Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Wednesday, July 30, 2008

Pemergian Yang Tidak Dirancang

SN A. Samad Said dan SN S. Othman Kelantan berbincang ketika di ASWARA. Gambar terakhir yang sempat dirakam.

WARGA Sastera Tanah Air menerima pemergian sasterawan negara ke sembilan, Allahyarham S. Othman Kelantan yang menemui ilahi pada hari Khamis, 30 Julai 2008.

Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh beliau dicucuri rahmat. Insya-Allah. Daripada berita yang saya terima sehingga kini, saya tidak pasti apakah penyakit yang dihadapi oleh Allahyarham.

Kali terakhir saya bertemu dengan beliau adalah pada 3 November lalu di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Saya tidak menyangka bahawa itulah pertemuan kali pertama dan kali terakhir saya dengan Sasterawan Negara yang kesembilan itu.


PROGRAM SASTERA


KEM LATIHAN PENULIS PMRAM akan mengadakan Seminar dan Bengkel Penulisan khusus kepada semua mahasiswa Malaysia yang berada di bumi Mesir ini. Justeru, mereka yang berminat untuk menyertai program ini boleh terus berhubung dengan jawatankuasa yang terlibat.

Insya-Allah, saya akan membentangkan satu slot di dalam program itu nanti.

Daripada Laman Web PMRAM;

Kem Latihan Penulis PMRAM (KELAP) di bawah kelolaan Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM akan mengadakan Seminar dan Bengkel Penulisan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi di bumi Mesir. Program ini adalah menggalakkan penglibatan mahasiswa Timur Tengah di dalam mempamerkan bakat-bakat penulisan kreatif.

PMRAM yakin dan percaya dengan program sedemikian, ramai penulis baharu yang dapat dibentuk. Antaranya, Amiza Khusyri Yusof (Negeri Sembilan), Syarifah Salha Syed Ahmad (Negeri Sembilan), Mohd Nazmi Yaakob (Kelantan), Mohd Zaki M Noor (Johor), Sammaituha Najwa (Negeri Sembilan) dan ramai lagi yang sudah menempa nama di persada dunia tanah air di dalam genre penulisan cerpen dan puisi.

Oleh yang demikian, KELAP mengajak mahasiswa dan mahasiswi turut serta di dalam program yang akan diadakan pada:-

HARI : ISNIN ( 4 OGOS 2008)
TEMPAT : DEWAN SYEIKH SYA'RAWI, WISMA PERAK DARUL RIDZUAN, HAYYU SABIE
MASA : 8.30 PAGI HINGGA 6.00 PETANG
YURAN : LE 7 sahaja.

Pendaftaran boleh dilakukan terus kepada wakil Unit Penerangan dan Penerbitan BKAN dan DPM masing-masing atau terus hubungi urusetia di talian di bawah :-



Ustaz Asri : 016-154 4174
Ustazah Hazila : 010-382 5643

Berdakwah Dengan Mata Pena

Sunday, July 27, 2008

Setelah Amni Insyirah 1 Tahun


26 JULAI 2008. Amni Insyirah telah genap berusia 1 tahun mengikut Kalendar Masihi. Tetapi, jika disemak mengikut Kalendar Hijri bulan kelahirannya tetap sama. Rejab. Nanti saya kaji ya.

Galau hati keluarga
peluk cium ayahanda
erat tangan kekanda
tuntunlah
walau seperit celaka
yang menanti dikau
di padang bernama mahsyar.

Sudah pedih lidahku
menghukum nafas petani rimba
bahawa segumpal emas dan airmata
tak dijual di kedai biasa.

- Puisi : Sekeping Akal Buat Amni Insyirah-

dimuatkan di dalam Antologi Puisi Bahasa Bumi, 50 Penulis Luar Negara
yang berada dipasaran sekarang.


Friday, July 25, 2008

Pak Long Mulut Murai


Pak Long Mulut Murai ada dengar satu cerita. Tapi tak pasti la soheh ke tidak. Pang Long Mulut Murai harap berita ini soheh.

Sempena dengan tema "Julang Thaqafah Bakti Dicurah", Pak Long Mulut Murai ada dengar bahawa PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) akan menyalurkan zakat kepada mahasiswa di perlembahan Nil ini.

Sumber memberitahu Pak Long Mulut Murai bahawa proses zakat ini akan diberikan kepada mahasiswa yang layak selepas ditapis oleh satu jawatankuasa temuduga. Ianya terdiri daripada Pemegang Amanah Zakat PMRAM dan lain-lain lagi.

