Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Saturday, August 30, 2008

Ringkas : Malam Pengisytiharaan Puasa Ramadan



Majlis Pengisyitiharan Puasa Bagi Kerajaan Mesir telah diadakan di Dewan Andalus, Pusat Muktamar Al-Azhar, Madinah Nasr, Kaherah. Beberapa orang daripada mahasiswa Malaysia dan luar negara yang lain telah dijemput bagi sama-sama menghadiri majlis tersebut.

Program yang dihadiri oleh Syeikh Tantawi, Imam Besar Al-Azhar dan beberapa tokoh ulama ternama Mesir telah mendapat liputan yang memberangsangkan.

Pengumuman telah dibuat oleh Mufti Kerajaan Mesir, Syeikh Ali Jumaah. Justeru termaktublah bahawa, 1 September 2008 merupakan 1 Ramadan 1429H pada tahun ini. Selama hampir 30 hari, umat Islam di Mesir akan mengerjakan fardu dan rukun Islam serta melaksanakan amalan-amalan sunat di dalam bulan yang penuh barakah ini.

Lagi laporan semasa saya dan beberapa orang teman ke majlis tersebut selepas ini.

Salam Ramadan 1429H.



Ramadan Dan Kemerdekaan

Salam Ramadan 1429H. Semoga Ramadan ini akan lebih memaknakan kita selaku mahasiswa yang bergelar Islam.

MERDEKA : MENGUBAT CINTA YANG TERLUKA

Pena Mufti
Dr. Asri Zainal Abidin
Mingguan Malaysia (31 Ogos 2008)

Beberapa pihak bersungut tentang semangat patriotik generasi muda yang makin terhakis. Hal ini cuba dikaitkan dengan kemurungan mempamerkan semangat kemerdekaan. Juga pelbagai sikap yang lain generasi muda kita yang kelihatan seakan tidak lagi kisah dengan kedaulatan dan harga kemerdekaan negara. Saya tidak pasti sejauh manakah mendalamnya dakwaan ini. Jika benar itu berlaku, tentu ada sebab- sebabnya yang mengheret ke arah tersebut.

Cinta adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa atau dibuat-buat. Cinta itu lahir daripada lubuk jantung insani disebabkan faktor-faktor tertentu. Cinta lebih mendalam daripada sekadar perasaan suka atau gembira. Cintalah yang telah membina seluruh rangkaian hidup di maya pada ini. Tidakkah kita lihat, tanpa cinta tiada agama, tiada keluarga, tiada negara, tiada kehidupan dalam erti kata yang sebenar.

Agama itu sendiri dibina atas kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang mendakwa beriman, tetapi kontang jiwa dari kesyahduan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, dia sebenarnya pendusta. Firman Allah: (maksudnya) “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)" (Surah al-Taubah, ayat 24).

Justeru Nabi SAW menyebut dalam hadisnya: “Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasul-Nya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Cinta mutlak hanya boleh diperuntukkan untuk Allah dan Rasul-Nya. Dalam jiwa insani tidak mungkin untuk berhimpun antara cinta mutlak dan cinta lain yang saling bertentangan. Tidak mungkin untuk sebuah keimanan yang luhur mengizinkan ruang jiwa diisi cintakan seorang kekasih secara mutlak, dalam masa yang sama mencintai musuh kekasih tersebut. Jika itu berlaku, itu adalah cinta yang tidak mutlak sama sekali. Insan mungkin ada kelemahan dan kesilapan dalam kehidupan. Mungkin ada dosa dan kesalahan, tetapi tiada perkongsian dalam jiwa berhubung cinta mutlak kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta mutlak ini akan dapat dinilai apabila berlaku pertembungan. Firman Allah: (maksudnya) “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun kaum keluarga mereka. Mereka (yang setia) itulah, Allah telah menetapkan iman dalam jantung hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda kepada mereka dan mereka reda kepada-Nya. Merekalah penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong (agama) Allah itu ialah orang- orang yang berjaya”. (Surah al-Mujadilah, ayat 22).

Mendakwa

Maka tidak mungkin mereka yang mendakwa berjuang untuk Islam, dalam masa yang sama berkasih-sayang kepada penentang ajaran Islam secara terbukti. Bagaimana mungkin mereka yang ingin menegakkan Islam sebagai prinsip dan asas sesebuah negara akan berkasih sayang dengan sesiapa yang menentang Islam sebagai teras sesebuah negara? Jika itu berlaku, cinta perjuangan itu tidak mutlak dan ada pembohongan di sebalik dakwaan.

Cinta penting dalam kehidupan. Lahirnya kehidupan insan segalanya atas cinta. Suami isteri hidup atas dasar cinta. Tanpa cinta, porak peranda segalanya. Cinta jugalah yang membesarkan seseorang insan. Cinta ibu, cinta bapa, cinta anak, cinta saudara, cinta sahabat dan seterusnya, itulah yang membuat alam ini berjalan dengan harmoni dan tenteram. Tanpa cinta, akan nampak kecacatan emosi dan ketidakseimbangan perasaan dalam kehidupan insan. Firman Allah: (maksudnya) “Dan antara tanda-tanda kebesaran-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bermesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”. (Surah al-Rum, ayat 21).

