Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Friday, November 30, 2007

Pandai Bahasa



Mulai minggu ini, kita akan sama-sama berkongsi beberapa perkataan baru untuk menjana perbendaharaan kata di dalam Bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia)

Perkataan yang jarang kita gunakan adalah perkataan-perkataan yang mengandungi tiga huruf. Kalau digunakan pun, saya kira waktu bermain Sahibba. Apa kata kita sama-sama mengkaji perkataan tiga huruf.

A

aba - hama, kuman
abu - sisa sesuatu yang telah hangus

debu, serbuk

aci - tidak jadi, tidak sah

batang logam roda berpusing gandar roda
aco - mengigau, berkata tidak keruan

acu - membuat gertak lalu mengancam


Falsafah Diri


Kalau hendak menjadi manusia, jadilah manusia yang berbudi. Dan kalau hendak menjadi insan, jadilah insan yang menyayangi.

Falsafah baru sering diperkatakan di dalam penulisan. Benar! Hakikat sebahagian antara penulis jarang-jarang berfalsafah. Semalam, saya membaca cerpen "Manusia Itu" yang diterbitkan dalam Majalah Siswa edisi November 2007.

Ada falsafah di sana.

Wednesday, November 28, 2007

"Apabila Menteri Meradang"


Kaget. Liar mata memandang. Hati tidak keruan. Pemimpinku diserang. Oleh harimau jalanan. Allah sudah bagi anugerah pada saya. Saya tidak 'stay' untuk majlis makan malam korporat.

Sungguh reda sebenarnya atas ketentuan-Nya. Terima kasih Ustaz Hud yang mengajak saya pulang awal. Sekurangnya-kurangnya hati saya tidak seremuk insan yang siaran langsung dapat mendengar culaan daripada "menteri emosi".

Ketawa sedikit tapi tidak meleret. Mendengar dentuman gema yang kuat dari belakang, saya seolah-olah dijentik. Rasa mahu 'maki' tapi saya perlu kenal diri sendiri. Insan biasa.

Promosi

Saya tidak mahu promosi program yang telah berlangsung, tetapi sekadar mempromosikan blog sahabat sendiri yang memperkatakan berkaitan isu ini.

Tidak mahu mengulas panjang. Sekurang-kurangnya saya harus bersyukur kerana bukan telinga saya yang mendengar.

Klik di sini untuk membaca blog Ustaz Rasul Amat

(glamour la ko kejap kat blog aku)

p/s : Cerita-cerita ini adalah modal untuk menulis sebuah novel.


Tuesday, November 27, 2007

Karnival Kerjaya Timur Tengah 2007



Puas sudah meladeni (bukan buku) Karnival Kerjaya Timur Tengah yang diadakan di Cairo International Convention Centre (CICC) di Kaherah, Mesir. Seronok bertambah penat yang amat. Mungkin tidak sepenat Pak Lah yang senantiasa sibuk ke sana dan ke mari menghadiri mesyuarat, persidangan dan sebagainya. Namun, segala pengalaman itu amat berharga bagi diri sendiri.

Dari beberapa sudut, saya melihat ada kesan positif yang besar melalui program yang diadakan ini. Wajar diberi tepukan di atas kejayaan pihak penganjur (PNB) yang bertungkus lumus mengadakannya.

Namun, perancangan dan penyusunan program yang diadakan selama 2 hari wajar diberi perhatian yang serius. Al-maklum, pendedahan sebegini jarang-jarang malah kekadang mentah di kalangan warga dan individu yang berada jauh di perantauan. Namun, peluang dapat bersemuka sendiri dengan Perdana Menteri Malaysia adalah kesempatan yang tidak wajar diambil enteng oleh individu yang bergelar manusia. Penghargaan ini sekurang-kurangnya memberi ruang yang besar kepada golongan Al-Azhar terjun ke industri alam pekerjaan dengan baik amnya.

Seperkara yang boleh dibicarakan bersama, program ini ada canggungnya. Malah, ianya harus diteliti sebagai satu momentum ke arah yang lebih baik pada masa akan datang. Kepada pihak penganjur yang bekerja keras. Tahniah buat anda.



Sunday, November 25, 2007

UTUSAN MALAYSIA HARI INI

3,000 pelajar Malaysia di Mesir dengar amanat PM hari ini

Daripada MARZUKI YUSOFF


KAHERAH 25 Nov. – Kira-kira 3,000 pelajar Malaysia yang mengikuti pelbagai kursus termasuk dari Universiti Al-Azhar di sini akan mendengar amanat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi esok.


Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir berkata, Perdana Menteri dalam ucapannya pada perasmian Pameran Kerjaya dan Promosi Malaysia yang terbesar pernah diadakan setakat ini dijangka menyentuh beberapa perkara penting terutama yang ada kaitan dengan isu melibatkan para pelajar.


Menurut beliau, lawatan Perdana Menteri kali ini akan menyuntik semangat kepada para pelajar terutama yang mengikuti jurusan agama agar tidak berasa tersisih dari pelbagai peluang yang disediakan oleh kerajaan dan sektor swasta di Malaysia.


‘‘Selain 3,000 pelajar yang akan mendengar amanat Perdana Menteri di Dewan CICC, kira-kira 4,000 lagi pelajar kita di negara ini akan hadir pada pameran kerjaya itu.


‘‘Sebanyak 40 agensi kerajaan, korporat dan bank-bank terkemuka Malaysia akan menyertai pameran atau festival kerjaya tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Selain kehadiran Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, beberapa menteri Kabinet akan turut serta termasuk Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.


Mengubah


Para pelajar juga mempunyai sesi khas bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal.


Zainal Abidin menambah, tujuan kerajaan mengadakan program tersebut adalah bagi mengubah persepsi para pelajar terutama dari jurusan agama bahawa peluang pekerjaan untuk mereka terbuka luas.


‘‘Selama ini para pelajar jurusan agama merasakan mereka hanya layak menjadi guru agama sedangkan peluang pekerjaan untuk mereka sebenarnya lebih luas termasuk berkhidmat di sektor korporat dan bank-bank.


‘‘Pada festival ini, sebanyak 300 peluang pekerjaan segera akan ditawarkan kepada para pelajar itu melalui temuduga terbuka yang diadakan selama program dua hari itu,” jelasnya.


Beliau berkata, seramai 6,000 pelajar Malaysia kini menuntut di Universiti Al-Azhar, manakala selebihnya mengambil jurusan perubatan dari tujuh buah institusi pengajian tinggi lain.


Perdana Menteri dan isteri dijangka tiba ke sini kira-kira pukul 7.10 malam ini (waktu tempatan) dan akan menghadiri jamuan makan malam di kediaman Duta Besar Malaysia di Muhandiseen.


Menurut Zainal Abidin, petang esok Abdullah dijadualkan menemui Perdana Menteri Mesir, Dr. Ahmad Nazif sebelum berlepas pulang ke tanah air kira-kira pukul 11 malam.


–Sumber Utusan Malaysia, Isnin 26 November 2007


Bersama Menteri


Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah sekali lagi dikunjungi YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia. Orang Pasir Gudang sepatutnya turun bersama-sama menteri untuk perjumpaan ini namun saya menjadi hampa kerana orang Johor Bahru terhegeh-hegeh mengejar menterinya.

(Pesanan untuk orang Pasir Gudang; minta maaf banyak projek saya dapat dari Dato' Seri)


Seronok benar dapat bersantai bersama-sama menteri.

YB Dato Dr Adham bin Baba merupakan Setiausaha Parlimen, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Sebagai anak Johor, saya berbangga kerana pewaris generasi kepimpinan masih ada di peringkat pusat. Kedua, saya juga mampu tersenyum kerana YB sudi duduk di atas lantai Dewan Ibnu Sina, Asrama Pelajar Johor walaupun kami menyediakan kerusi sofa. Kami menghargai lawatan Yang Berhormat.

Seputar Dunia Kaherah


Minggu ini saya mengenal dunia Kaherah. Dari utara, timur, barat dan selatan. Semuanya saya rangkumi sebagai suatu jurnal perjalanan hidup. Alhamdulillah, beberapa hari lalu, saya sempat mengkhatamkan "Beraraklah Awan Pilu" karya A Latip Talib. Mahu juga diperbahaskan satu persatu plot dan sub-plot di dalam karya tersebut, namun cukuplah sekadar kalian mengetahui saya membaca.

Insya-Allah, jika ada kesempatan saya meminta izin kepada editor majalah Suara Kampus Mahasiswa untuk memberi ruang untuk saya berceloteh serba sedikit berkaitan karya yang telah saya hadamkan.