Pak Long Mulut Murai dengar juga; bahawa nilai zakat itu (RM 6,000 setahun) untuk yang layak menerimanya. Kalau Pak Long Mulut Murai dibenarkan untuk isi borang temuduga itu, pasti Pak Long Mulut Murai juga nak turut serta. Tetapi, semacam ada harapan Pak Long Mulut Murai tak layak.

Jadinya sekarang, Pak Long Mulut Murai sedang menunggu masa sahaja pengiklanan dan borang zakat itu dikeluarkan oleh PMRAM.

Tambahan :
Rezeki Tuhan di mana-mana.


Thursday, July 24, 2008

BAKAL TERBIT


BAHASA BUMI
Buku Antologi 50 Penulis Luar Negara

Judul: Bahasa Bumi
Genre: Antologi puisi
Penyelenggara: Ainaa Mardhiah Suhaimi, Syazlin Sazali, Maisarah Shukri
Halaman: 190
Penerbit: GKLN Publishing House
ISBN: 978-983-44127-2-2
Tahun: 2008
Harga: RM15

BAHASA BUMI merupakan naskhah pertama Grup Karyawan Luar Negara yang menghimpunkan sejumlah 50 orang penulis luar negara termasuk Zaid Akhtar, Muhaimin Sulam, Fahd Razy, Hafez Iftiqar, Adibah Abdullah, Siddiq Osman, Ainaa Mardhiah Suhaimi, Syafiq Zulakifli, Alirfan Jindullah, Lailati Mahat dan ramai lagi. Para penulis ini kesemuanya sedang menuntut di pelbagai institut pengajian di seluruh dunia termasuk Sudan, Maghribi, Mesir, Jordan, Jepun, India, Indonesia, Australia, Jerman, Republik Czech, United Kingdom, Ireland, dan Amerika Syarikat. Keseluruhan karya mempamerkan kepelbagaian tema dan teknik, merangkumi sejarah, politik, falsafah, tarbiah dan dakwah, isu-isu semasa dan global, selain kemanusiaan dan kemasyarakatan. Usaha mengumpul 50 penulis luar negara ini akan dijadikan aktiviti tahunan penerbitan GKLN sebagai usaha menyemarakkan lagi kegiatan penulisan dari khalayak ini. Turut termuat 5 buah puisi yang telah memenangi Sayembara Puisi Islami Maghribi 2008 (SEMPURI) yang berlangsung pada awal tahun 2008.-GPH-

Untuk tempahan sila maklumkan pada saya sebelum atau pada 15 OGOS ini. Terhad kepada yang benar-benar berminat sahaja. Buku ini cetak di Malaysia justeru buku ini tidak ada cop PMRAM. :) Harga juga masih dalam lingkungan harga Malaysia (RM 15.00 senaskhah).

Jika mahukan buku yang murah keluaran mahasiswa Mesir, insya-Allah akan berada di pasaran pada Ramadan nanti.

Ada yang berminat menulis skrip novel, khutbah, dan lain-lain? Boleh hubungi saya. :)

KARYA SAYA YANG TERDAPAT DI DALAM BUKU INI ADALAH :-

1) PULANG DARI LADANG
2) SEKEPING AKAL BUAT AMNI INSYIRAH


Wednesday, July 23, 2008

Pemimpin : Yang Mana Satu Jadi Pilihan

SAYA adalah insan yang paling suka mendengar pidato, ceramah, syarahan dan pelbagai macam lagi aktiviti yang menjurus ke arah itu. Bermula daripada peringkat sekolah menengah beberapa tokoh-tokoh pemidato telah saya kunjungi dan lihat sendiri teknik, ruang dan kreatif mereka di dalam berbicara. Sebab itu apabila ada jemputan mendengar pemidato-pemidato ini berucap saya akan menjadi pencatat paling setia. Malah saya pernah terfikir menyalin semula fakta-fakta pemimpin dalam sebuah jurnal yang boleh menempatkan koleksi pemimpin Malaysia.

Secara peribadi, saya pernah menyaksikan beberapa orang tokoh pemimpin berucap. Teknik, gaya, persembahan dan cara yang ditunjukkan adalah sesuatu karisma yang tersendiri. Di antara tokoh yang menjadi kekaguman saya adalah Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mampu berucap dengan imej sedar biasa tetapi mampu memberikan pandangan rasmi dengan tepat dan mengenai sasaran.

Hujah yang dibawa adalah suatu yang biasa, tetapi falsafah yang dimainkan adalah tinggi. Namun, sedari awal kita menganggap bahawa beliau amat berkreadibiliti di dalam berucap sehingga memukau hadirin yang mendengar. Itu pun bagi saya hanya sebagai seorang tokoh pemidato sahaja.