Sesuatu yang bergerak tanpa sayang dan cinta akan lahirlah kepincangan. Jika seseorang mengakui beriman tetapi jiwanya kosong dari mencintai Allah dan Rasul- Nya, maka rosak pegangan dan amalannya. Suami isteri yang hidup tanpa cinta, bagaikan neraka dunia. Hubungan ibu bapa dan anak tanpa cinta akan berlakulah penderhakaan. Demikian rakyat, apabila sudah tidak cintakan negara atau kepimpinannya maka rosaklah ketenteraman dan keharmonian.

Ya! hadis yang menyebut “Cintakan negara itu daripada iman” merupakan hadis palsu, seperti yang diputuskan oleh para ulama hadis (lihat: al-Albani, al-Silsilah al-Da‘ifah, 1/113). Maka tidak wajar untuk sesiapa pun cuba menyandarkan hadis ini kepada Nabi SAW. Sekalipun mungkin dari segi maksud, ada kebenarannya. Cuma, bukan semua cinta negara itu termasuk dalam iman. Rakyat negara komunis juga mungkin mencintai negara mereka, tetapi mereka tidak beriman sama sekali. Kecintaan kepada negara boleh jadi disebabkan faktor iman, jika sesebuah negara itu tertegak dalamnya keadilan, kebenaran dan keharmonian bersesuaian dengan titah perintah Allah dan Rasul-Nya. Bahkan mempertahankan tanah air Islam itu merupakan kewajipan yang difardukan kepada setiap individu muslim.

Secara fitrahnya, insan cintakan ibunya, ibu cintakan anaknya, suami cintakan isterinya, isteri cintakan suaminya, demikian rakyat cintakan negaranya. Jika terhakis perasaan cinta antara semua itu, sudah pasti ada faktor-faktor yang mempengaruhi. Boleh jadi ia disebabkan ada faktor luaran seperti hasutan atau racun perasaan yang ditaburkan. Atau, boleh jadi tindakan yang dilakukan oleh salah satu pihak telah melukai perasaan pihak yang lain.

Jika kita berbalik kepada semangat kemerdekaan, dahulu kita lihat rakyat kita setiap kali menjelang kemerdekaan begitu bersemangat mempamerkan kebanggaan mereka kepada negara ini. Namun kebelakangan ini kelihatan jelas semangat itu terhakis dan begitu malap. Ke mana pergi semangat itu semua? Mungkin pelbagai faktor boleh disebutkan. Namun saya berpendapat bahawa antara faktor utama adalah, banyaknya tindakan mereka yang diberikan amanah dalam negara ini telah benar-benar mengguris hati dan perasaan rakyat. Walaupun kebelakangan ini semacam ada usaha untuk membaiki keadaan, tetapi hati yang luka itu nampaknya amat sukar untuk dipujuk kembali. Tidak semestinya kerana mereka telah jatuh hati kepada kekasih baru, tetapi kebencian dan kemarahan boleh menjadikan manusia benar-benar berubah.

Dalam setiap negara, dua perkara amat penting bagi sesebuah pemerintahan. Pertama; keadilan hukum antara rakyat. Sehingga tiada seorang pun yang diberikan keistimewaan mengatasi perundangan dan hukum. Jangan ada yang lemah sentiasa kalah, yang kuat sentiasa megah. Jika itu berlaku, kebencian akan merebak dan cinta akan terpadam. Apabila orang-orang besar cuba menunjukkan kuasa mereka kepada orang bawahan, sehingga ada yang rasa mereka dizalimi, maka pemerintah akan dibenci. Pemerintah itu hendaklah bak kata Saidina Abu Bakr al-Siddiq: “Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah disisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah”. (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Menguruskan

Kedua; sikap amanah dalam menguruskan harta rakyat. Dalam zaman serba canggih dan serba nampak ini, seorang pemerintah bukan sahaja bersih, hendaklah juga kelihatan bersih. Bagaimana hendak ditafsirkan oleh rakyat bawahan jika seorang yang baru menjadi wakil rakyat atau menteri, dalam masa yang singkat kekayaannya berlipat-lipat. Sehingga tidak masuk akal untuk dia memiliki harta sebanyak itu melainkan diragui ada penyalahgunaan kedudukan dan kuasa. Apatah lagi jika dia mempamerkan kekayaan itu dengan penuh kesombongan. Bertambah pelik lagi jika dia dapat memiliki geran-geran tanah dan projek yang tidak dapat dicapai oleh orang lain secara usaha yang jujur. Rakyat tidak buta. Lebih-lebih lagi jika penyelewengan itu dibuktikan kepada mereka. Mereka tahu menilai bagaimana sesuatu projek berlipat harganya. Siapakah hantu yang menelan wang itu di tengah jalan seperti hantu kisah dongeng Badang yang memakan ikan dari lukahnya sehingga tiba-tiba yang tinggal hanyalah tulang belulang. Masalahnya, wang projek-projek itu, bukan ikan Badang, tetapi wang rakyat yang masih ramai hidup dalam kesusahan atas kerakusan orang lain. Perasaan rakyat jadi membengkak saban waktu. Lalu ia menjadi busung yang busuk mengandungi nanah dan darah. Dendam dan kebencian merebak. Segala penjelasan akan ditolak. Yang betul pun akan dikatakan salah, apatah lagi jika benar-benar salah. Rakyat membenci sehingga dalam perkara yang tiada sebab yang jelas. Apa sahaja hasutan apabila sampai ke peringkat seperti ini akan ditelan. Ketika itu negara akan parah. Tidak lagi mahu mendengar perintah. Lalu fitnah akan bertebaran tanpa mampu disekat lagi.

