Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Thursday, February 28, 2008

Strereotaip : PMRAM Masih Ketinggalan?

Mungkin program kepimpinan dua hari ini juga dihujum dengan strereotaip

JIKA dihitungkan dengan nilai mandiri sebagai sebuah badan berkanun di Mesir, mungkin saja topik ini wajar diperbincangkan. Mengapa? Semenjak awal 30-an hingga kini, ada sahaja aktiviti-aktiviti PMRAM yang hanya menjalankan konsep pengulangan tanpa disusuli dengan beberapa agenda baru yang difikirkan oleh panel pemikir.

Nah! Letakkan sahaja masalah ini terpundak kepada si pemikir, dan hasilnya tiada kesinambungan yang besar diperoleh lantas menjadikan buah fikiran kita amat tepu. Saya memerhatikan dari jauh. Bagaimana program-program PMRAM ini dianggap strereotaip pada hari ini?

Perkembangan dari tahun ke tahun menyaksikan ada perubahan besar yang telah dilakukan oleh pihak pentadbiran. Perubahan-perubahan ini bukan sahaja semata-mata menjadi agen baru kepada kebajikan yang dijanjikan kepada ahli, malah ianya merupakan agenda yang terbesar yang akan diperoleh sementelah beberapa perkara yang difikirkan sesuai untuk disalurkan kepada ahli.

Lontaran idea yang berterusan menjadi pemangkin agar semua garapan nilai-nilai itu dibina dan hasilnya dengan program-program baharu yang tercipta hasil daripada beberapa pemikiran.

Realitinya, ada beberapa perkara yang tidak disenangi. Pihak yang terbabit menganggap bahawa pentadbiran PMRAM wajib mengekalkan program-program terdahulu disamping membina program-program baharu yang dirasakan ianya diteruskan mendepani cabaran masa dan arus perkembangan waktu.

Namun, daripada sudut yang lain perolehan keadaan yang sama mungkin menjadikan ianya seakan-akan copy-paste dan tiada hasil yang menarik. Ini dilihat daripada perkembangan program-program kepimpinan, program dakwah, program sukan dan sebagainya.

Justeru, usah menuding jari kepada pentadbiran sedangkan anda juga langsung tidak pernah memikirkan hal ini.

Nota :

Jalan-jalan tercari-cari di mana idea-idea baru mahasiswa kita yang mampu bersungguh-sungguh cakap-cakap di belakang. S+E+N+G+A+L = ?

Wednesday, February 27, 2008

Antara Amni dan Cita-Cita


Berlari-lari anak
dengan tangan .

Lalu disapa kedarahan yang mengalir lesu
dari urat-urat saraf
hingga
terlekat dalam jari yang dalam.

Amni Insyirah
seindah nama peribadi
yang bertakhta
di dalam nubari.

Persis keakraban ini
aku gapai cita-cita murni.

Kaherah,
27 Februari 2007

Pejabat PMRAM di Rumah Melayu : HAK YANG TIDAK BOLEH DIPERTIKAI

PMRAM : Rumah Melayu menjadi tempat berhimpun tanpa sekatan

Program 'Genggam Bara' yang diadakan di Dewan Solah Kamil, Universiti Al-Azhar, Mesir merupakan program tahunan yang semestinya menjadi bual bicara kepada semua kepimpinan baik di peringkat Badan Kebajikan Anak Negeri mahupun Dewan Perwakilan Mahasiswa.

Isu-isu membangkitkan semangat cinta pada Rumah Melayu, disamping berusaha menjadikan kepimpinan mahasiswa Mesir pada hari ini tidak mandom daripada pemikiran yang realistik.

Kebenaran ini jelas apabila seramai hampir 250 orang kepimpinan di bawah naungan PMRAM bersama-sama menghadiri program ini serta mencari kata pemutus di dalam melaksanakan dasar-dasar pentadbiran PMRAM.

Slot 'Menelusuri Sejarah Kita' yang dibentangkan oleh Saudara Mohd Hafiz Mansor dan Saudari Dayang Noraini Awang Damit menyaksikan pemahaman yang utuh dan padu kepada kepimpinan hari ini terhadap sejarah PMRAM suatu masa dahulu.

Mereka seringkali menyatakan bahawa kehadiran PMRAM menjadikan kebajikan dan segala bentuk pemikiran disalurkan atas dasar memperkuatkan tautan ukhuwah di kalangan anggota.

Sedari maklum, apabila membuka lembaran sejarah PMRAM, kita seringkali mengingatkan betapa besar pengorbanan yang diberikan oleh orang-orang lama dalam PMRAM di dalam memperjuangkan hak memiliki tanah tersebut.

Oleh yang demikian, melalui peruntukan yang tersedia ada (seperti di bawah) seharusnya peraturan ini wajar dipertimbangkan semula.

Di dalam dokumen Peraturan-peraturan Asrama Rumah Melayu bagi tahun 1971 dan 1986 yang ditandatangani bersama oleh Duta Besar, Pengarah Jabatan Penuntut dan Yang Di Pertua PMRAM, Fasal 1 (Pendahuluan) Ceraian 1.3 telah menyatakan bahawa: “ Tapak bangunan ini adalah diperolehi dari hadiah pihak berkuasa Kerajaan Mesir atas daya usaha dan jasa ahli-ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.” Manakala ceraian 1.6 bab yang sama pula menyebut: “Anjung tingkat bawah asrama ini adalah dikhaskan sebagai pejabat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.”

Hak PMRAM dalam penggubalan dasar-dasar pentadbiran asrama pula dinyatakan dalam Bab 2, ceraian 2.3 yang berbunyi: “Dasar Pentadbiran Asrama ini diputuskan oleh sebuah jawatankuasa, terdiri daripada:- Pengarah JPM (Pengerusi), Penyelia Asrama (Setiausaha), Pegawai Kebajikan (I) JPM, Pegawai Kebajikan (II) JPM, Juruwati Asrama dan Tiga Orang Wakil PMRAM .”


Justeru, mengembalikan hak itu sudah wajar.

Friday, February 22, 2008

Tiga Orang Sahabat


Apa yang terjadi dengan tiga insan ini?
Sungguh! Ia menjadi tanda tanya. Syyh!!!

Senandung Hidup Berbudi


Ombak lautan berombak
Mengapa mengubah pasir di pantai
Bayu bertiuplah bayu
Mengapa menjadi ribut dan badai

Begitu kita merancangkan
Belum pasti hadirnya kebahagiaan
Fahamlah apa itu takdir
Akan berseri hidup yang ditadbir

Hidup menggadai harta
Agar diri berharga
Janganlah kau salah mengerti
Kelak kau kan menggadai diri

Mencari penghormatan
Janganlah sampai terkorban
Yang mulia pasti kita hormatkan
Yang rendah jangan dihinakan

Tenang di air yang tenang
Jangan di sangka boleh direnang
Kail panjanglah sejengkal
Janganlah lautan hendak diduga

Itulah pesan orang lama
Menjadi bekal pada yang berusaha
Ingatlah pepatah ini
Menjadi panduan hidup berbudi

Penyanyi : Ramli Sarip

Surat-Surat Terakhir

tinta ini dicoretkan ketika hari pertama pelajar-pelajar menghadapi PMR 2007

Sungguh ianya benar. Amat menyakitkan. Terlantar di pembaringan seolah-olah nyali daripada nafas yang berbau harum. Saya menekur bumi lagi. Seakan-akan hayat sudah hampiri. Saya lihat keakraban diri pada Ilahi. Betapa jauh dari sanubari. Entah! Di mana silapnya.