Begitu juga dengan tokoh-tokoh politik yang lain. Yang Berhormat Dato' Haji Mustapa Mohamad sebagai contoh, pemikiran makro ekonomi beliau cukup mantap. Dasar-dasar pemikiran dan wacana ilmiah yang ditunjukkan memberikan gambaran kasar bahawa pengucapan beliau amat memberi kesan yang mendalam.

Siapa yang tidak mengenal beliau. Seorang bekas Menteri Kewangan semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir dan seorang yang pernah duduk semeja berbincang isu-isu dan dasar negara sepanjang krisis kemelesetan ekonomi negara pada tahun 1997 yang lalu.

Tahun lalu, ketika Yang Berhormat Dato' Seri Khaled Nordin selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (kini Menteri Pengajian Tinggi) berucap dalam hal-hal berkaitan ekonomi dan pembangunan usahawan mahasiswa juga memberikan cabaran kepada saya.

Hal-hal sebegini merupakan aset besar pemimpin di dalam bidang dan wacana pemikiran masing-masing. Tetapi apa yang menghairankan adalah seorang tokoh kita ini. Berkelulusan pendidikan ekonomi tetapi mampu berucap hal-hal bersangkutan dengan agama lebih daripada kita mahasiswa yang mendalami ilmu agama.

Ini terbukti hasil daripada pemerhatian saya terhadap Yang Berhormat Dato' Haji Husam Musa, Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang mampu memberikan suntikan semangat sebagai seorang pemidato yang hebat. Hujah dan ucapan beliau bukan ucapan anak-anak. Bukan juga ucapan dan hujah seorang menteri, tetapi lebih daripada itu.

Nilai yang disampaikan itu menjadikan tanggapan umum pendengar bahawa kekuatan Yang Berhormat pada ilmu dan pembacaannya. Ya. Tokoh-tokoh sebegini juga wajar kita lahirkan di semua peringkat baik di peringkat pemerintah ataupun yang berlawanan dengan mereka.

Sekarang masa sudah tiba. Ilmu yang dicurah tidak berguna, jika yang disampaikan itu melalut sahaja. Justeru, pemimpin yang mana satu akan jadi pilihan?


Monday, July 21, 2008

KONGSI KARYA

TAFAKUR DI MAKAM IMAM SYAFIE

Halkumku menggendur
basah melingkari lafaz hamdalah
saat muazzin lakar keramat zikrullah
memandang telapak Rasulullah
terselit dalam kaki lima mihrab
makam Imam Syafie.

Gentingnya waktu itu
saat tasbih yang kami bekal tercabut
dilorong sepi seorang murabbi
tertinggal kalimah satu-persatu
tatkala menyingkap perhentian tandus kegersangan
airmata terjual dengan iman dan amal
dalam sebongkah damai kalbu
wira seorang syahid.

Kota sejarah ini
menyimpan malang Firaun
membongkar rahsia Tuhan
berpaling menjulang tinta Musa mengingatkan
sejarah dalam Al-Quran
Sumaiyyah hilang tangisan
ketika memulang roh dan jasad
menimbang amanah dan kasad.

Izinkan aku membilang hari-hari akhirku
tafakur di mimbar makam
membasuh pekat darah hitam
terkumpul dalam sebongkah ladam
mengetuk pintu kejahilan
menjaram kebongkakkan
hingga akhir malamku terhenti syahadah
yang mentalkinkanku.

SYAFIQ ZULAKIFLI
KAHERAH, MESIR.

(c) Mingguan Malaysia, 13 Julai 2008.

Thursday, July 17, 2008

Goyang Inul Batal...Aduh!


TAHNIAH kepada Pegawai Daerah Johor Bahru kerana membatalkan program Konsert Inul di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus yang dijadualkan pada hujung minggu ini.

Kesedaran pegawai-pegawai kita menunjukkan kematangan kerajaan negeri Johor di dalam setiap tindakan. Harapnya nanti, mereka juga cekap bertindak untuk memberikan peluang-peluang kerjaya kepada mahasiswa Al-Azhar di Mesir khusus untuk orang-orang Melayu-Islam di Johor untuk membantu negeri.

Kita ada kuasa untuk sama-sama membantu menggerakkan kemajuan tanah air kita sendiri. Justeru, kenapa perlu berjidal dalam perkara-perkara remeh.

Kita bangga punya seorang Menteri Besar, YAB Dato' Abdul Ghani bin Othman di atas keprihatinannya memperkembang kemajuan infrastruktur negeri Johor dan memberikan peluang untuk kita orang-orang agama belajar Islam dengan sempurna.