Justeru, Islam mengharamkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pembahagian harta orang ramai. Walaupun rasuah itu dalam banyak keadaan diberikan secara senyap, tetapi kesannya kepada hati dan perasaan mereka yang teraniaya begitu berbekas dan jelas. Daripada kesimpulan para sarjana fekah dapatlah kita rumuskan rasuah sebagai “pemberian yang menyebabkan ada pihak yang dizalimi atau menghalang keadilan ditegakkan”. Allah berfirman (maksudnya): “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang- orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).(Surah al-Baqarah, ayat 188). Sabda Nabi SAW: “Allah melaknat pemberi dan pengambil rasuah” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika ramai manusia yang dilaknat menguasai urusan rakyat, maka negara akan terus sakit, kecintaan akan terus kabur.

Semangat kecintaan kepada negara tidak mungkin dapat disuburkan kembali, melainkan dua perkara yang disebutkan itu mesti diperbetulkan secara agresif, bukan kosmetik. Bukan sekadar membarukan slogan, tetapi mesti dikikis insan-insan yang pernah menimbulkan masalah kepada rakyat dan dikembalikan negara kepada Islam tulen berasaskan Siasah Nabi SAW dan para khalifah al-Rasyidin.

Saya mengambil kesempatan ini memuji bajet yang dibentang kelmarin, kerana cuba membaiki keadaan rakyat. Ramai yang memujinya. Cuma, apa yang menjadi perkara penting adalah sikap amanah semua pihak dalam melaksanakan Bajet 2009 tersebut. Mesti ada kesungguhan yang jelas dalam membebaskan negara dari penyalahgunaan kuasa dan harta. Banyak cita-cita yang baik akan terbengkalai apabila mereka yang diamanahkan menunaikan tugas itu mencemarinya. Maka pastikan tiada lagi sesiapa pun yang menganggap kuasa pemerintahan seakan kunci mendapatkan harta karun, atau menguasai tampuk kuasa itu bagaikan menguasai harta rampasan perang. Marilah semua rakyat dan mereka yang mempunyai kuasa menghayati apa yang diperintahkan oleh Allah SWT ini dalam firman-Nya: “Wahai sekalian manusia! makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (Surah al-Baqarah, ayat 168).

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan!


Wednesday, August 27, 2008

Persidangan Mahasiswa Islam Sedunia : Apa hasilnya?

Perwakilan sedang berinteraksi dengan audien.

Selepas Persidangan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PERMIT 07) tahun lalu, pada tahun ini Persidangan Mahasiswa Islam Sedunia mengambil tempat. Bertempat di Dewan Kristal, Saly Mall, Madinah Nasr, persidangan ini memberi ruang yang terbuka kepada semua mahasiswa di antara Mesir, Jordan, United Kingdom, Yaman, Maghribi, dan Syria bertukar-tukar pendapat dan pandangan di dalam memastikan kemajuan dan peningkatan nilai ilmu dan thaqafah diterapkan secara langsung.

PMRAM yang merupakan penganjur kepada program ini sekaligus berjaya memastikan pemahaman dan gemblengan tenaga berpasukan terus dibina dengan menyatukan rangkaian pemikiran. Ini terbukti dengan beberapa pembentangan kertas kerja yang diadakan beserta dengan deklarasi yang terus digilap bagi merealisasikan hasrat mahasiswa Islam di rantau luar negara tidak hanya lena dibuai dengan arus pemodenan semasa.


Tinjauan saya mendapati sebahagian besar peserta berjaya menyatukan pemikiran di antara golongan agamawan dan profesional di dalam memastikan gerak kerja sebagai mahasiswa Islam Malaysia di luar negara sentiasa wujud. Realitinya peranan mahasiswa luar negara seharusnya dimainkan tanpa memikirkan apakah hasilnya nanti. Namun, daripada sudut pemahaman pemikiran di luar bidang kuasa ini, keyakinan kita membentuk gerakan generasi untuk menyumbang kepada masyarakat itu sudah hampir-hampir tiba ke arah yang positif.

Sebanyak lapan resolusi yang dipersetujui oleh semua ketua delegasi di dalam persidangan ini. Semestinya peranan Sekretariat Mahasiswa Islam Asia Barat (SMART) menjadi amanah utama yang perlu ditekankan agar tidak ada lagi anasir-anasir musnah yang menjadi jurang di antara negara-negara ini.

Perasmi penutup di dalam ucapan rasminya mengingatkan mahasiswa bahawa keperluan mahasiswa menguasai bahasa Arab adalah cukup penting pada waktu ini.

"Sudah sampai masanya kita menghayati, mendalami dan menguasai bahasa Arab secara total".