Selepas mengendalikan program sendu sendawa di Asrama Pelajar Johor, hati tidak keruan. Kurang pasti di mana angkara bermula. Namun saya gagahkan diri sehingga ada senak menghantui diri.

Semalaman saya menelusuri tandus kegeringan diri. Mencari makna yang hakiki dan cinta sejati merupakan asbab saya merobek hingga ke dasar hati. Al-maklum, diri sudah tidak akan bernyawa lagi. Sementelah satu persatu bakal ditinggalkan nanti, dan akhirnya saya akan terpalit menyembah bumi.

Kagum melihat anak-anak watan berdiri lesu. Tangis yang memuncak dan kekurangan diri yang semakin lama semakin ranum menyelit-nyelit di kanan dan kiri. Entah ya!

Ghairah diri membisu. Seakan-akan ada penghalang yang akan bertamu. Cukup benar saya mempermainkan sandiwara ini. Cukup!

Saya mengerlip lagi. Kini untuk kali kedua.

Terasa bahang tetamu dari Malaysia belum pudar. Ada manik yang jelas menghakis. Lantas, saya perlu gagahkan diri untuk mendamba keriuhan diri.

Almaklum, dalam keghairahan ini, saya seolah-olah sudah tidak bernyawa lagi. Dan, menunggu masa ditaklifkan untuk yang terakhir kali.

Dan, kerana itu saya katakan pada diri, ini surat-surat terakhir saya.

Nota :
Jika saya menggunakan sastera tinggi, maafkan saja.


Tuesday, February 19, 2008

Seketika Aku Di SMK BBU



Sukar melupakan sebuah pengalaman yang lampau. Lebih-lebih lagi, ianya sarat dengan kenangan manis dan pahit yang pernah dirasai.

Saya mengeliat panjat. Terasa bagai kenangan itu baru dirasai. Meja pentadbiran sebagai seorang pendidik seakan-akan baru ditinggalkan. Mungkin keadaan ini benar. Dunia pendidikan sebenarnya mengajar erti segalanya.

Dari awal lagi, saya tidak menolak bahawa dunia ini sungguh sebati dengan jiwa. Pernah berkali-kali guru saya menyatakan bahawa saya akan jadi seorang guru. Namun, sekadar berseloroh saya mengatakan, saya akan jadi pendidik untuk anak bangsa.

Mood pendidikan hari ini kian berubah. Tidak seperti suatu ketika dahulu. Metod pengajaran juga sudah tidak sama lagi seperti zaman saya dididik dahulu. Mungkin benar tanggapan orang bahawa generasi hari ini sukar dipulihkan dengan segera. Namun, anak-anak kita ini bakal terbiar melarat tanpa diberikan pedoman yang serius dan akan merencatkan kelahiran generasi rabbani pada masa akan datang.

Saya tertampar lagi dengan desakan untuk mengubah mandiri anak-anak ini. Namun, segagah mana diri saya, saya akan tertewas juga akhirnya.

Saya tidak punya kekuatan lagi. Saya harus juga jadi pendidik untuk masyarakat selepas ini. Mencegah Kemungkaran Itu Lebih Utama.


Penulis Di Pasaran


Jika anda ingin menghantar karya di majalah atau penerbitan mana-mana sekalipun, pastikan anda mematuhi pra-syarat ini,

1. Tulislah karya isu-isu semasa.
2. Tulislah karya yang menyentuh bidang kemanusiaan dan kasih sayang.
3. Tulislah karya yang menyentuh bidang kepakaran seperti kedoktoran, guaman, muzik, sukan dan kejuruteraan sebagai latar.
4. Tulislah karya tentang isu kebudayaan.
5. Tulislah cerita yang jarang ditulis.
6. Tulislah cerita biasa yang diangkat secara luar biasa.

Tetapi, jika anda masih lemah sastera bahasa, pastikan anda menulis di dalam gaya bahasa sastera dahulu.

Belajar dan terus belajar.

Sunday, February 17, 2008

Menghayati Sejarah


(gambar Panglima Salleh Perang)

Sila baca artikel sejarah Berita Harian Ini

Saya pernah berkali-kali tertampar untuk menulis artikel berkaitan sejarah. Yang paling mendesakkan ketika ingin mendapatkan fakta lewat berkarya untuk Sayembara Penulisan Novel Sejarah Johor II, anjuran Yayasan Warisan Johor dan Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Namun, akhirnya niat itu saya tinggalkan bulat-bulat di dalam nubari. Mungkin saja saya berkira-kira mentah untuk menukilkannya di dalam bentuk penulisan tatkala pencernaan ilmu saya masih belum padu.

Kini, berdikit-dikit saya mempelajari sejarah itu. Yang penting bagi saya, sejarah yang telah mendewasakan kita tentang sesuatu. Sesungguhnya, saya bukanlah seorang insan yang meminati sejarah. Malah fakta-fakta mengarut begini sememangnya menjadi perkelahian di dalam minda sendiri.

Saya mendesak jiwa tatkala membaca sejarah agung Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Di sana, saya diperkenalkan dengan tali arus perjuangan orang-orang lama yang membawa kepada ketamadunan generasi hari ini.

Saya mengajak diri berhari-hari untuk menghafaz sejarah agung ini. Bermula sejarah PMRAM yang lalu hingga meresapi setiap jejak itu hingga ke hari ini.

Benar! Sejarah yang mengenalkan kita dengan golongan bangsawan sesuatu ketika dahulu. Sejarah juga yang mempamerkan kebudayaan bangsa, agama dan sastera.

Bukankah Rasulullah s.a.w. sendiri mempunyai sejarah agung tersendiri? Hasilnya ia dijual sebagai bacaan wajib anak-anak pada hari ini. Berbekalkan semangat dan mandiri diri, mengapa kita tidak pernah menghayati sejarah dan mengkaji sedalam mungkin erti sebuah sejarah yang amat agung ini?

Al-Quran terlafaz beberapa kalam yang memperagungkan erti sejarah. Lihat sahaja menerusi sejarah Nabi-Nabi, sejarah Sahabat Baginda, sejarah Ashabul Kahfi dan bermacam-macam lagi sejarah yang tersingkap menerusi ayat demi ayat yang kita khatami berhari-hari.

Justeru, kalian perlu meletakkan minda agar suatu masa nanti, kita yang mengembalikan sejarah agung negeri, negara, dunia, bangsa dan agama kita sendiri.

Usah berpaling lagi. Ayuh teruskan membaca karya sejarah.



Saturday, February 16, 2008

Kenapa Kita Tidak Suka Cuci Tandas?


BEBERAPA minggu yang lalu, ketika saya berbual dengan salah seorang individu berpengaruh di Mesir, beliau tegas memarahi bahawa ada di kalangan mahasiswa kita yang tidak pandai menjaga tandas mereka.

Meleket. Rosak. Bersisa-sisa. Mungkin kita tidak pernah diajar cara-cara membasuh tandas ataupun kita dimamah dengan arus kehidupan yang teramat kotor.

Entah ya! Di mana silap kita sebenarnya?

Nota :

Gambar di atas adalah gambar salah satu tandas di rumah saudara saya di Singapura yang saya ambil ketika berziarah semasa Hari Raya Aidilfitri yang lalu.


Multaqa Al-Azhar : Apakah Resolusinya Nanti?


KINI sedang berlangsung Multaqa Alumni Al-Azhar yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Program yang dihadiri oleh graduan Universiti Al-Azhar, Mesir merupakan suatu pengiktirafan bersejarah kepada negara (Malaysia) di dalam hal-hal pencetus revolusi ketamadunan Islam pada hari ini.