Almaklum, kini mahasiswa sedang disibukkan dengan kehadiran YAB Dato' Seri Hj Abdullah Ahmad Badawi ke bumi Mesir. Ini adalah sesuatu yang dinantikan-nantikan oleh sebahagian besar mahasiswa yang berada di perlembahan Nil. Kedatangan serta ruang waktu untuk bersama anak-anak perantauan di bumi Mesir ini adalah sebagai suatu pengalaman indah yang dapat dijadikan kenangan sehingga akhir hayat.

Teringat lagi ketika tahun 2005, apabila YAB Menteri Besar Johor, Dato' Haji Abdul Ghani Othman berkunjung ke bumi Mesir, banyak keperluan dan permintaan yang berjaya ditunaikan dan dilaksanakan dengan baik. Justeru, adalah diharapkan beberapa permintaan serta cadangan yang diberikan khusus di peringkat persatuan yang mewakili suara anak-anak Melayu yang berada di bumi Mesir ini diterima dengan hati yang terbuka (baca: dah penat menjadi "pembaca pruf" untuk memorandum kepada PM)

Hari ini saya mendapat tugas baru. Menulis sebuah novik (novel komik). Sejujurnya, saya tidak gemar dan tidak mahir melukis. Namun, saya tidak mahu gagahkan diri untuk melaksanakan namun berazam untuk menyiapkan dialog komik tersebut dengan baik. (baca : Orang berbudi kita berbahasa.)

Saya merangkak-rangkak menghasilkan novel pertama walaupun saya bukanlah penulis yang gagah di dalam penulisan cerpen. Namun, apa salahnya mencuba.

Saya mengharapkan ada pihak yang berhajat dan teringinkan skrip drama TV dari saya. Jika ada kesempatan, saya akan siapkan juga.

(p/s: Banyak buat karya, periksa apa cerita)

Ripuh

Pagi
petang,
dan
malam
yang masih ripuh.


Rupa-rupanya

kita hanya ripuh
di dunia.


Syafiq Zulakifli

H7, Kaherah, Mesir.

Tuesday, November 20, 2007

Melatari Mediterranean

Menghayati Pantai Iskandariah, Mesir (lihat awan)

Selepas menjejakkan kaki ke bumi Mesir, sudah dua kali saya berpijak di bumi Mediterranean. Ombak laut kali ini menghempas laju. Siulan angin dan wayu yang bertiup lembut dengan udara sejuk kadang-kadang mengena di sisi.

Penat sungguh perjalanan ini. Karya saya bulan ini pun berkisar pantai dan laut ini. Kegersangannya amat mendalam. Sedari itu, saya cuba menggulati cerita-cerita yang mampu di watakkan di sini. Saya tidak lupa pada Mandarah dan Asofirah ketika menyelusuri kawasan ini.

Sewajarnya, ketika menyelusuri perjalanan yang 'mentah' ini, hati bergalau. Mungkinkah banyak karya bisa dilahirkan di sini.

Saya tersenyum sendiri. :)

Puisi Untuk Aliff Aziz


Puisi Untuk Aliff Aziz

Dulu Kau remaja biasa
yang tak kenal punca semua
dari usia bayi,
yang muda, remaja,
belia
dan tua.

Dulu

Mereka diam

tidak terkinja-kinja

melompat sini-sana

girang melaung
namamu
Aliff Aziz.

Hanya sebuah 'Anugerah'
namamu mesra mendakap jiwa

seruling patah kan tegang sentiasa

berbekalkan nafsu semata

siswa siswi bermaharaja lela

menggulati bantal
dan
selimutmu.

Kini
kau sudah dewasa
mengenal pancaroba dan swadaya

yang akan tenggelam tiba-tiba

wajarlah kau berfikir

agar namamu tidak kikir

oleh dusta
fakir
bak Hang Lekir yang sudah hilang magisnya.


Lewat masanya telah berubah

kau kian parah

oleh noda sang durjana

yang mengajakmu ke lembah hina.


Mahuku ajakmu bersua

di dalam selimut tebalku
dan
mendakapmu mesra
di atas sujud dan tahajudku.

Syafiq Zulakifli
Kaherah, Mesir

Menghayati Sejarah


Beberapa hari ini saya menggulati buku sejarah. Mungkin ada yang pelik lantas mengatakan, "ustaz berada di lain bidang." Saya ketawa kecil. Ini senario kecil mahasiswa Al-Azhar yang sudah tampak pelik pada diri saya sendiri.

