dalam dewan asrama. Laungan takbir, Allahu Akbar terus berulang-ulang mengingatkan kebesaran Allah.

Tatkala itu, airmata menjadi pinjaman sementara kepada seluruh mahasiswa. Terkenang yang jauh, merindui keluarga dan sahabat handai di negara sendiri sudah mengakrabi diri. Kini, tugas menggalas amanah dan tanggungjawab yang besar menjadi seorang murabbi kepada bangsa, agama, masyarakat dan negara merupakan keperluan yang utama. Dan, amanah itu bakal digalas selepas ini.

“Kita sudah tiba di akhir Ramadan," Nuaim mengingatkan.



Thursday, September 25, 2008

Tarian Saman

video
Tarian Saman

Saman Dance is a variant ancient dance from Aceh, Gayo Iues. Saman name is taken from name of Islamic scholar Syeikh Saman. This dance expresses heroism and compactness of Aceh people. Lyric and song for this dance may stimulate the courage of people to war, that's way, saman dance could be call by War Dance.

Kali pertama saya menyaksikan persembahan ini adalah ketika di dalam Ekspo Gempak PMRAM 08 yang diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Selaku negara sejiran, PMRAM telah menjemput kumpulan Tarian Saman untuk mengadakan persembahan pada malam penutup tersebut.

Apa yang menarik, Tarian Saman merupakan salah satu jenis tarian yang dibawa daripada masyarakat Aceh ke Mesir. Difahamkan bahawa lirik lagu dan struktur gerakan melambangkan kisah Tsunami yang berlaku di Aceh pada akhir tahun 2004. Kesan sejarah tragedi ini memberikan tamparan kepada mahasiswa Aceh di Mesir yang telah kehilangan keluarga lantas mendesak beberapa gerakan bercirikan 'ombak dan air'.

Seharusnya, usaha-usaha memperkenalkan tarian dan seni Islamik ini sudah wajar masuk ke negara kita Malaysia. Yayasan Warisan Johor, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) seharusnya mendidik anak-anak diploma dan ijazahnya mempelajari seni ini.

Jika ada peluang, kita mampu sama-sama menghayati seni warisan ini.


Persembahan Marawis

video

Marawis is one of Batavia Islamic culture. Batavia was the old name of Jakarta, capital of Indonesia. It's a musical art performance that derived from Yaman. This performance is named by Marwis as its main equipment was called by Marawis. The other equipment of Marawiis is Hajir (such Marawis but its size is bigger), Dumbuk and Martis.

Peluang menghadiri 'Ramadan In Indonesia Programme' di Darul Opera, Tahrir memberikan pengalaman yang amat bermakna. Bersama teman-teman daripada Malaysia, Brunei, Singapura, kami menyaksikan sendiri beberapa acara budaya di sana. Sesungguhnya saya amat bertuah diberikan kesempatan menonton di dalam bulan mulia ini.

Mahasiswa Indonesia terkenal dengan beberapa seni dan adat timuran Islam pelbagai. Lihat sahaja bagaimana kumpulan Nasyid Dai Nada yang terkenal di Mesir malah menjadi taruhan di kaca-kaca tivi Mesir dan negara Arab sekutunya. Malam tersebut hampir lapan buah persembahan kebudayaan disajikan. Antaranya, persembahan permainan Angklung, Nasyid Dai' Nada, Tarian Saman, Marawis, Gambus, dan nasyid Hadroh.

Sungguh mempersonakan. Jika ada kesempatan yang lain, kita saksikan persembahan-persembahan yang seterusnya.

Mengapa Karya Saya Tidak Ke Udara Di Media?

Keadaan ketika sedang sakit

BARANGKALI soalan yang tidak sepatutnya ditanya adalah; mengapa karya saya tidak ke udara di media. Pertama, saya adalah manusia biasa, kekadang rajin dan kekadang malas.

Selepas beberapa hal keadaan yang terjadi, saya mengambil keputusan yang merehatkan diri untuk menghantar ke mana-mana penerbitan. Kali terakhir saya mengirim kepada editor adalah pada Jun yang lalu.