Sedia maklum, Malaysia berulang-ulang kali diiktiraf sebagai negara Islam. Melalui penekanan 10 prinsip Islam Hadhari yang mula diperkenalkan lewat tahun 2004 yang lalu, memungkinkan suatu ketamadunan 'baru' diwara-warakan untuk digunakan oleh generasi mendatang.

Pemikiran golongan cendiakawan Islam suatu masa dahulu tidak terangsang dengan idea-idea sebegini rupa. Rentetan daripada itu, hari ini di dalam suasana dingin semula jadi alam, Malaysia lebih selesa digelar negara berstatus Islam Hadhari yang menjadi tonggak pentadbiran.

Justeru, keretakan status ini menjadi bualan pada semua peringkat. Ianya lebih memaksa pro-pembangkang menjadikan 'hujah' terancam ini sebagai suatu dasar yang boleh dijungkir balikkan.

Nah! Realitinya keretakan ini masih berlaku. Pro-kerajaan terus mendesak pemikiran dan ideologi pemahaman terhadap nilai dan prinsip ini, dan pro-pembangkang bermati-matian menafikan kerajaan sebegini.

Walang tampak membesar. Kepincangan terus melanda. Mabuknya, kepada rakyat yang bergelar hamba pemerintah. Rakyat kini membilang hari. Penamaan calon dan hari mengundi.

ii
Bukankah multaqa ini akan menjadi pendinding diri? Sekurang-kurangnya status Al-Azhar itu masih diperlukan lagi. Masalahnya, berapa kerat di antara graduan ini memanfaatkannya?

Lantaran itu, di sanalah munculnya golongan pro pro pro.

iii
Dan, kita ingin juga mendengar, apakah resolusinya nanti!

http://alumnialazhar.org



Friday, February 15, 2008

Percutian Yang Mengenalkan Aku Erti Keakraban


"Memang niat ingin bergambar. Justeru, gambar sebegini memang jelas memaknakan."


JARANG - jarang menghirup udara segar di luar. Walau ripuh di Kota Kaherah yang sarat dengan tugas dan bebanan yang 'melampau', saya akui ianya akan terubat dengan percutian yang mendewasakan.

Fail yang berserakan saya tinggalkan di atas meja pejabat. Lantas, saya perlu melaksanakan tugas sebagai anggota percutian. Menikmati udara segar di pantai kota berahi Semenanjung Sinai membuka seluas-luasnya mata saya tentang erti sebuah kerehatan.

Biarpun semilir pagi mendinginkan badan, saya gagahkan diri untuk meneruskan perjalanan. Biarpun, saya dikurangi dengan beberapa orang teman yang tidak dapat memenuhi hasrat bersama, namun sekurangnya-kurangnya lebih 2/3 ahli mesyuarat dapat bersama-sama.


Mungkin ini yang terakhir. Begitulah kalam yang saya dapat turunkan buat sahabat-sahabat yang akan menemui noktah perjalanan kepimpinan ini. Namun, kemanisan yang terukir bersama-sama kalian akan terubat insya-Allah.

Memasuki terowong Ahmad Hamdi, saya dan kawan-kawan terus sahaja berangkat ke pusat percutian kolam air panas. Wayu yang tajam dengan kilatan kocak air, memaksa saya dan kawan-kawan menikmatinya di dalam jangka masa yang tiada membataskan.

Dan, sementelah itu kami berangkat ke Uyun Musa dan Noktah Hasinah (Kubu Israel ketika peperangan di antara Mesir-Israel pada tahun 1906)

Kepenatan itu dikembalikan dengan pulang semula ke kota idaman jam 8.00 malam.

Nota :

Saya menyesal tidak membawa pakaian sejuk. Dingin angin membalas dendam tubuhku.

Thursday, February 14, 2008

Salam Hari Lahir


Selamat Menyambut Ulang Tahun ke-25
Untuk Ustaz Mohd Fadzlah bin Abd Rashid

"Kami mendoakan agar dikau segera sembuh dan kembali seperti sediakala. Insya-Allah"

Sakit itu penawar yang tidak terlelapkan
dengan dugaan yang berpanjangan.

Dan,
sebagai hamba
kita sebenarnya perlu bersyukur.

Komsas: Perlu peka protes A. Samad Said

Dipetik daripada Akhbar Utusan Malaysia, 14 Februari 2008

KISAH A. Samad Said yang tidak ingin lagi digelar Sasterawan Negara sangat mengejutkan saya dan menyebabkan saya ingin meluahkan perasaan kecewa dan sedih di atas kehilangan gelaran yang jelas mencerminkan diri beliau itu.

Alasan yang diberikan oleh A. Samad Said agar gelaran itu digugurkan adalah berkaitan dengan karya-karya cadangan sebagai teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) 2010.

Kementerian Pelajaran mungkin perlu melihat semula keputusan penukaran teks sastera sekolah dengan novel-novel remaja popular yang ringan dan tidak berisi dengan kualiti sastera.

Alasan mereka adalah kerana teks yang sedia ada terlalu berat dan tidak sesuai. Sepatutnya pemahaman mereka tentang teks sastera itu haruslah dibantu dengan latihan integrasi yang boleh menolong pelajar-pelajar memahaminya dengan lebih mudah, bukannya berkompromi dengan kualiti teks sastera tersebut dan memilih teks novel popular yang tidak sesuai langsung untuk dijadikan ilmu pengetahuan yang utuh bagi generasi depan.

Apa pentingnya status lulus jikalau anak-anak remaja mahukan yang ringan dan mudah? Mana perginya kualiti sastera dan sanggupkah kita kehilangan identiti bahasa yang selama ini puas dipertahankan oleh segelintir golongan profesional ini?

Meskipun saya sendiri bukanlah seorang mahir dalam bahasa Melayu tetapi secara jujurnya saya rasa terkilan kerana rakyat Malaysia mungkin tidak akan lagi mementingkan kemahiran berbahasa Melayu dan anak-anak ini tidak akan tahu lagi Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk karya Hamka.

Setelah diperhatikan sejak tiga atau empat tahun kebelakangan ini, Kementerian Pelajaran hanya mementingkan kuantiti kelulusan dan bukan lagi kualiti yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar generasi ini.

Perlu diingatkan, barisan pemimpin dan profesional yang masih berdiri hari ini bukanlah hasil dari kualiti sastera picisan.

Oleh itu, mahukah kita melihat generasi akan datang menjadi generasi yang serba malas dan mahukan hanya kesenangan untuk lulus semata-mata?

Karya novel remaja yang disenaraikan dalam semakan Komsas 2010 hanyalah sesuai dibaca ketika bersantai atau sebagai bacaan tambahan dan ia tidak sesuai langsung untuk dibawa diskusi dalam kelas oleh guru.

Kementerian Pelajaran haruslah peka terhadap tindakan A. Samad Said ini dan hormati insan yang penuh ilmunya ini - sesungguhnya hanya jauhari yang mengenal manikam.

Janganlah hanya membanggakan graf yang tidak putus-putus menunjukkan peningkatan lulus dan melupakan kualiti masyarakat yang dihasilkan. Lupakanlah ego untuk mencipta nama dalam melahirkan kegagalan sifar tetapi kita alpa dalam menitikberatkan jumlah ilmu yang diperoleh dalam alam persekolahan.

Bila lagi agaknya generasi muda kita ini akan mendapat pendidikan awal tentang sastera bahasa Melayu yang patut dibanggakan?