Jika ini gerak gaya mereka, kita juga akan jadi orang mereka.


********************

Peminat kempunan saksikan goyang gerudi Inul
Sumber : Utusan Online

JOHOR BAHRU 17 Julai – Hasrat ribuan peminat Inul Daratista untuk menyaksikan tarian goyang gerudinya tidak kesampaian apabila konsert istimewa beliau yang dijadualkan diadakan di sini pada Sabtu ini dibatalkan.

Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd. Jaffar Awang berkata, pembatalan konsert Inul Live In Johor Bahru yang dijadual berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin itu disebabkan ia tidak mendapat persetujuan pelbagai jabatan.

``Saya telah berusaha mendapatkan persetujuan daripada pelbagai jabatan malangnya kesemua jabatan tidak menyokong.

``Jadi, atas pertimbangan itu, kita pula tidak keluarkan permit konsert dan ini bermakna ia terpaksa dibatalkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya adakah punca pembatalan konsert itu berkaitan penampilan artis berkenaan yang terkenal dengan tarian goyang gerudinya, Mohd. Jaffar mengakui ia merupakan salah satu faktor.

Sementara itu, Pengarah Urusan IMS Prima Sdn. Bhd., Nasir Abu Bakar selaku penganjur konsert menjelaskan, ia ditunda sehingga pihaknya mendapat lokasi lain di ibu negara.

Menurutnya, konsert itu dirancang untuk mengubati kerinduan warga Indonesia di negara ini terhadap penyanyi kesayangan mereka itu.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk menarik kira-kira 8,000 penonton dan tiket-tiket berharga RM50 dan RM100 telah dijual kepada orang ramai. - Utusan


Bukan Semua Baju Perlu Lipat


SEMENJAK tahun 2005, Pertandingan Melipat Baju sempena Hari Keluarga Negeri Johor saya ikuti. Tetapi, apabila pulang bercuti ke Malaysia, dua tahun berturut-turut (2006, 2007) peluang saya menyertai terbantut.

Peluang untuk menyertai pertandingan tersebut pada tahun 2008 juga hampir gagal apabila saya datang lewat ke program di samping melihat bakat-bakat baharu bertanding, semestinya saya ingin mengundur diri. Tetapi, apabila ada peluang mahu meraikan teman-teman, seronok juga menyertainya.

Walaupun demikian, pada tahun ini baju dan kain yang saya perolehi jelas-jelas tidak sama dengan pakaian yang saya terima pada tahun 2005. Pertama, kebanyakan kain tersebut licin (termasuklah t-shirt). Oleh yang demikian, saya beranggapan keadilan itu mungkin tidak berpihak kepada saya sementelah saya berfikir bahawa ada beberapa pakaian yang tidak menepati kehendak saya.

Cerewet kan saya ni?

Ketika melipat, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Ini termasuklah teknik yang tidak digunakan dengan sebaiknya sebelum ini. Apa yang saya hampir kesal adalah beberapa pakaian yang sepatutnya tidak termasuk di dalam kategori pakaian turut dimasukkan. Namun, sebagai peserta, saya menurut perintah!

Apapun, terima kasih kepada penganjur yang memberikan peluang untuk saya menyertainya.

Cadangan saya :

Melipat baju ada tekniknya. Justeru, sepatutnya teknik-teknik tersebut digunakan. Bukan melipat sesuka hati!

Siapa pemenangnya?



Wednesday, July 16, 2008

PI3M

Gambar Hiasan - My Sister

Orang falsafah apabila bertutur tentunya gayanya tidak akan sama dengan orang biasa. Tetapi, bukan semua orang falsafah sebegitu.

Entah di mana akal fikiran saya berfungsi dengan ligatnya tatkala memilih Asrama Pelajar Johor untuk menjadi destinasi pilihan pada hari semalam.

Sempena Hari Keluarga Johor, pihak penganjur telah menyusun program "Dari Hati Ke Hati" bagi mengutarakan beberapa perbincangan tentang hal keadaan rumah tangga. Program sebegini jarang-jarang ditemui dan dihadam dengan baik oleh mahasiswa Al-Azhar. Namun, Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program ini khusus membina pemikiran mahasiswa yang sudah berangan-angan menempuh alam perkahwinan.