Dan, sementelah beberapa bulan, saya berehat sebentar. Namun, dalam waktu yang berbaki sekitar sebulan ini (sebelum kuliah tahun empat) rancak, saya bercadang menulis beberapa karya lagi. Kemudian, kita akan berehat sehingga tahun hadapan. Insya-Allah, karya-karya yang terbit sepanjang tahun 2008 ini saya akan menghantar kepada beberapa anugerah sastera untuk dipertandingkan pada masa-masa mendatang. Sekurang-kurangnya ini masa kita belajar berkarya.

Terima kasih kepada pihak-pihak yang sudah memberi ruang kepada saya menyertai dunia ini.


Wednesday, September 24, 2008

ZAKAT PMRAM : Siapa Layak Menerima?

Selepas membuka permohonan Zakat selama hampir satu bulan, 24 September 2008, PMRAM telah menutup permohonan Zakat bagi semua mahasiswa dan mahasiswi di bumi Mesir.

Justeru, malam ini semua panel-panel jawatankuasa pemilihan kelayakan sedang menapis siapakah yang layak dan siapakah yang menjadi pilihan 'tersingkir' di dalam proses penapisan.

Saya beberapa kali dihubungi oleh wakil jawatankuasa pemilihan untuk mengesahkan orang-orang perseorangan yang layak.

Siapakah di antara kalian yang layak? Insya-Allah kita akan sama-sama menunggu pengumumannya nanti.

Monday, September 22, 2008

ANTOLOGI PERPUSTAKAAN NEGARA

Saya difahamkan bahawa Perpustakaan Negara Malaysia akan menerbitkan antologi cerpen bersempena dengan pemenang Sayembara Cerpen Jawi Kemerdekaan Negara ke-50 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia.

Oleh yang demikian, besarlah hati sekiranya karya saya itu dibukukan untuk simpanan dan rujukan rakyat Malaysia amnya.

Selain itu, saya telah menghantar softcopy karya kepada Cik Nor Azila Mohd Noor, selaku wakil di Perpustakaan Negara Malaysia. Harapnya semua perancangan menerbitkan buku berjalan dengan sempurna. Insya-Allah.



Mencatat Kehidupan



Atas
Mewakili PMRAM menghadiri Majlis Kebudayaan Ramadan bersama Kedutaan Besar Republik Indonesia.

Bawah
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah menghantar Ustaz Rasul pulang


Terima kasih kepada mahasiswa Indonesia yang menjemput kami menyertai program di Opera Teater, Tahrir. Sesungguhnya, keperluan menjalinkan hubungan antarabangsa adalah keperluan yang tinggi nilainya. Penghargaan istimewa ini ditujukan khusus kepada Presiden PPMI yang banyak memberikan pandangan terhadap perkembangan mahasiswa di Mesir.

(2)

Semalam (Ahad-21 September) saya bersama Timbalan Menteri 1 Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Barangkali, penonton dan pendengar perasan bahawa kebanyakan fakta ucapan saya disangkal oleh beliau. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Ir. Haji Idris bin Hj Haron, sekurang-kurangnya kita mampu berlatih berhujah di parlimen kelak. :)

Ucapan saya seperti di bawah:-

Yang Berhormat Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

PMRAM yang dilahirkan pada tahun 1930 di bumi Mesir, tidak pernah culas di dalam memastikan amanah ilmu dan kebajikan sentiasa dipelihara. Dengan moto BELAJAR dan BERBAKTI, kita yakin usaha menggembleng tenaga pakar daripada Timur Tengah akan lahir kelak.

Melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, saya yakin dan percaya beberapa pembaharuan dan tranformasi pendidikan pengajian tinggi akan dapat berubah dari semasa ke semasa.

PMRAM mengucapkan syabas dan tahniah kepada Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang yang terpilih sebagai Universiti Apex. Kita terus berpendirian bahawa kementerian di bawah pimpinan Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin sentiasa komited di dalam menjalankan tanggungjawab mencapai misi dan visi pendidikan negara ke arah pembangunan modal insan yang cemerlang pada masa-masa yang mendatang.