Kalau diperhatikan, sastera yang dipertahankan oleh A. Samad Said adalah karya yang mempunyai lenggok bahasa yang sungguh lembut dan bersopan, malah saya sendiri mudah terikut dalam perbualan seharian dan ia menjadikan rakan-rakan menjadi terkejut kerana penggunaan prosa kata yang sangat jarang dipraktikkan itu.

Malangnya karya novel sekarang telah hilang identiti itu dan anak-anak remaja mudah sahaja merosakkan semua itu dalam perbualan harian.

Bangkitlah wahai pembaca sekalian, belalah nasib kualiti sastera yang akan hilang di mana ia bakal digantikan dengan novel picisan di mana bahasanya bersifat rojak dan ini bakal menjadi ikutan anak-anak remaja zaman sekarang.

Mahukah kita lihat kejahilan anak-anak remaja kita ini tentang sastera dan tidak lagi mengenal siapa Tongkat Warrant? Memanglah beliau bukan raja SMS, artis glamor atau produk rancangan realiti yang kini lebih diberi perhatian oleh masyarakat, tetapi beliau adalah ilmuwan yang sukar diganti.

Kepada A. Samad Said, saya sedih setiap kali membaca kekecewaan anda namun anda tetap akan menjadi Sasterawan Negara dalam hati saya.

– AZREENA,

Seremban.

Wednesday, February 13, 2008

Kudratkan Sebuah Pengorbanan

i
SYUKUR di atas setiap janji Tuhan. Saya lulus cemerlang di dalam peperiksaan semalam. 95%. Markah ini jarang-jarang diperoleh. Saya harap kejayaan ini berkekalan. Saya ingin lahir sebagai mahasiswa yang cemerlang.

ii
Saya mahu cerita tentang erti pengorbanan. Pengorbanan seorang ibu yang melahirkan. Pengorbanan seorang ayah yang mendewasakan. Pengorbanan seorang kakak yang memenatkan dirinya untuk saya.

Sungguh-sungguh saya mahu bercerita. Dan, cerita-cerita itu saya kira panjang entah ke mana.

Tutup.

Saya didewasakan di dalam PMRAM ini dengan sebuah taklifan. Taklifan yang langsung tidak dipinta. Malah, saya pernah 'menangis' kerana ditaklifkan sedemikian rupa.

Saya mengambil langkah berat. Berulang-ulang kali mengulangi bahawa saya tidak mampu ditaklifkan lagi. Saya mahu jadi insan yang mengenal erti 'kemewahan' seorang ahli. Yang mampu bicara apa sahaja. Mampu mengkritik apabila dipinta. Mampu mengajar pelbagai cara.

Saya berulang-ulang kali bercerita tentang kekurangan saya. Kudrat yang saya ada. Dan, pelbagai lagi yang difikirkan oleh minda saya sendiri.

Saya bukanlah terbaik di kalangan kalian. Malah saya dilahirkan seperti insan terbuang yang dikutip untuk digunakan oleh ahli. Itu bukan minda saya. Saya banyak kali berbincang tentang hal ini dengan kawan-kawan seangkatan.

Benar! Sebab itu saya amat marah apabila kalian tidak berdisiplin melaksanakan sesuatu perkara. Kalian pernah menganggap saya duduk selesa. Malah, saya tidur lena sentiasa. Dan, barangkali ramai yang langsung mempertikaikan usaha yang saya lakukan.

Mudahnya begini.

Kalian perlu belajar mengenal erti pengorbanan. Pengorbanan kerana ditaklifkan. Berapa kerat di antara kalian berhujah lantang mempertahankan PMRAM dan akhirnya menolak mengisi borang kepimpinan. Aduh! Sungguh dangkal pemikiran kalian.

Dan, sebab itu saya simpulkan, jika kalian tidak duduk dikerusi saya, usah mengatakan saya tidak sebaik kalian.


Monday, February 11, 2008

Adakah Undian Anda Tepat?

Hampir sebulan ruangan undian ini saya buka. Dan hari ini, 11 Februari 2008 saya tutup dengan rasminya. Sama ada sangkaan anda tepat ataupun tidak, saya tidak peduli yang penting saya menganggap bahawa saya tidak lagi KEKAL untuk sesi akan datang!



Mahasiswa Al-Azhar Perlu Baca!!!

Gambar ini diambil daripada Telefon Bimbit Saya N70

Dipetik daripada Akhbar Berita Harian Online, 11 Februari 2008

Graduan al-Azhar pengisi kebangkitan Islam

Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

MASJID al-Azhar dibina pada 359 hijrah/970 Masihi dengan nama Masjid Kaherah dan tujuan pembinaannya bukan untuk dijadikan universiti sebaliknya sebagai pusat penyebaran dakwah oleh Khalifah Fatimiah.

Mereka menjadikan Mesir untuk menyebarkan kefahaman Ahli Bait dan Syiah. Antara orang yang bertanggungjawab mengadakan kelas pengajian di Masjid al-Azhar ialah Yaakub bin Kals, seorang menteri pada masa pemerintahan Khalifah Mu’izzuddin.

Pada 378 hijrah, Yaakub bin Kals meminta kepada Khalifah al-Aziz untuk menjadikan pusat pengajian dengan memanggil ulama mengajar di situ dan dibayar gaji. Sejak itu, Masjid al-Azhar menjadi pusat pengajian, terutama mengenai fekah Syiah.

Masjid al-Azhar mula menjadi pusat pengajian apabila kejatuhan Baghdad pada 656 hijrah dan pertumbuhan ekonomi Mesir yang semakin mantap, di samping galakan khalifah yang mewakafkan harta untuk al-Azhar, ulama dan pelajarnya.

Pada zaman Mamluki, al-Azhar menjadi tempat umat Islam belajar. Kurun kesembilan adalah zaman keemasan bagi al-Azhar sebagai pusat pengajian Islam terkenal di seluruh dunia. Antara pernah mengajar ketika itu ialah Ibn Khaldun yang meninggalkan anak muridnya yang terkenal dalam bidang sejarah seperti al-Maqrizi dan al-Sayuti.

Pada zaman moden, al-Azhar mula melakukan rombakan sistem pembelajaran daripada bentuk tradisional kepada sistem moden. Antara mereka yang menyeru ke arah pembaharuan itu ialah Syeikh Hassan al-Attar, seorang ulama yang mempunyai hubungan baik dengan Perancis.

Beliau meminta anak muridnya Rifa’at al-Tantawi belajar di Perancis. Apabila pulang ke Mesir, Rifa’at al-Tantawi mula memperjuangkan pembaharuan al-Azhar ke arah lebih moden. Syeikh Hassan al-Attar menjadi Syeikh al-Azhar pada 1246 hijrah hingga 1250 hijrah/1834 masihi.

Antara tokoh pembaharuan al-Azhar yang terkenal ialah Syeikh Muhamad Abduh. Beliau pernah menyebutkan bahawa pembaharuan di al-Azhar adalah sumbangan cukup besar kepada agama Islam.

Perubahan itu mengambil jangka masa panjang. Muhamad Abduh berkeyakinan bahawa strategi memperkukuhkan umat Islam mestilah menerusi sistem pendidikan dan bukannya bergantung kepada politik semata-mata.

Sejak itu, rombakan demi rombakan dilakukan. Pada 1930, di bawah pimpinan Syeikh al-Azhar Syeikh Ahmadi al-Zawahiri, ditubuhkan tiga kuliah iaitu Kuliah Syariah, Kuliah Usuluddin dan Kuliah Bahasa Arab.