Kuasa mahasiswa Islam di luar negara menjadi benteng kekuatan kerana bahasa ini bakal menjadi bahasa dunia yang akan menenggelamkan pemikiran dan dakyah songsang masyarakat yang sentiasa berkecamuk.

Hasilnya nanti, istilah muqabalah, muzakarah dan mubahalah tidak lagi terbelit lidah disebut oleh rakyat Malaysia.


Monday, August 25, 2008

Penulis, Masa Depan, Tuntutan Peribadi

Sambutan Hari Kemerdekaan kali-51.
(Terpegun melihat persembahan dari Aceh)


BARANGKALI, jika diizinkan saya menulis catatan peribadi - saya adalah insan yang mampu menulis catatan peribadi dengan panjang. Bukan ingin bercerita santai, tetapi sekurang-kurangnya pengalaman, perit-getir itu saya rakamkan di dalam diari peribadi.

SEBERMULA dari kecil, meningkat dewasa sehinggalah kini, semua catatan itu benar-benar saya simpan dalam kotak peribadi. Jika diberikan dacing kepada saya (bukan dacing Barisan Nasional) saya beranggapan bahawa catatan itu tentunya meraih timbangan berat ke arah kisah-kisah duka.

Tetapi semua itu saya anggap sebagai rencam peribadi. Jika dinamakan ujian, pastinya ujian itu Allah tentukan. Sebab itu, saya yakin bahawa itu semua takdir dan ketentuan Allah. Tetapi, ketentuan dan takdir itu sebenarnya dan sepatutnya saya yang lakarkan. Walaupun demikian, saya harus mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengenal saya sebagai seorang 'abid' bahawa tidak dapat tidak pengakuan dan keyakinan tentang hak itu terpaksa diterima.

Menghalang

Tentu sahaja saya menjadi bahan fitnah buat masa ini. Difitnah itu, difitnah ini. Atas satu nama, iaitu Allah saya berkeyakinan bahawa semua fitnah itu adalah sesuatu yang bukan datangnya daripada saya. Saya sudah melakukan yang terbaik. Malah, memikirkan yang terbaik bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi di dalam keadaan terdesak ini.

Apa sebenarnya yang menghalang perjalanan kehidupan saya ini? Saya pun tidak ketahuan. Barangkali juga semua itu sentiasa akan menjadi fitnah terhadap diri.

Seperkara yang harus dijelaskan, permusafiran saya hampir-hampir rebah semenjak tahun lalu. Ianya langsung memberi tamparan kepada diri. Desakan yang kuat, penafian yang hebat, fitnah yang berat, kehidupan yang tersalah, semua itu menjadi cerminan hidup. Namun, saya bersyukur kerana saya dipertemukan dengan dunia baharu iaitu pendidikan luar sedar yang tidak ada di dalam kamus pendidikan dan pelajaran.

Apapun, biar itu menjadi pengalaman dan memori yang tidak pernah bernilai. Usah dipaksa manusia menjadi harimau, jika gagal berubah watak. Jangan diganggu bara yang merah kerana panas bakal menerkam jiwa.

Kisah ini saya tinggalkan kepada semua bahawa menulis, masa depan dan tuntutan peribadi itu suatu permasalahan!

Friday, August 22, 2008

APA RELEVEN SURAT TERBUKA INI?

SURAT TERBUKA

1)Mohd Halim Bin Hj Md Rashid
No Ahli PAS: 269003
Kawasan: Kepala Batas.
2)Norhasimah Binti Ahmad
No Ahli PAS:320002
Kawasan: Kepala Batas.

20 hb Ogos 2008.

KEPADA:
Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat
Dato` Seri Anwar Bin Ibrahim.

Assalamualaikum wrh..wbth!

PER: NASIHAT MENASIHATI DI ATAS KEBENARAN

Maksud al-hadith- `Hendaklah kamu menolong/membantu saudara kamu yang dizalimi (kena zalim) dan menzalimi (melakukan kezaliman), para sahabat bertanya kepada Rasul SAW- orang yang kena zalim kami tahu, tapi macamana nak bantu orang yang menzalimi? Nabi SAW menjawab- Mencegah atau menegah orang yang melakukan kezaliman itulah bererti membantu orang yang zalim`. (wallahu`alam)

Sebagai menunaikan hak seorang Muslim ke atas saudara Muslimnya yang lain kami suami isteri yang merupakan ahli PAS dari Kawasan Kepala Batas ingin menasihati Dato` Seri supaya membersihkan diri dengan melakukan `Sumpah Mubahalah` seperti yang terdapat di dalam ajaran Islam.

Perkara ini penting kerana secara umumnya jiwa-jiwa kami ummt Islam cukup `tersentuh` dengan mehnah atau tribulasi yang terkena pada Dato` Seri, oleh itu sebagai menghilangkan keraguan serta kecurigaan sesama umat Islam jalan terbaik ialah dengan Dato` Seri melakukannya untuk menghilang serta mententeramkan perasaan umah dengan mengikut adap Islam dan disaksikan oleh orang-orang yang berkelayakan dari sudut Islam. Jika kita berada di pihak yang benar insyaAllah, Allah akan memberikan kekuatan serta pertolongannya kepada Dato` Seri.