Dua tahun yang lalu, BKPJM telah berjaya mengadakan Kursus Pra Perkahwinan Islam bersama Jabatan Agama Johor. Justeru, kepada mereka yang sudah menghadiri kursus tentu semangat mereka itu tidak sama seperti semangat insan yang tidak menghadirinya. :)

Program semalam membuka fikiran saya tentang masalah rumah tangga. Walaupun saya tidak meletakkan harapan untuk menghadirinya kerana 'ghairah' menempuh gerbang perkahwinan, tetapi saya berkeyakinan bahawa niat kehadiran saya untuk mencuri pemikiran golongan 'pak adam' menyelesaikan persoalan pengerusi majlis.

Rata-rata ahli panel menganggap perkahwinan sesuatu yang perlu ada persimpangan. Maksudnya, perkahwinan memerlukan daya kekuatan yang tinggi. Ini termasuklah perkahwinan pasca belajar dan perkahwinan pasca kerjaya.

Apapun, pada saya kita tidak boleh menganggap bahawa persimpangan yang wujud itu adalah satu jalan yang menutup terus pemikiran kita untuk bertindak lebih jauh. Pada waktu itu juga, kita tentunya membataskan pemikiran sehingga ada hal-hal yang berkenaan perkahwinan terpaksa ditangguh.

Sungguhpun demikian, adalah menjadi harapan saya bahawa mahasiswa ataupun mahasiswi yang ingin menempuh gerbang dan alam perkahwinan anggaplah perkahwinan itu sebagai suatu permainan catur. Jika kita rasa cukup yakin dan bersedia untuk bergerak, pastikan tiada halangan sehingga kita akan termakan 'check-mate'.

Dan, jika sudah sampai tempoh masa tersebut, apalagi teruskan bermain dengan PI3M.

Glosari

PI3M : Peluk Isteri 3 Minit


Monday, July 14, 2008

Amanah Yang Tertinggal

Mungkinkah buku ini yang menjadikan perhubungan kita semakin akrab?

KETIKA menyertai Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) pada awalnya, pemikiran saya tidak pernah lari daripada membantu. Tetapi sejauhmana bantuan itu dapat diberikan seadilnya.

Pertama, saya harus memohon ampun dan maaf kepada kerajaan negeri Johor khusus Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir kerana tugas saya sememangnya tidak dapat diberikan secara adil. Mungkin ada insan yang memberikan alasan semata-mata kononnya sibuk sahaja. Tetapi itu realiti yang berlaku.

Saya benar-benar ingin menguruskan jemputan menghadiri pertemuan dengan teman-teman di Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin untuk Hari Keluarga Johor sepanjang 15 hingga 19 Julai ini, tetapi saya kurang pasti berapa lama saya boleh bersama-sama kalian.

Bermula daripada 15 Julai, takwim pada waktu pagi telah diisi dengan acara baharu. Tentu saya berlapang pada sesi petang dan malam tetapi apa yang merisaukan adalah tugasan yang 'amat genting' perlu diselesaikan melibatkan nyawa dan jatidiri. Itu yang lebih utama pada saya.

16 Julai pula mempunyai program yang amat-amat berbeza daripada biasa. Bermula daripada pagi hingga ke petang saya beranggapan program ini juga memerlukan tenaga saya diperingkat pusat lantas saya akan kepenatan dan layu untuk memberi sekali lagi khidmat kepada negeri sendiri.

17 Julai, saya masih menunggu kekosongan diari ini, namun sudah ada khabar-khabar angin bahawa tarikh ini pun bakal diisi dengan acara lain.

19 Julai. Tarikh yang tidak dijangka bahawa saya akan mengisinya dengan program minda saya dan kekuatan fizikal untuk meneruskan pentadbiran pada masa mendatang. Justeru, di mana ruang saya untuk menyelinap masuk ke Asrama Pelajar Johor?

Tiba-tiba hairan menghantui. Tentu juga sebagai 'abang' kepada adik-adik baharu saya perlu gagah menempuh segala perkara ini. Ada yang masih perlu diajar bermain pasir untuk mendirikan istana pasir di Pantai Ra'su Bar, atau ada yang masih perlu bermain 'puting susu' untuk disuapkan setitis air sebagai makanan kepimpinan. (ini adalah 'metafora')

Justeru, kebahagiaan yang kekadang kita cari tak akan dapat disempurnakan dengan sebaiknya. Adakah ini amanah yang sudah tertinggal? Saya masih mencari lagi.


Sunday, July 13, 2008

Karya Di Mingguan Malaysia - HARI INI


SIAPA kata saya masih tidak menulis lagi. Dalam keripuhan yang melanda, diselangi beberapa tugas yang menyeluruhi atma ini, saya gagahkan diri untuk mengarang. Dan, dalam beberapa hal jua pun, saya terus menulis untuk beberapa majalah dan akhbar.