Kita juga mengharapkan, harapan kerajaan Malaysia melahirkan Universiti Sains Malaysia sebagai salah satu daripada 100 universiti terbaik di dunia akan tercapai.

Yang Berhormat Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

PMRAM kini telah mengubah haluan dan halatuju utama dengan membuat pelan perancangan pembangunan mahasiswa di bumi Mesir. Kita bersungguh-sungguh mahukan sejumlah 5,000 orang mahasiswa Malaysia ke bumi Mesir untuk mendalami kepakaran khusus di dalam bidang pentadbiran, komunikasi dan pengurusan.
Kita juga yakin dan percaya kementerian pada hari ini mampu untuk memberikan tenaga pakar khusus mendidik di dalam bidang pengurusan dan pentadbiran di Mesir. Kita bersungguh-sungguh mahukan sebuah institusi khusus melatih mahasiswa kita di bumi Mesir ini untuk diguna pakai oleh kerajaan pada masa akan datang dengan kelahiran program persijilan khas pentadbiran yang dianjurkan sendiri oleh Kementerian Pengajian Tinggi di Mesir.

Terima kasih kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang selama ini bekerja keras memastikan mahasiswa kita tekad untuk menjadi seorang usahawan dengan program pembangunan usahawan di bumi Mesir. Dengan percaturan dan program-program sebegini, kita yakin bahawa mahasiswa kita akan terjun di dalam industri pelancongan, pemodalan antarabangsa, pengurusan ekonomi cemerlang dan mampu terjun ke dalam bidang ekonomi antarabangsa.

Yang Berhormat Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Kejayaan dan usaha ini semua tidak akan berhasil tanpa ilmu yang mantap dan thaqafah yang tinggi serta kemahiran yang unggul. Oleh yang demikian, semenjak tahun 2007 lagi, PMRAM mahu melahirkan kekuatan mahasiswa di bumi Mesir dengan penganjuran kelas Madrasah Imam Syafie yang merupakan sekolah latihan asas untuk mahasiswa kita lahir sebagai seorang pakar di dalam bidang pengajian ilmu turath dan ilmu professional masa kini.

Kita terus progresif agar jabatan-jabatan mufti, jabatan-jabatan agama, jabatan-jabatan kerajaan akan ditadbir urus oleh mahasiswa lepasan Timur Tengah khusus yang berada di bumi Mesir agar ilmuwan Islam menjadi pentadbir negara pada masa mendatang.

Yang Berhormat Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

PMRAM pada hari ini dalam usaha pembukuan semula kitab Bahrul Mazi karangan Syeikh Idris Marbawi seorang tokoh ulama Islam Nusantara. Kita berusaha memastikan khazanah tulisan jawi tidak dipinggirkan oleh mahasiswa kerana akhbar dan tulisan merupakan salah sebuah monumen penting pada hari ini. Dengan pembukuan tulisan jawi lama dan baharu diharapkan usaha tersebut akan memberikan kesedaran kepada umat Islam bahawa amanah tulisan juga harus dipelihara pada hari ini.

Yang Berhormat Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Untuk memastikan kadar pengganguran mahasiswa, PMRAM mencadangkan agar pihak kementerian meluaskan jaringan sektor pekerjaan dengan memperuntukkan satu jawatan khas yang tertumpu di dalam bidang pentadbiran kepada mahasiswa pengajian Islam. Misalnya, jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S41 tersebut diletakkan di semua jabatan-jabatan kerajaan termasuk hospital, pusat pengajian, pusat sukan, pusat penyiaran televisyen, dan institusi-institusi yang mampu ditadbir urus oleh mahasiswa agama pada hari ini.

Usaha-usaha sedemikian diharapkan bukan sahaja menjadi angan-angan dan igauan malah pihak kerajaan khusus di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia akan memberikan natijah dan keputusan yang terbaik kepada mahasiswa di bumi Mesir ini, insya-Allah.


Friday, September 19, 2008

Cerpen dan Novel Penulis Agama Lebih Bestseller?