Tetapi seharusnya Dato` Seri ingat jika sekiranya Dato` Seri terus-terusan mengelak atau berdalih, ianya akan semakin hari semakin menjarak-jauhkan perjuangan Dato` Seri dengan perjuangan yang didukungi ummah Islam di tanahair ini.

`IntansurulLaha yansurkum waayusabbit aqdamakum` Jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu. Inilah nasihat kami sebagai ahli PAS demi kepentingan perjuangan ummat Islam, sekian wassalam!

Yang Benar,
Ahli PAS:269003
Ahli PAS:320002

Wednesday, August 20, 2008

Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan ke-51 dan Komentar Saya

SAYA menulis selepas pulang daripada Dataran Hayyu Asyir. Tiba di rumah jam 5.30 pagi. Malam kemuncak berakhir sekitar hampir 12.30 tengah malam. Bersembang dan melihat ahli jawatankuasa bertugas sehingga selepas berprogram, jam merayap sehingga 4.00 pagi dan tumpang tidur di rumah teman sehingga Solat Subuh.

Saya terkenang kembali tiga tahun yang lalu. Ketika diamanahkan sebagai pengerusi majlis bagi Malam Penutup dan Kemuncak Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan (PMHK) pada ketika itu tentunya pengalaman berhadapan dengan sejumlah mahasiswa di bumi Mesir tidak dapat dilupakan. Dan, akhirnya selepas 2 tahun pulang ke Malaysia saya tidak dapat merasai kemeriahan sambutan itu di Mesir. Paling utama kerana, hak PMRAM beroperasi di Dataran Hayyu Asyir tidak diberi kuasa. Akhirnya selepas Kerajaan Selangor menang oleh pihak pembangkang (PKR), PMRAM memulakan gerak tugas menyusun jentera mengembalikan semula nostalgia besar suatu masa dahulu untuk mengadakan program ini dengan jayanya di Dataran Hayyu Asyir ini.

Hasilnya, malam tadi kemuncak acara PMHK dengan disaksikan hampir 1,000 orang mahasiswa membanjiri perkarangan Dataran Hayyu Asyir. Tentunya pengalaman ini adalah pengalaman paling berharga.

Saya tentunya berbangga dengan kerja gigih dan semangat pasukan yang ditunjukkan oleh sebahagian besar ahli PMRAM yang bertungkus lumus memastikan program berjalan lancar. Ada beberapa orang AJK yang tidak tidur malam demi memastikan program berjaya dengan cemerlang. Terima kasih daun keladi. PMRAM tidak ada nilai duit kocek yang ingin dibalas. PMRAM hanya sebuah persatuan yang mampu mengumpulkan sejumlah ahli untuk berhimpun.

Terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Datuk Duta kerana merasmikan majlis penutupan rasmi. Tentunya jasa beliau amat dihormati.

Hakim Acara Puisi

Saya dilantik sebagai hakim acara puisi. Namun, secara peribadi pemenang tempat pertama, malah kedua bukan menjadi pilihan saya. Namun, selepas markah telah dihimpun daripada juri pertama, kedua dan ketiga menjadikan peserta daripada Zon D berjaya menggondol hadiah.

Biarlah saya berkata jujur. Untuk menentukan pemenang bukannya mudah. Lebih-lebih lagi menghakimi bahagian puisi bukanlah mudah. Sebab itu, jika anda bukan seorang pakar puisi, jangan jadi hakim puisi. Itu komentar saya yang pertama.

Daripada tiga orang panel hakim puisi yang dilantik saya kira orang yang memahami nilai puisi hanyalah saya seorang. Sedang dua orang hakim yang lain hanya sebagai seorang pemantau dan pendengar puisi. Sebab itu apabila saya katakan johan puisi saya tidak bersetuju, tentunya ada sesuatu yang menjadi masalah tersendiri.

Pada saya, menilai puisi bukanlah daripada penyampaian semata-mata. Kerana, yang lebih penting ada nilai dan gaya bahasa di dalam puisi. Adakah anda mahu lihat puisi sebagai sebuah prosa sahaja. Tentu sahaja orang biasa pun boleh menyampaikan prosa dengan baik dan sempurna. Orang yang memahami puisi sahaja tahu nilai puisi di dalam karya.

Saya paling berminat dengan peserta terakhir (yang tidak memenangi sebarang tempat) kerana isi dan bahasa di dalam karya adalah terbaik. Namun, atas dasar kami berkongsi pemarkahan, oleh yang demikian johan menjadi milik insan yang lain.

Oleh yang demikian, jika mahu jadi hakim- anda perlu jadi seorang pakar terlebih dahulu.


Saturday, August 16, 2008

SAYEMBARA NOVEL, PMHK DAN ITU-ITU


Sayembara Novel

Tahniah saya ucapkan kepada semua pemenang-pemenang Sayembara Novel Sejarah Johor II yang telah mendapat tempat di hati para juri sempena dengan sayembara yang telah ditutup penyertaan pada 31 Disember 2007 yang lalu.

Sememangnya sukar benar menulis satu karya sejarah yang berlatarkan negeri Johor. Namun, kekuatan bahan dan wacana yang ditunjukkan oleh pengarang (mungkin) menjadikan latar itu benar-benar kukuh.