Di samping itu, al-Azhar mempunyai sekolah rendah, menengah dan universiti. Pada 1961, berlaku rombakan besar di al-Azhar di bawah pimpinan Syeikh Mahmud Syaltut. Al-Azhar bukan saja pusat pengajian agama, tetapi mempunyai kuliah lain seperti Kuliah Ekonomi dan Perubatan.

Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Al-Azhar: Antara Semalam, Hari Ini dan Masa Depan menegaskan tanggungjawab mahasiswa al-Azhar. Graduan al-Azhar mempunyai tanggungjawab berlipat ganda daripada orang lain.

Antaranya, sebagai seorang muslim yang membezakan daripada orang yang sesat, sebagai seorang pemuda Islam yang mempunyai kekuatan, sebagai orang berpengetahuan dan sebagai seorang al-Azhari.

Menurut al-Qaradawi, al-Azhar bukan saja berfungsi sebagai tempat mengajar ilmu agama, tetapi tempat lahirnya pendakwah Islam yang unggul. Tanpa peranan itu al-Azhar adalah seperti badan yang tidak mempunyai ruh.

Tugas utama graduan al-Azhar ialah sebagai pendakwah iaitu sebaik-baik pekerjaan kerana ia tugas rasul. Al-Azhar adalah universiti yang memberi ilmu, masjid yang mendidik jiwa rabbani dan organisasi yang memperjuangkan nasib umat.

Al-Azhar pencetus kepada kebangkitan Islam kepada generasi belia kini. Al-Qaradawi juga menggariskan tiga perkara dalam menjayakan risalah al-Azhar iaitu menyediakan generasi umat Islam yang beragama dan memahami pemikiran Islam sebenar.

Kedua, tugas al-Azhar yang terbesar ialah membawa risalah Islam dan ketiga, memahami keperluan zaman yang kita hidup sekarang ini iaitu keperluan manusia kembali kepada agama. Oleh itu, graduan al-Azhar perlu sentiasa mengkaji Islam secara mendalam, memiliki contoh teladan yang baik dengan beriltizam kepada ajaran Islam dan beramal dengan ilmunya.

Al-Qaradawi juga menegaskan bahawa graduan al-Azhar perlu memiliki akhlak ulama iaitu keberanian dalam menyatakan kebenaran, zuhud, ikhlas dan kemuliaan.

Kegagalan graduan al-Azhar memainkan peranan ini akan mengakibatkan lahirnya pemikiran kebendaan di kalangan umat Islam, lahirnya pemikiran menyesatkan dan lahirnya golongan ekstremis agama.

Hari ini, hampir ribuan pelajar Malaysia yang lulus dari al-Azhar setiap tahun. Tidak dinafikan graduan al-Azhar memberi sumbangan cukup besar dalam kebangkitan orang Melayu. Graduan al-Azhar adalah pewaris kepemimpinan negara dan pewaris dalam mewarnai dakwah di Malaysia.

Namun, sejak kebelakangan ini, graduan al-Azhar yang pulang agak kurang berperanan dalam berorganisasi dan berpersatuan, terutama dalam gerakan dakwah dan belia. Walaupun ketika di Mesir, mereka begitu bersemangat melakukan perubahan.

Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar yang akan diadakan pada 15 hingga 18 Februari ini bakal memberi impak besar terhadap kemajuan umat Islam serta mempereratkan lagi dialog peradaban Islam dan Barat.

Persidangan diadakan di Malaysia, yang pertama kali di luar Mesir adalah satu penghormatan dan bakal dihadiri Syeikh al-Azhar Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi, menteri, duta, tokoh ulama dan ilmuwan dunia Islam lepasan Universiti al-Azhar.

Graduan al-Azhar perlu mengetahui bahawa pembabitan dalam organisasi dakwah akan membolehkan suara mereka didengari dan mereka lebih memahami strategi musuh untuk memecah belahkan umat Islam.

Menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia supaya pelajar di Timur Tengah, khususnya di al-Azhar pulang membawa ilmu diperoleh dengan berhikmah dan bijaksana. Ada ilmu yang tinggi saja, tetapi tidak berhikmah dalam berdakwah tidak akan memberi kesan kepada masyarakat.

Masyarakat Malaysia berdepan dengan tiga isu besar iaitu globalisasi, dialog ketamadunan dan pemikiran pluralisme yang pelbagai seperti modernisme-sekularisme, tradisionalisme dan Islam liberal.

Untuk menghadapi rempuhan arus globalisasi Barat memerlukan kita memahami permasalahan daripada pemikiran dan peradaban masyarakat bukan Islam. Dialog peradaban pula memerlukan jalinan hubungan yang meraikan persamaan dan perbezaan antara kita dengan pemikiran dan peradaban masyarakat bukan Islam.

Pluralisme dan pola pemikiran memberi permasalahan baru kepada umat Islam kini. Tiga permasalahan ini memerlukan persiapan dan kelengkapan khusus jika kita ingin terus relevan dalam melaksanakan proses islah.

Perubahan globalisasi dan politik semasa menyaksikan dominasi menyeluruh pemikiran dan peradaban Barat dalam dimensi politik, ekonomi dan sosial. Umat Islam memerlukan satu pendekatan baru untuk mengisi kebangkitan umat Islam.

Penulis ialah Felo Bidang Pemikiran Islam di Future Global Network, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang juga graduan al-Azhar jurusan Bahasa Arab


Seni Bercakap : Mengapa Perlu Dilatih?


KAWAN-kawan saya kata, apabila mereka pulang ke Malaysia, mereka akan merampas mikrofon daripada ustaz-ustaz di masjid. Ada pula yang berkata, mereka mahu merampas tongkat khatib dan membacakan khutbah ketika hari Jumaat. Ada pula yang masih meneruskan minat itu untuk menyampaikan ceramah di sekolah-sekolah atau agensi kerajaan dan swasta.

Namun, mereka menganggap perkara itu hanya dilakukan ketika berada di dalam kelompok masyarakat suatu hari nanti.

Saya menjeling tajam. Seakan-akan angan-angan mereka saya tertawakan. Itu cita-cita mereka. Sedari awal, saya bukanlah mampu bercakap secara langsung seperti hari ini. Ini adalah satu latihan.

Sebermula pengalaman saya lewat beberapa tahun yang lalu. Seingat saya hampir sepuluh tahun ia dibangunkan. Mula-mulanya seni menggigil yang saya belajar. Berketar mikrofon ketika bercakap dan tergagak-agak di dalam menyusun bicara. Tetapi, apabila latihan ini sudah digilap dari hari ke hari saya ketahui apa yang saya bicara ini.

Hingga ke hari ini, saya merakam setiap kata-kata saya. Kemudian, saya pulang dan analisis kata-kata itu. Saya ambil dua pendekatan, pertama, kata-kata ini lahir daripada hati atau lahir daripada nafsu.

Saya menginjak usia lagi. Memahami kehendak diri yang inginkan sesuatu dan saya belajar satu demi satu.

Justeru, mereka yang hanya berangan-angan tadi, usah setting minda anda itu.

Bengkel Penulisan di Sabah


SUKAR sekali ingin menjejakkan kaki ke Sabah. Disember lalu, keluarga saya melancong ke Sabah tanpa diiringi oleh saya dan abah.

Dan, sesekali apabila dapat merantau ke Sabah, jantung saya getar. Lamannya yang masih lagi cantik, dengan susur galur peradabannya yang masih molek lantas menjadikan saya kaget mahu meneruskan cita-cita ke sana.