Namun, ada pihak yang mendesak-desak saya menulis sesuatu yang lain. Tetapi, kegagahan saya masih lagi kurang disamping beberapa perkara yang sepatutnya dilakukan tidak dapat disempurnakan.

Kepada angkatan sasterawan adabuna, insya-Allah saya akan bersama kalian 15 Julai ini. Namun, saya tidak pasti sejauhmana saya boleh berlama-lama dengan kalian. Beberapa tips pendedahan menulis puisi saya akan berikan disamping tambahan mengulas karya cerpen yang saya kira teman-teman lain lebih arif.

Sekadar berkongsi ilmu dengan teman-teman dan bagaimana karya kita boleh tembus media. Insya-Allah. Itupun saya kira amat terhad pendengarnya disebabkan mereka yang layak menjadi pendengar adalah insan yang terpilih sahaja. Walaupun saya hampir tidak bersetuju dengan teknik ini, namun atas dasar mahukan keadilan, saya turut mengakui perkara ini.

Teman-teman sayap kanan saya tidak bersetuju dengan teknik ini. Tetapi, saya hanya menurut perintah.

Apapun, misi melahirkan pelapis penulis seharusnya ada. Saya juga ingin lahirkan mahasiswa kita yang bukan sahaja menulis dalam genre kreatif, tetapi mampu memanipulasikan ilmu mereka di dalam genre non kreatif. Ini termasuklah penulisan artikel dalam majalah, akhbar, dan juga penulisan buku ilmiah.

Namun, secara peribadi, Faisal Tehrani berdakwah melalui karya novelnya. Mungkin lebih santai dan wacananya lebih mudah difahami daripada karya ilmiah yang sarat dengan falsafah semata-mata, namun menyebabkan pembaca hampir bosan meladeninya.

Tetapi jika anda seorang manusia yang baik, membacalah lebih utama.

ii

Jika anda menulis dan mengarang, sila gunakan bahasa Melayu yang betul. Saya amat pantang kalau anda seolah-olah tidak ketahui penanda wacana, titik, koma, huruf besar dan kecil. Anda pemalas atau sahaja buat-buat malas. Anda orang Melayu asli atau Melayu angan-angan.


Pulau Perhentian
masih jauh
tinggal kenangan
insan mengayuh
setuba minyak
dibalas kerak
jangan tercabut
retakan dilaut.

Ahad
13 Julai 2008

Tambahan : Ini bukan karya yang terbit di MM hari ini. Jika anda mahu membaca, sila dapatkan MM hari ini. :)

Saturday, July 12, 2008

SAYEMBARA PENULISAN 2008

SEPANJANG tahun 2008 ini, pelbagai Sayembara Penulisan Novel diadakan oleh agensi-agensi kerajaan mahupun swasta. Justeru kepada teman-teman yang ada kelapangan untuk menulis dan mengarang, tidak salah bukan mengisi masa anda dengan menulis.

Antara sayembara yang masih dibuka penyertaan adalah seperti berikut :-

1) Sayembara Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (Novel Remaja)
Hadiah Pertama : RM 7,000.00
Tarikh Tutup : 31 Disember 2008

2) Sayembara Novel Hadiah Sako Utusan
Hadiah Pertama : RM 30,000.00
Tarikh tutup : 31 Disember 2008

3) Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi (Utusan)
Hadiah Pertama : RM 15,000.00
Tarikh tutup : 30 November 2008

4) Sayembara Novel MAIDAM - DBP Wilayah Timur
Hadiah Pertama : RM 7,000.00
Tarikh tutup : 31 Ogos 2008

Daripada sejumlah pertandingan sayembara ini, anda akan menyertai yang mana satu ya? Orang-orang baharu semacam saya belum layak lagi untuk mengarang novel. Perlukan kerahan tenaga dan pemikiran yang banyak.

Jika ada lagi sayembara boleh kongsi-kongsi.


Friday, July 11, 2008

MELAYU : Pandangan Peribadi


TUN Dr. Mahathir Mohamad pernah menukilkan sajak berjudul 'Melayu Mudah Lupa' di Perhimpunan Agong Am-No tahun 2001. Jika anda tidak pernah membacanya; saya perturunkan di sini.

MELAYU MUDAH LUPA

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai...

Sajak ini untuk siapa agaknya? Untuk orang Melayu atau untuk orang Am-No? Tentunya anda ada pandangan peribadi terhadap sajak ini. Namun, secara peribadi biarlah sajak ini bermain 'satira'nya tersendiri.

Tun merupakan seorang tokoh yang berjaya di dalam membangunkan infrastruktur negara sebagai sebuah negara yang berdaulat. Kewujudan KLCC, KLIA, Putrajaya adalah idea daripada Tun. Tetapi tahukah kalian, apakah 'kereta buruk' yang ditinggalkan Tun?

"Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama."

Ini adalah satu perkara yang akan menjadi fitnah besar kepada Tun sendiri kerana Tun meninggalkan Am-No dalam keadaan orang Melayu masih 'tidak berubah' sikap. Orang Melayu pemalas. Orang Melayu leka. Orang Melayu suka makan gaji buta. Orang Melayu tidak ada jatidiri bangsa. Orang Melayu tidak sensitif terhadap politik negara.

Akhirnya, hari ini Melayu masih seperti Melayu dahulu. Tetiba saya terfikir, mungkin juga Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir sebegitu?

Apa istimewanya nama MELAYU dalam Persekutuan Melayu jika semua yang difikirkan sebegitu? Membasuh luka sejarah lampau kekadang perlu tetapi kerana kita sama-sama orang Melayu-Islam, kita sendiri yang akan malu.

Frasa "takkan Melayu hilang di dunia" ini akan menjadi realiti atau disemadi juga akan menjadi saksi maknanya nanti.

Entahlah.



Tuesday, July 08, 2008

Mandul


BERMULA 1 JULAI, pemikiran saya jadi amat mandul. Niat saya ingin menulis beberapa karya juga terencat dengan beberapa siri-siri program yang tidak putus menjelma.

Pagi-petang-malam. Saya perlu tunaikan hasrat beberapa penerbit buku yang ingin mendapatkan manuskrip karya saya. Tentu juga amanah untuk beberapa sektor penerbitan majalah dan akhbar tempatan harus juga diisi.

Segalanya perlu bermula dengan mencatat di atas sebuah helaian kertas comot kemudian dilakar di atas kertas bersih agar plot-watak-perwatakan berjalan dengan baik.

Dalam beberapa simpanan penulisan, saya ada hampir 10 buah karya cerpen dan novel yang masih tertinggal di perjalanan. Saya kurang pasti kenapa saya terbantut dan mandul untuk menyudahkan idea itu di dalam kantung laman.

Hari ini, saya perlu menyegerakan tugas yang diberikan oleh teman sesastera untuk mengetuai antologi ketiga mahasiswa Mesir. Tentunya juga, saya sedang menunggu penerbitan antologi puisi daripada GKLN yang sudah hampir terbit. Terima kasih kepada teman-teman sesastera yang membantu menerbitkannya.

Jika berjaya diterbitkan selewat-lewatnya Ogos ini, tentunya amat bermakna untuk saya apabila ini adalah antologi pertama saya yang dibukukan.

Saya bukanlah insan yang mampu merencamkan idea-idea saya ini dengan baik. Mungkin pembacaan saya lemah. Justeru, ada perubahan yang ketara apabila saya menanggapi beberapa karya akhir-akhir ini.

Kini, saya sedang mengumpulkan idea untuk menulis karya berlatar sebuah fenomena McDonalds. Apa idea yang terbaik?

Saturday, July 05, 2008

BONGKAR KES


Saya sudah ralit menjadi bahan 'kontroversi' kata sesetengah mahasiswa dan teman-teman seangkatan. Walhal, itu bukanlah impian saya. Sedang begitupun, hari ini saya akan bongkar lagi beberapa kes selepas artikel berjudul GALERI ULUL ALBAB : Pusat Judi Mahasiswa Al-Azhar di Mesir.

Barangkali pembaca jadi 'berang' apabila kalimah 'judi' digunakan. Ya! Saya akui akan kebenarannya. Tetapi, saya berpandangan begini. Saya menulis dalam gaya bahasa sastera. Justeru, anda tidak boleh menyalahkan saya.

Saya menerima pesanan ringkas sepanjang seminggu daripada 'Z'. Boleh dikira hampir setiap hari 'Z' cuba-cuba bertindak liar.

Namun, apabila saya menyuakan pesanan ringkas yang diterima kepada teman-teman, mereka menggelakkan pesanan tersebut lantas berkata; 'Z' sudah gila dan semacam budak-budak sekolah.

Saya yakin dengan kebenaran. Saya juga yakin dengan Allah. Tuhan itu satu. Yang duduk di atas pasti akan tenggelam. Yang bermegah-megah pasti akan ditimpa musibah. Lihatlah apa yang sudah terjadi kepada si 'K'.

Menyoroti artikel lampau, ingin dijelaskan bahawa dalam sektor penulisan sastera, ilmu 'satira' harus digunakan. Walaupun 'realisme magis' saya terapkan di dalam penulisan itu, tetapi saya berkira bahawa SATIRA TINGGI saya telah gunakan.