Saya pernah membaca SURAT-SURAT PEREMPUAN JOHOR karangan Faisal Tehrani. Sememangnya karya sejarah memang sarat dengan wacana dan falsafah.

Keputusan Pertandingan adalah seperti berikut :-

1. Hadiah Pertama (RM 35, 000.00)
Tiada Pemenang

2. Hadiah Kedua (RM 25,000.00)
Ribut Andelas, Arus Melaka, Badai Hujung Tanah
Karya Kasim Mahmud

3. Hadiah Ketiga (RM 15,000.00)
Rimbun Terra Ujung Medini
Karya Rahimah Muda

Hadiah Sagu Hati

i. Perang Jementah (RM 5,000.00)
Karya Abdul Latip Talib

ii. Datuk Moyang Saleh (RM 5,000.00)
Karya Abdul Latip Talib

PMHK

Kenapa PMHK dinamakan EGP (Ekspo Gempak PMRAM) pada tahun ini? Apa istimewanya program ini? Benarkah ia lain dari yang lain. Mengapa-mengapa-dan mengapa. Saya akan jawab selepas tamat program nanti.

Saya menulis sementelah tamat program perasmian PMHK kali ke-51 ini. Ada suka yang baharu. Ada jenama baharu. Ada kekuatan yang belum termampu. Namun, semuanya itu bergantung pada kuasa yang membantu.

ITU-ITU

Itu-itu membawa pengertian yang banyak. Malah nilaian itu sememangnya ada. Dalam menempuh 15 Syaaban di samping Ramadan yang (mungkin) bakal disambut di Danau Kota Kaherah ini, tentu pelbagai rancuan yang ada. Saya sememangnya merindui Maidah Rahman dalam Ramadan. Saya merindui sebiji kurma daripada tanah Arab. Dan, turut saya merindui adalah sebuah keikhlasan dan kepuasan dalam Ramadan.

Moga-moga, rezeki Tuhan itu ada untuk kita bertemu dengannya. Saya mahu mengajar diri mengenal sekolah Ramadan dengan baik. Doakan!

Wednesday, August 13, 2008

AKU, AMNI DAN PERKAHWINAN

Sekitar perjalanan bintang 'Leo' banyak perkara yang telah berlaku. Tahniah dan takziah kepada mereka yang banyak terlibat dengan melankolik ini. Baru kini saya ketahuan banyak perkara yang sememangnya berlaku pada zaman 'Leo' ini. Mungkin ada yang tidak menyenanginya. Tetapi bagi saya, ia hanyalah kebetulan semata-mata bukan iktikad.

22 Julai - Ustaz Hairul menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-2X (dah tua!) hehe
26 Julai - Amni Insyirah sudah berumur 1 tahun
31 Julai - Hari Lahir Teman Lama saya (di sekolah rendah)
31 Julai - Ulang Tahun perkahwinan Pak Cik Saya (Roslan vs Haniza)
3 Ogos - Hari Lahir Guru Persatuan Bahasa Melayu (SMA Kerajaan Johor Kluang)
7 Ogos - Hari Lahir Penulis Terkenal (Faisal Tehrani)
8 Ogos - Hari Lahir Penulis 'Tarbus Merah'
11 Ogos - Hari Ulang Tahun Perkahwinan Ayah dan Ibu

Dalam menempuh tarikh-tarikh keramat ini, tarikh-tarikh ini juga ada yang menyeksakan kerana lahirnya natijah peperiksaan di Universiti al-Azhar pada tarikh-tarikh ini.

Tahniah kepada yang berjaya.




Tuesday, August 12, 2008

Baca Artikel Dalam Majalah Fityan PMRAM

Nur Islam tidak sama dengan nur azhari

METOD DAKWAH : Mahasiswa Islam Perlu Berubah
Oleh : Syafiq Zulakifli

Dakwah merupakan suatu tuntutan yang besar; meliputi aspek-aspek duniawi dan ukhrawi. Islam mengakui bahawa metod dan cara dakwah setiap individu itu berbeza. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Barangsiapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dicegahnya dengan tangan. Jika tidak berdaya hendaklah dicegahnya dengan kata-kata dan jika tidak mampu hendaklah dicegahnya dengan hatinya. Dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Kefarduan dakwah ini tentunya sebati dengan jiwa seorang mahasiswa Islam. Kita telah pun diajar tentang perihal dakwah yang berkesan terhadap mad’u untuk dibentuk menjadi seorang Islam yang sebenar.

Semua orang yang bergelar manusia tentunya mempunyai perasaan dan jiwa. Tentunya, uslub yang ditunjukkan oleh pendaie pada hari ini belum mampu untuk meyakinkan orang lain tentang teknik yang diperkenalkan dan dibawa. Mengajar orang melakukan kebaikan bukanlah suatu yang mudah. Lebih-lebih lagi mengajar dan mendidik mereka yang sudah faham tentang Islam namun bermati-matian tidak mahu memperjuangkan Islam sebagai agama.

Dakwah mempunyai teknik dan metod tersendiri. Bukan semua insan yang digelar hamba mampu menjalankan misi ini dengan berkesan dan baik. Tentu sahaja banyak halangan dan cabaran yang seharusnya diteroka demi memastikan teknik yang disampaikan berkesan dan mendapat perhatian.