Semalam, saya meneruskan pendakian ini. Saya melaksanakan jemputan tuan rumah untuk membengkelkan peserta daripada Malaysia Timur ini.

Niat saya cuma satu. Mahu membantu adik-adik saya menulis. Walaupun saya tahu, saya bukan insan selayaknya bercakap hal-hal begini kerana nanti dianggap orang, saya terlalu muda untuk mendidik.

Saya ketepikan masalah itu. Yang saya tahu, saya harus membimbing semuanya. Jika ada lagi yang masih belum mengenal dunia ini, saya menjemputnya untuk sama-sama memahaminya.




Fail Derita

Sasterawan Negara S. Othman Kelantan mencatatkan pengalaman manis suka duka percintaan melalui Fail Percintaan. Setiap lembar yang ditulis disimpan dan dijadikan panduan setiap kali menelaah dan mengulati karya-karyanya.

Saya seringkali tertampar dengan sebuah fail ringan yang dinamakan Fail Derita. Walaupun jarang-jarang saya tulis dan saya simpan, namun sekurang-kurangnya saya mencatatnya di dalam kotak memori.

Makanya, jurang perbezaan di antara fail saya dan fail SN S. Othman Kelantan amatlah jauh berbeza.

Kenapa saya namakan Fail Derita?

Analoginya begini. Saya bukan pegawai kerajaan yang dibayar gaji RM 2,500 sebulan atau seorang pegawai swasta yang berpendapatan sekitar RM 3,000 sebulan. Saya adalah seorang mahasiswa yang menuntut di bumi Mesir di dalam pengajian Islam.

Hanya berkemungkinan kelebihan saya satu sahaja. Saya memimpin sebuah persatuan di Mesir ini. Jawatannya 'ringan' sekali saya kira (Setiausaha Agung).

Mari kita berulang cerita lagi berkenaan Fail Derita itu. Saya menghadapi satu tugasan serius berkenaan dengan percetakan Tasrih di bumi Mesir ini. Saya ulang, percetakan Tasrih. Saya ulang, percetakan Tasrih.Tasrih adalah sebuah surat kebenaran yang digunakan untuk merantau di sekitar Mesir. Dan, tugas mudah ini dipundakkan ke bahu saya.

Saya amat kurang menyenangi mereka-mereka yang menggunakan saya di dalam hal-hal yang tidak sepatutnya. Ini saya kira masalah AJKT BKAN dan DPM. Mungkin mereka menganggap saya adalah 'seorang hamba' lantas hanya memerintah tanpa mampu berkomunikasi dengan baik.

Jika anda menghadapi situasi seperti saya tentunya anda marah. Lihat peristiwa ini.

Seorang AJKT (baca : kadang-kadang ahli biasa) memohon tasrih dengan hanya menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau hanya telefon ke telefon bimbit saya. Beberapa kali saya mengatakan bahawa, "Anda seorang yang tiada protokol!"

Mereka seringkali mendesak untuk melakukan kerja-kerja ini dengan segera. (baca : ingat saya ini hamba!) Paling menyakitkan hati, mereka inginkan di dalam jangka masa 2 jam daripada waktu maklumat tersebut diterima.

Wah! Mudah sungguh begini. Mahu sahaja saya lemparkan surat Tasrih itu kepada kepalanya sahaja. Barulah mereka tahu susah senang duduk di atas meja pejabat ini.

Saya beritahu anda! Saya ada tanggungjawab lain. Bukan sahaja ngada-ngada anda yang harus saya layan, tetapi saya ada lebih daripada 4,000 orang ahli yang saya harus layani. Barulah saya ketahui, mengapa pegawai-pegawai kerajaan seringkali merungut kerana yang dituntut oleh pelanggan amat 'tidak waras'.

Oleh yang demikian, jika anda mahukan tasrih gunakan kaedah ini.

Pertama, hantar surat sebelum program.

Kedua, maklumkan saya bahawa surat itu telah sampai di atas meja SUA PMRAM.

Ketiga, pastikan tasrih anda tercatat maklumat yang tepat.

Keempat, bayar LE 1.00 sahaja (baca : semua ingat free ke TASRIH!)

Kelima, datang ke pejabat untuk mengambil tasrih di dalam masa 24 jam selepas anda menghantar surat permohonan. (baca : saya masih boleh mempertimbangkan lagi)

Ingat! Sepatutnya tasrih diambil 3 hari selepas tarikh permohonan. Anda beruntung berurusan dengan saya. Dan, saya akan mengajar SUA PMRAM akan datang agar jangan lagi layan ngada-ngada anda selepas ini.

Nota :

Saya lebih selesa mahu jadi ahli biasa daripada mencatat Fail Derita ini.

Sunday, February 10, 2008

Program Bersama Habiburrahman Sheirazy

Lokasi Program Berlangsung

Di antara kawan-kawan yang mewakili PMRAM

Kang Abik menyampaikan ceramahnya bersama moderator dari FLP (Forum Lingkar Pena)

i

SYUKUR dipanjatkan kepada Ilahi kerana saya dan rakan-rakan dari PMRAM dapat bersama-sama Kang Abik (Habiburrahman El Shirazy) penulis novel Ayat-Ayat Cinta di dalam program penulisan novel bersama beliau seharian ini. Program telah berlansung di Asrama Jawa Timur Indonesia,Hayyu Asyir, Musallas, Kaherah, Mesir. Kedatangan Kang Abik ke Mesir membawa tuah yang amat bermakna kepada kami semua.

Jika saya ingin mengistilahkan peribadi pada hari ini, istilah yang paling tepat adalah penat. Tetapi, saya simpan kepenatan itu jauh ke dalam agar yang lebih menjadi perkara utama adalah minat dan kecenderungan itu digarap melalui bakat dan disiplin yang berterusan.

Saya mengkoreksi diri. Di mana nilai karya saya sebenarnya. Namun, sedikit motivasi diri terbit tatkala mendapat bimbingan daripada penulis novel best seller. Walaupun sedari maklum, Ayat-Ayat Cinta saya mahu kelaskan sahaja sebagai Novel Pop Islami, tetapi sebagai penulis baru, saya seharusnya belajar bukan mengkritik.

Saya faham, berapa ramai kawan-kawan kita yang asyik berbicara tentang sastera semasa berkarya, namun pandangan Kang Abik ada juga benarnya. Daripada satu sudut yang luas, saya mengkelaskan perihal penulis adalah sebagai seorang penulis. Ini kejayaan mereka.

Terima kasih kepada Kang Abik. Sekurang-kurangnya saya sudah bertambah guru untuk menuntut ilmu sastera. Dan, bukan calang-calang insan yang berbicara tentang dunia penulisan ini. Tahniah Kang Abik. Novelmu sudah menjangkau 400,000 buah di Indonesia. Jika di Malaysia, tentu sahaja berganda-ganda.


ii

Usai menghadiri program bersama Kang Abik, saya dikunjungi oleh ustaz kita dari Jordan di Pejabat PMRAM. Wah! Seronok benar bertemu seorang mahasiswa graduan Al-Azhar dan mantan mahasiswa Sarjana UIAM. Ustaz Mujahid kini sebagai mahasiswa Kedoktoran di Universiti Jordan.

Moga-moga kejayaan beliau disusuli dengan kehadiran kawan-kawan kita akan datang. Sebagai seorang pemerhati serius, saya menjangkakan bahawa nilai Badan Pengurus PMRAM suatu ketika dahulu bukanlah sesuatu yang santai semata-mata kerana mantan-mantannya sudah menunjukkan taring. Saya doakan ada juga di antara kita yang mengikut jejak langkah beliau.