Lihat sahaja karya Shahnon Ahmad berjudul SHIT. Karya SM Zakir berjudul Keranda 152. Saya sudah ralit membaham ilmu sastera ini.

SATIRA terbahagi kepada dua. Yang pertama disebut, satira horatia. Kedua disebut satira juvenalia. Justeru, penggunaan satira juvenalia sememangnya akan menggamatkan pembaca sehingga mungkin timbul kekeliruan.

Oleh yang demikian, bagi mereka yang tidak belajar satira, usah tuduh bukan-bukan. Itu kehendak saya. Saya 'lantak' apa.

Jika saya dituduh membuat fitnah, saya akan buktikan bahawa sebenarnya ada 'perjudian' yang telah berlaku. Namun, itu saya anggap sebagai satira. Dan, tidak perlulah mempertahankan benang yang basah.

Kepada insan yang 'bising-bising' tidak perlulah anda bising-bising kerana anda adalah golongan minoriti di Mesir ini. Jadi, duduk di rumah diam-diam, taubat banyak-banyak.

Tambahan :
Saya pun jadi pelik, sehingga kenyataan di dalam laman ini sering sahaja dikaitkan dengan kenyataan Setiausaha Agung PMRAM. Sedangkan ini catatan seorang penulis yang naif.

Saya akan diberi peluang untuk menulis khusus dalam beberapa majalah arus perdana, dan saya akan bongkar segalanya.


Thursday, July 03, 2008

Program Sastera


HARI DISKUSI PENULISAN ISLAMI 2008
bertemakan Pelestarian Citra Islami menerusi Karya Puisi Kontemporari.

Saudara dan saudari yang berminat di dalam membicarakan ilmu sastera puisi bolehlah menyertainya.

Program akan diadakan di Kedutaan Besar Malaysia Maghribi (Morocco). Namun, pihak penganjur akan mengadakan talian maya (conference-online) bagi mereka yang ingin mengikutinya. Butiran program adalah seperti berikut :

Hari : SABTU (5 JULAI 2008)
Waktu : Jam 12.00 tengahari (waktu Mesir)

Terima kasih kepada Saudari Ainaa Mardhiah (Morocco), selaku teman-teman daripada Grup Karyawan Luar Negara kerana memaklumkannya.

Sumber : http://gkln.blogspot.com

Wednesday, July 02, 2008

Jadi Penulis Sekatan


SUSAH lah jadi penulis sekatan. Tulis A tak boleh. Tulis B tak boleh. Kenapa ya orang-orang tidak selesa dengan kenyataan saya ini. Kenyataan palsu?

Tidak!!!


Tuesday, July 01, 2008

Selamat Hari Lahir Abah


Setahun sudah berlalu. Mengikut catatan peribadi saya, hari ini adalah tarikh kepulangan saya ke Malaysia setahun yang lalu. Sudah setahun?

Benar. Amat membenarkan. Tentunya banyak onak duri yang saya telah tempuhi selama setahun yang lalu. Dan, daripada itu juga beberapa hasil telah terbit di media. Oh Tuhan, betapa indahnya saat-saat itu, kau berikan aku bernafas meniti hari-hari mendatang.

Banyak kenangan jika mahu dirungkaikan pada 1 Julai ini. Tetapi, biarlah disimpan sebagai satu cerita.

Sorotan lalu mengajar kita erti dewasa. Waktu itu kita belajar erti perjuangan sebenar. Menempuh segala cabaran dan rintangan. Tahun 2008 cabaran cukup berbeza. Apatah lagi tahun 'honeymoon' buat saya. Galas yang dikendung tentunya banyak memberi impak yang besar pada diri sendiri.

Namun, 1 Julai juga banyak memori indah yang belum sesuai dibukakan.

Seingat saya, 1 Julai juga hari kelahiran Ustaz Abdul Fattah bin Jaafar, mantan Setiausaha Agung PMRAM sesi 2006. Tentunya selepas Ustaz Fattah menggalas beban selaku Setiausaha, saya pula yang merentet selama 2 tahun berturut-turut.

Pada hari yang bahagia ini saya nukilkan kalam ini;

Apalogia seorang Abah
mencucuk seekor keldai dengan picagari.

Saat mereka kata jangan
kau kata nah, ambil ini.

Layang-layang masa bercambah
dalam pelukan perwira Abah
atas nama kenangan
atas nama persaudaraan
atas nama kedamaian
atas nama ukhuwah.

Sudah sampai halkumku bernafas
menyebut namamu Abah.

- Selepas Subuh
1 Julai