Orang agama tentunya jarang mahu merengek-rengek terlibat sama di dalam industri sastera. Tetapi melalui komen Puan Ainon Mohd selaku Sifu di sebuah syarikat buku Melayu terbesar di Malaysia (PTS), buku-buku orang agama adalah buku panas yang dihasilkan dan boleh memberi keuntungan.

Saya mencadangkan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab bahawa orang-orang agama sudah sampai masa disuap dengan ilmu sastera.

Baca lagi di web Puan Ainon Mohd


Monday, September 15, 2008

Ramadan dan MAT

Menunggu pengumuman puasa daripada Mufti Kerajaan Mesir. Turut di hadapan adalah Menteri Wakaf Mesir, Imam Besar Al-Azhar Syeikh Tantawi

Sudah separuh bulan berjalan. Bermakna juga, sudah separuh Ramadan berakhir. Pastinya, kalau di Malaysia orang sudah mula sibuk membeli belah di pasar raya atau memborong di Plaza Angsana setiap malam.

Ramadan kali ini banyak cabarannya di Mesir ini. Tentunya musim panas mendahagakan lagi tekak ini. Oleh yang demikian, melakukan aktiviti-aktiviti luar sedar menyebabkan kita dapat menyelesaikan sesuatu itu tanpa rasa letih dan longlai.

Beberapa hari yang lalu tentunya sibuk dengan beberapa tugas. Dan, dalam separuh Ramadan akhir ini lebih sibuk kerana ada tanggungjawab yang tiba-tiba sahaja bakal mendatang.

Ramadan ini pastinya mencatat beberapa kronologi indah. Pertama, melantak di 'Maidah Rahman'. Jika anda malas memasak, usah risau, mampir sahaja ke mana-mana tempat yang menyediakan makanan berbuka. Di Mesir, adat ini sudah menjadi lumrah. Oleh yang demikian, tidak perlu memikirkan di mana tempat hendak mencari makanan.

Sepanjang 'Maidah Rahman' yang dikunjungi pastinya 1/4 ayam dihidangkan. Orang Arab mana boleh makan sikit-sikit. Dan, peluang itu juga digunakan dengan sebaik-baiknya. Harapnya ada keberkatan berbuka bersama warga Mesir.

Mungkin sepanjang saya berada di Mesir, tahun ini baru mengenal perkara ini kerana ajakan kawan-kawan. Dulu, apabila tinggal di rumah sendiri rajin juga masak tiap-tiap hari kerana mungkin tempat 'Maidah Rahman' jauh. Tetapi, apabila tempat sudah dekat, saya rasa keperluan menjamah di 'Maidah Rahman' adalah tempat yang perlu dimanfaatkan.

2Kepimpinan di DPM Mansurah

Mesyuarat Agung Tahunan (MAT)

Saya menghadiri dua buah Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun ini. Pertama, Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir dan Dewan Perwakilan Mahasiswa Mansurah. Rata-rata saya melihat MAT adalah sebuah platform bermuhasabah sahaja.

Hanya teguran terhadap beberapa isu, dan kritikan terhadap gerak kerja. Mengapa silibus ini tidak ditukar? Tahun hadapan, kali ketiga saya menduduki kerusi kepimpinan untuk dimuhasabah. Apakah nanti, pelbagai kritikan dan muhasabah juga saya bakal hadapi? Ini yang menjadi persoalan.

Apapun, kekuatan mereka adalah pada percakapan. Semua orang boleh bercakap apa sahaja yang mereka mahukan. Terpulanglah kepada mereka yang menjadi seorang penilai. Apapun yang saya perlu tegaskan adalah mereka (kepimpinan) adalah manusia biasa. Bebanan dan tanggungjawab mengkhatamkan pendidikan adalah lebih penting. Sebab itu apabila sesuatu tanggungjawab tertinggal bukan bermakna mereka leka tetapi ada ruang-ruang yang masih belum diisi dengan sempurna.

Mengapa kita tidak mengadakan program muhasabah bersama kepimpinan negara. Sedangkan muhasabah itu juga ada di dalam Islam. Mesyuarat Agung Tahunan adalah dunia muhasabah semata atau dunia apa?


Maidah Rahman : tempat makan untuk berbuka puasa secara percuma.