Ustaz Mujahid adalah salah seorang mantan Badan Pengurus PMRAM sesi 1998,1999.


Saturday, February 09, 2008

Typeace diminta membimbing pelajar!

Selepas mendapat ruang di Majalah Fokus SPM, Februari tahun lalu, Typeace sering sahaja dikunjungi dengan pelbagai emel dan teguran untuk memberikan tunjuk ajar dan motivasi kendiri khusus kepada adik-adik kita di peringkat SPM.

Insya-Allah, Typeace akan jawab beberapa permintaan yang termampu. Dan Typeace mohon maaf sekiranya ada di kalangan pembaca tidak menyenangi Typeace.

Saya Amni Insyirah (bukan nama sebenar),pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Agama Kebangsaan Persekutuan Labu (bukan sekolah sebenar).

Saya kagum dengan kejayaan akhi syafiq. Tujuan emel saya dilayangkan untuk meminta tips pada akhi Syafiq. Saya berminat dengan bahasa Arab, tetapi saya amat lemah dalam matapelajaran tersebut. Jadi,boleh tak akhi Syafiq memberi saya dorongan dan cara-cara untuk mendapatkan Mumtaz @ A1 dalam SPM yg bakal tiba ini.

Nota:
Saya sudah menjawab emel ini.


Friday, February 08, 2008

SHOUBRA Julang Piala Presiden PMRAM

TEKA teki dan spekulasi pada Piala Presiden PMRAM pada tahun ini sudah berakhir. Keputusannya 2-0. DPM Shoubra menentang DPM Zaqaziq. Memang sukar al-Quran ingin ditewaskan. Kata sebahagian insan di padang stadium perlawanan.

Saya ketawa kecil. Mungkin juga ada benarnya. Sementelah beberapa tahun yang lalu, nama Shoubra tenggelam di persada seni kejohanan bola sepak, tetapi terangkat hari ini selepas menjuarai piala tahunan ini.

Namun, adakah kemenangan ini sekadar kemenangan hakiki atau kemenangan yang hanya menjadi kayu ukur kepada diri kita sendiri. Pertama, sejauhmana kita sebagai mahasiswa Islam mampu mengadaptasikan perlawanan dan pertarungan itu di dalam medan dan skop pemikiran yang lebih luas lagi.

Lihat sahaja pada semangat mahasiswa kita di gelanggang. Berlari, bersorakan, bertempikan. Semuanya ada. Gol. Gol. Gol. Itu yang biasanaya didengari di cuping telinga kita. Namun, semangat gelanggang ini harus dibelai dengan lebih ranum agar ia sebati. Berapa ramai yang pernah menjulang piala ini namun tidak mengerti kehebatan piala ini.

Tidak usah saya katakan semua ini dengan lebih rinci. Anda sebagai seorang ahli tafsir yang bijak!

Thursday, February 07, 2008

Ustazah Kita : Simpan Wajah Dalam Niqab


JARANG-jarang mampu kita bicara berkenaan dengan orang perempuan. Jika anda seorang perempuan pun, mungkin matlamat itu tidak sampai. Anda tentunya akan malu berbicara berkenaan peribadi anda sendiri sebagai seorang perempuan. Saya ingin ketengahkan pendapat saya berkenaan orang-orang perempuan. Dan, sementelah itu saya beranggapan bahawa mereka yang bergelar perempuan akan terguris hati sedikit demi sedikit. (Baca : itu bukan masalah saya)

Saya kecilkan skop perbincangan. Saya akan menyentuh kawan-kawan perempuan kita di Mesir sahaja. Jika anda termakan hati, maksudnya anda telah berjaya mengenal nafsu anda sebagai seorang perempuan. Dan ketika itu, tiada salahnya jika kita berubah bukan? (perempuan Mesir)

Saya ingin namakan perempuan di sini sebagai ustazah agar kalam-kalam saya terus langsung sahaja.

Begini. Saya langsung tidak nampak di mana letaknya kematangan ustazah kita. Lihat sahaja melalui program-program persatuan, wah! tenggelam sungguh. Jika diberikan mikrofon, mereka akan menolak seraya mengatakan, "tak mengapa lah ustaz!" Ini ustazah kita. Ustazah dalam niqab mungkin. Atau, jika bukan mereka yang dalam niqab, mereka yang di luar niqab pun sama juga.

Malu tidak bertempat. Berlakon kadang-kadang. Atau hanya berangan nak jadi ustazah yang matang ketika pulang di Malaysia. Tetapi, hasilnya semuanya dalam tempurung kelapa.

Kedua, ustazah kita ini terlampau hipokrit. Depan kita, seronok tunjuk warak, tapi apabila mereka berhadapan dengan warga Arab, nilai ustazah kita hilang.

Maaflah jika saya katakan niqab ustazah yang tertutup itu menyebabkan minda ustazah pun tertutup. Jika ini ustazah yang kita lahirkan, alamat rugilah dunia.

Dari satu sudut yang lain, ada pula ustazah kita ini yang hanya suka terkinja-kinja di belakang kita. Tapi, tidak salah saya katakan bahawa, yang senyap sunyi di depan kita, itulah ustazah kita yang melompat di khalayak. Mungkin perkara itu saya mampu maafkan kerana bukan itu menjadi masalah utamanya.

Ustazah kita juga tidak ketinggalan tidur dalam jaga. Maksudnya mudah. Ustazah kita ini langsung terikut-ikutkan pemikiran ala-ala kebudak-budakkan saja. Mahu berfikir jauh! Jarang sekali. Tetapi bercita-cita tinggi.

Paling pelik, muka dan wajah ustazah kita ini disimpan dalam kotak almari. Pemikiran kuno saya kira. Atau, sengaja mahu menjual 'mahal' erti seorang ustazah. Mereka terlalu ikutkan trend orang-orang lama yang jauh sudah berusia daripada mereka. Ustazah, kita sudah berada di dalam abad ke-21. Fikiran harus cergas juga.

Ada beberapa perkara lagi yang saya ingin bicarakan berkenaan dengan ustazah kita ini. Tapi mungkin tidak elok dibicarakan di sini. Sengaja saya mahu meninggalkan kemarahan ustazah kita. Dan, saya beranggapan bahawa ustazah-ustazah kita tidak membaca artikel saya ini. Ini bukan cerita mainan. Bukan pula ingin mengutuk sesuka hati. Sekadar bicara peribadi. Tidak lebih daripada itu. Maksudnya, saya mahukan ustazah-ustazah kita tidak tidur dalam niqab mereka sahaja.

Mungkin ini salah HEWI!


Kerana Amni Insyirah

(wajah Amni Insyirah terkini)

Amni,
Kerana engkau aku belajar erti takwa
mengenal Tuhan yang Esa
atas 99 nama-nama-Nya.

Amni,
Kerana engkau aku belajar tahan marah,
mengerti bahawa setiap sesuatu ada angkara
yang menyesatkan.

Amni,
Kerana engkau kudratkan aku sebuah pengertian
disisi galas seuncang pengorbanan
yang didermakan
buat pejuang nafsu
kedamaian.

Amni,
Kerana engkau aku berbisik,
Tuhan peliharalah aku!

Ammu Amni
Kaherah, Mesir.