Sebagai seorang pendakwah, tentunya personaliti diri adalah umpan utama di dalam perlaksanaannya. Ini dilihat daripada beberapa ceramah-ceramah perdana Islam yang dianjurkan oleh mana-mana pihak pun menyaksikan bahawa keperibadian yang unggul merupakan kunci utama kepada kejayaan metod dakwah seseorang.

Kita perlu yakin dan percaya, bahawa sikap selekeh, baju yang tidak gosok, mulut berbau malah pakaian yang buruk bukan lagi menjadi perhatian mad’u kita. Sesungguhnya perkara ini merupakan satu elemen yang tidak boleh tidak hendaklah dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Masyarakat pada hari ini bukan lagi golongan kelas rendah dan kelas bawahan. Malah, kelahiran golongan profesional yang semestinya mahu mendasari Islam merupakan cabaran besar yang mendatang kepada kita.

Justeru, adalah tidak molek jika sebagai pendakwah ciri-ciri ini diabaikan lantas menjadi fitnah bahawa golongan pendakwah tidak berkeperibadian seperti yang diajar oleh al-Quran.

Perubahan ini seharusnya dilatih dan dikaji dari semasa ke semasa. Teknik pertuturan, cara penyampaian, kaedah baru yang lebih berkesan seharusnya dikaji dan diperhebatkan dengan lebih kukuh agar dakwah Islam itu dapat tersebar dengan jayanya.

Persiapan yang kukuh terhadap nilai-nilai Islam dan agama perlu agar suatu masa nanti golongan azhari menjadi tempat rujukan utama di dalam pengurusan Islam di Malaysia. Semua perkara ini perlukan latihan yang berterusan. Kaedah demi kaedah baru perlu diperkenalkan agar generasi hari ini akan pulang membawa satu metod perlaksanaan baru yang mampu digunakan dan dipersembahkan kepada golongan cendiakawan yang berprofil tinggi dan bukan lagi pendengar bawahan dan picisan.

Sedari itu, usaha ini perlu diperhebatkan dari segenap sudut sama ada yang bersifat teori atau praktikal. Sumber tenaga kepakaran yang terbentuk ini akan menjamin dakwah yang lebih berkesan pada masa akan datang. Seharusnya persatuan-persatuan yang beroperasi pada hari ini hendaklah melatih mahasiswa kita untuk ke hadapan di dalam misi memperjuangkan kalimah Allah ini.

TAMBAHAN :

13 OGOS - Saya akan menyampaikan TEKNIK PENGUCAPAN AWAM (Public Relation Skills) di Asrama Pelajar Kelantan, Hayyu Sabie, Kaherah. Mahasiswa dan mahasiswi yang ingin turut-serta dijemput bersama-sama. Tempat adalah terhad. Hanya 30 orang sahaja.


'Punca'


Ada beberapa faktor dan sebab; mengapa blog saya kurang dikemaskini akhir-akhir ini:-

Pertama : Jadual harian terlalu sibuk mengendalikan perkara-perkara rencam yang langsung tidak dijadualkan. Apabila tugasan datang secara mufajaah (tiba-tiba) saya jadi kelam-kabut.

Kedua : Perkhidmatan internet di rumah telah putus. Ruang untuk saya membaca dan menulis terus di dalam internet terbantut.

Ketiga : Saya tidak menguruskan jadual saya dengan baik. Apabila musim berubah, jadual kehidupan saya turut juga berubah. Ada yang pagi dinamakan petang. Ada yang petang dinamakan malam. Begitulah sebaliknya.

Keempat : Selepas peristiwa demi peristiwa yang berlaku kepada diri, saya jadi tidak keruan menyebabkan sistem penulisan juga hampir-hampir tenggelam.

Kelima : Ada beberapa semangat yang hilang. Ada beberapa nafsu yang terbuang. Dan, ada beberapa nikmat terhalang.

Dan, bagi saya punca utama masalah ini adalah kerana internet!

Friday, August 08, 2008

08-08-08

Tentu sukar bertemu dengan tarikh keramat ini. Lebih-lebih lagi dalam sesak menanti belah yang teramat lemas. Dalam kesukaran ini juga, doa yang tulus dan ikhlas dipohon kepada Allah Taala agar segala urusan akan berjalan dengan sempurna.

08-08-08. Genaplah usia saya bernilai 23 tahun. Tentu dalam meniti usia yang emas ini, kekadang ada rasa gundah dan rasa parah yang tiada siapa dapat merasa.

Namun, sedari itu kita perlu belajar erti syukur.



Monday, August 04, 2008

SEMOGA MAMA CEPAT SEMBUH

"Permain apakah yang mendustai;
sedang lena alah berperi
pagi-petang dan dinihari

kekal di atas mimbar sepi."


Semoga mama beroleh kesihatan yang sejahtera seperti dahulu.


General Hospital, Singapore

Aku tidak pernah selemah begini
menanti berita yang menjajah diri
detik waktu silih berganti
menunggu masa menghitung hari.

Doaku mama kembali
seperti asal sedia berdiri
gagah melayan karenah kami
gentar ini Allah ketahui.