Penasihat Boneka


Jika mahu dihitung, saya di antara insan yang mampu untuk mencoretkan beberapa ceritera setiap hari. Pertama, kerana seharian saya mendengar orang bercakap, dan saya memerhati gerak kerja dan langkah seseorang. Saya bukan seorang ahli pemikir. Tetapi, saya harus menjadi orang yang ada akal untuk berfikir.

Setiap hari tentunya ada saja yang mahu diceritakan. Manakan tidak, setiap malam saya menghabiskan malam-malam saya dengan bermesyuarat dan berbincang tentang masalah persatuan. Dan saya kira bahawa kalian juga ketahui bahawa persidangan muktamar akan berlangsung tidak lama lagi. Justeru, tidak hairanlah di dalam kesuntukan masa terakhir nyawa saya ini, saya perlu sibukkan diri.

Perbincangan kali ini saya akan pusatkan kepada tajuk yang sinonim dengan salah satu jawatan di dalam sesebuah persatuan.

Mungkin mudah jika saya katakan, tanpa seorang penasihat, sesebuah organisasi itu tidak lengkap. Namun, bagaimanakah wujudnya Penasihat Boneka.

Mudahnya saya coretkan begini. Ada beberapa pihak mengeluh mengatakan bahawa mereka sekadar menjadi penasihat boneka untuk sesebuah persatuan. Mereka hanya dilantik di atas kertas, lantas sepanjang sesi kepimpinan beliau, langsung tidak pernah sekalipun mereka dijemput untuk menghadiri mesyuarat organisasi tersebut.

Saya ceritakan begini. Kami di peringkat induk (PMRAM) tidak pernah langsung mengabaikan seorang pun penasihat kami. Malah, ada beberapa ketika, kami menghargai seramai hampir lima atau tujuh orang penasihat mampu duduk di dalam meja mesyuarat di dalam masa yang sama.

Namun, mungkin hal dan keadaan ini sebaliknya berlaku di DPM dan BKAN. Saya melihat perkara ini daripada aspek BKAN. Setahu saya, ada BKAN yang mengekalkan matan begini;
"Seorang penasihat dilantik di kalangan Badan Pengurus PMRAM". Justeru, bagaimana istilah dan matan ini dilaksanakan?

Aduh! Sungguh asing saya melihat kepimpinan hari ini. Dan, tidak salah saya katakan pihak-pihak yang mendakwa mereka sebagai penasihat boneka ada kebenarannya.

Harapan saya, insaflah!


Wednesday, February 06, 2008

Ayah


Ayah
ZULAKIFLI AHMAD


Ketika berjauhan masih kurasa
Hangat kasihmu ayah
Betapa kurindukan redup wajahmu
Hadir menemaniku

Terbayang ketenangan
Yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan

Walau hatimu sering terluka
Tika diriku terlanjur kata
Tak pernah sekali kau tinggalkan diriku sendirian

Ketika ku dalam kedukaan
Kau mendakap penuh pengertian
Di saat diriku kehampaan
Kau setia mengajarku erti kekuatan

Terpancar kebanggan dalam senyummu
Melihatku berjaya
Bila ku kegagalan tak kau biarkan
Aku terus kecewa

Dengan kata azimat
Engkau nyalakan semangat
Restu dan doa kau iringkan

Tak dapatku bayangkan
Hidupku ayah
Tanpa engkau disisi
Semua kasih sayang yang kau curahkan
Tersemat di hati

(Aeman)

Omong Omong Kosong

Seputar beberapa hari ini, saya dihujani dengan beberapa konflik. Biar saya simpan semuanya itu.

Usai menyelenggarakan program 'Penulisan' di Asrama Pelajar Johor lewat beberapa hari yang lalu, saya tidak tahu hendak mulakan penulisan itu dari sudut yang bersesuaian dengan saya. Namun, sekadar mencari isu, saya beranggapan saya sudah 'diajar' untuk memberikan sesuatu itu kepada khalayak secara kasar.

Jika ditanya, mahu saja saya menempel beberapa kalam-kalam sahabat berkenaan Piala Presiden PMRAM yang sedang berlangsung. Namun, tidak layak saya menghukum kerana saya tidak berada di tapak lokasi program sejak bermulanya program pada hari pertama.

Ada beberapa perkara yang terus menjadi igauan saya hingga ke hari ini. Ada saja rencam dan beberapa perkara yang tidak disegani terus berlaku dan menghantui PMRAM. Namun, dari sudut yang lain, saya sudah memahami sedikit demi sedikit keadaan ini.

Saya ingin mencerna minda saya untuk berfikir panjang. Saya mahu latih beberapa mentee saya agar dapat digunakan pada masa akan datang. Sekurang-kurangnya cukup lima orang pun sudah selesa menyelenggara sebuah 'kelab' baru di Mesir ini.

Huh! Penat sungguh berfikir. Tapi, saya akan tinggalkan semua itu satu-persatu. Biar mereka mengusahakannya.


Friday, February 01, 2008

TIKUS menyerang KAHERAH


BINATANG yang paling terkenal ketika ini adalah tikus. Mungkin, sesetengah daripada anda pelik. Tetapi, ia benar-benar terjadi di sini. Maksudnya mudah, di rumah sendiri binatang ini seperti saja binatang peliharaan.

Ada dua perkara yang boleh dirungkaikan. Pertama, tikus seekor binatang perosak. Kedua, tikus seekor binatang yang mampu bekerja bersama manusia.

Tetapi, kedua-duanya mempunyai jawapan dan perspektif yang berbeza. Besar kemungkinan ianya amat merbahaya tetapi harus dipelihara. Namun, kaedahnya bagaimana?

Sila baca maklumat ini.

Dipetik daripada Apa Ada Pada Otak Tikus


Ada Apa Sebenarnya di Otak Tikus?

Beijing (ANTARA News) - Beberapa ilmuwan mengatakan, mereka telah mendapati sel jaringan di dalam otak tikus menyediakan sejenis petunjuk bagi ingatan di dalam sistem penempatan global internal, demikian laporan media yang dikutip Kantor Berita China (Xinhua), Senin.

Satu tikus kecil berwarna putih berlari melintasi kotak terbuka, dan mengambil sedikit coklat, kata ilmuwan di Norwegian University of Science and Technology, Trondheim, memperhatikan layar komputer penelitiannya.

Setiap kali tikus yang dipasangi elektroda tersebut bergerak ke tempat baru, beberapa syaraf di otaknya menyala dan suatu tanda dikirim ke komputer.

Di layar komputer, kekacauan jalur hitam menunjukkan di mana tikus itu berjalan, dan serangkaian titik merah menunjukkan kapan urat syaraf menyala.

Ketika teknisi yang mengerjakan komputer menerjemahkan jalur dan titik itu menjadi peta, semuanya membentuk persegi enam, jaringan segi-tiga sama kaki yang sempurna, kata Edvard Moser, Direktur Center for the Biology of Memory di universitas itu.

Sel jaringan tersebut yang diidentifikasi Moser dan timnya dari pola pencahayaan mengirim gelombang kejutan ke perhimpunan ahli syaraf. Mereka telah menemukan peta kognitif yang terus-menerus memperbarui informasi ruang mengenai lokasi tikus itu dan gerakan di dalam ruang.

Sel jaringan itu yang tergambar di layar komputer memberi sejenis indeks bagi daya ingat. Oleh karena semuanya berada di tempat yang sama dengan tempat penyakit Alzheimer berasal --jaringan otak entorthinal-- semua itu juga memberi kunci bagi ditemukannya jalan kembali bagi ingatan yang hilang, kata para ilmuwan tersebut.