Cukuplah Tuhan kafarah yang kau beri
biar aku sebagai pengganti
usah diseksa insan ini
kerana aku masih menyayangi. :(




Sunday, August 03, 2008

APABILA KERAJAAN MALAYSIA SUDAH SEDAR

Sumber berita semalam dan ucapan YAB Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak memang bertepatan dengan hasrat 'kami' selaku penaung di bumi Mesir ini yang ingin melahirkan mahasiswa yang bijak, cemerlang dan intelek di Al-Azhar.

Sehubungan dengan itu, penghantaran mahasiswa yang cemerlang di bumi Mesir adalah tindakan yang tepat selepas beberapa tamparan yang hampir-hampir melibas pipi mahasiswa Malaysia di Mesir dengan tuduhan-tuduhan negatif.

Punca utama tidak lain dan tidak bukan adalah mahasiswa yang diangkut ke bumi Mesir ini adalah mahasiswa yang sudah boleh dijadikan 'sampah' oleh pihak Jabatan Pengajian Tinggi. Akhirnya, mahasiswa yang belajar adalah mahasiswa yang langsung tiada kelebihan dan kefahaman bahasa Arab itu lemah.

Tetapi pihak kerajaan perlu sedari bahawa; bukankah kerana anda yang melatih kami di peringkat sekolah dahulu sehingga kami jadi begini?

Di mana tugas LEPAI, JAKIM dan SPPIM, KPT sehingga langsung tiada modul berkesan mengajar bahasa Arab di sekolah.

Jika mahu dihitung berapa sahaja patah perkataan yang disebut di dalam kelas sewaktu pembelajaran bahasa Arab Tinggi dan bahasa Arab Komunikasi.

Untunglah kami ini dididik di bawah aliran Sekolah Agama Rakyat yang sememangnya boleh mengenal huruf Arab bukan sekadar 1-2 jam sahaja seminggu.

Apapun, tahniahlah kerana realisasikan hasrat kami di sini membuka peluang mahasiswa Malaysia di Mesir berhadapan dengan kampus terbaharu. Sedari itu mudahlah nanti warga-warga yang disuapkan dengan jutaan ringgit itu nanti akan mencium telapak kakimu sehingga tunduk menekur mengagungkan yang mungkar.

___________________

Sumber : Utusan Online, Sabtu 2 Ogos 2008


Hanya pelajar terbaik dihantar ke Al-Azhar


KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kerajaan akan memastikan hanya pelajar terbaik dalam Pengajian Islam di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dihantar melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu dibuat setelah Majlis Tertinggi Al-Azhar yang dipengerusikan oleh Al-Imam Al-Akhbar Universiti Al-Azhar telah membatalkan perjanjian dengan semua 20 Kolej Islam di Malaysia.

Katanya, kerajaan dukacita dengan keputusan pembatalan pengiktirafan sijil-sijil serta diploma keluaran sekolah-sekolah agama rakyat dan kolej-kolej Islam di Malaysia oleh Universiti Al-Azhar yang berkuat kuasa 22 April lalu.

"Universiti berkenaan melahirkan rasa tidak puas hati dengan rendahnya kualiti pelajar kita yang gagal menguasai bahasa Arab hingga tidak mampu mengikuti pengajian dengan sempurna,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Biasiswa AmanahRaya Universiti Al-Azhar dalam bidang Pengajian Islam kepada 20 pelajar di sini hari ini.

Sehubungan itu, Najib berkata, kerajaan akur dengan keputusan dan asas pembatalan itu selain saranan daripada universiti tersebut yang mahukan hanya pelajar-pelajar terbaik dihantar ke sana.

Menurut beliau, kerajaan yakin dengan menghantar pelajar-pelajar terbaik ke Universiti Al-Azhar, ia akan membolehkan kerajaan melahirkan ulama-ulama Ulul Albab yang memiliki minda kelas pertama dan berpengetahuan luas serta berwibawa.

''Memang menjadi harapan besar kerajaan agar ulama-ulama kita ini bukan sahaja bergelar 'Syaikh', malah bergelar 'Doktor' melalui pencapaian mereka hingga ke peringkat doktor kehormat (PhD),'' katanya.

Beliau memberitahu, pada masa ini kerajaan memerlukan lebih ramai ulama dan bijak pandai agama di kalangan rakyat Malaysia.

Kata beliau, graduan pengkhususan bidang agama bukan sahaja akan menduduki jawatan-jawatan tradisi dalam pentadbiran agama seperti mufti, ketua hakim syarie, pengarah di jabatan agama negeri, tetapi juga sebagai pentadbir dalam sektor kewangan dan perbankan.

Justeru, jelas beliau, para graduan perlu benar-benar berilmu, bijaksana sifatnya, berwibawa serta berkebolehan lagi berkemampuan berbicara di forum-forum di peringkat antarabangsa.

''Generasi baru ulama ini kita harapkan bukan sahaja berkemampuan untuk menguasai bahasa Arab, malah seharusnya mempunyai kemahiran bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dengan baik,'' katanya.

Usaha tersebut, katanya lagi, akan menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang maju dan disegani oleh dunia.

Melalui persetujuan yang dicapai dengan pihak universiti, 20 pelajar yang dihantar oleh kerajaan akan memasuki kelas persediaan selama setahun sebelum mereka memasuki tahun pertama.