Baru-baru ini ketika menghadiri Seminar Penulisan Cereka di ASWARA, Dr. Sohaimi telah menerangkan kepada kami bahawa sejarah juga adalah sebuah pemikiran. Mengapa tidak? Sejarah dikatakan sesuatu yang subjektif dan boleh ditafsirkan. Justeru, tidak hairanlah mengapa karya yang berbentuk sejarah seperti 1515 (FT), Si Bongkok Tanjung Puteri (Latip Talib), Surat Surat Perempuan Johor (FT), Nama Beta Sultan Alauddin (FT), dan bermacam-macam karya lagi yang diiktiraf sebagai sebuah karya historogical power pada hari ini.

Sejarah Saya

Ada sesuatu yang mengusik fikiran. Perkara ini juga sudah lama merapu di benak saya. Bukankah menulis autobiografi itu sebuah bahan sejarah untuk mengaplikasikan sebuah jurnal cerita yang panjang. Pernahkah kalian membaca Warkah Eropah (karya A Samad Said) yang memuatkan perjalanan A Samad Said ketika berada di sana. Kebanyakan karya tersebut merupakan hasil tulisan penulis ketika berada di Eropah dengan beratus-ratus surat kepada isteri beliau (Salmi Manja).

Kita punya sejarah sendiri. Tentunya ada yang suka, duka, tawa dan manja. Ianya adalah sebuah sastera agung dan jika dikumpul berhari-hari tidak mustahil ia menjadi sebuah karya agung lewat membacanya sebagai sebuah bahan ilmiah suatu hari nanti. Saya termangu seketika memikirkan perjalanan "Ayat-Ayat Cinta" yang menjadi novel best seller baru-baru ini. Bukankah perjalanan hidup Fahri dikhabarkan melalui novel ini?

Sesuatu yang menarik bukan sahaja tampak menarik seperti biasa, namun ia sebagai jalan cerita ringkas yang mampu memberi ibrah kepada pembaca.

Mari kita menerbitkan "Warkah Dari Nil"

Sunday, November 18, 2007

Wajah Kesayangan Hamba (2)




(Sila jangan provokasikan terhadap gambar-gambar ini)

Sejarah lalu
mengajar aku
seorang guru
mendidik
mengasuh
membelai
seperti adikku.

Masanya telah tiba
kita sama-sama
mendaki
puncak gemilang.

Sayangnya
masa itu
telah berlalu.

Kaherah, Mesir.


Friday, November 16, 2007

PAK LAH IN CAIRO


Sama-sama memeriahkan Karnival Kerjaya dan Ucapan Perdana sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia yang ke-5. YAB Dato' Seri Hj Abdullah Ahmad Badawi.

Thursday, November 15, 2007

Hadiah Sastera Darul Takzim

Mungkin tidak seronok mengimbas kembali cerita yang berbulan-bulan sudah berlalu. Namun, tidak salah jika berkongsi.

PENGGIAT sastera tersohor Shaharom Husain dianugerah Hadiah Karyawan Sastera Johor 2007 sebagai pengiktirifan terhadap sumbangan besar beliau kepada arena kesusasteraan negeri.

Shaharom, 88, menceburkan diri dalam bidang penulisan ketika remaja lagi dan sedikit demi sedikit menerokai alam kepengarahan drama.

Bakat beliau terserlah melalui pementasan drama “Si Bongkok Tanjung Puteri” pada 1961 yang diiktiraf sebagai paling menarik ketika itu.

Selain “Si Bongkok Tanjung Puteri”, beberapa hikayat Melayu yang beliau arahkan pementasan yang turut mendapat perhatian ialah Tun Fatimah yang dipersembahkan 1948, Laksamana Bentan (1954), Korban Kuala Kubu Karam (1955), Bendahara Tepok (1963) dan Secebis Sejarah Tiga Zaman Raja – Sultan Johor Moden (1966).

Shaharom menerima anugerah daripada Menteri Besar Dato’ Abdul Ghani Othman pada majlis makan malam Hadiah Sastera Darul Ta’zim baru-baru ini.

Hadiah Sastera Darul Ta’zim diwujudkan sebagai penghargaan kepada para penulis dan sasterawan Johor atas sumbangan mereka ke arah mengembangkan bahasa dan sastera. Penganugerahan ini diperkenalkan pada 1996 dengan 19 kategori.

Selain Shaharom, penerima anugerah lain ialah Zaid Akhtar atau nama sebenarnya Mohammad Yazid Abdul Majid yang memenangi Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor.

Guru bahasa di Sekolah Menengah Agama Segamat yang berusia 30 tahun ini mula menulis ketika di Tingkatan Lima lagi dengan karya sulungnya bertajuk “Juara Yang Tewas”.

Karya itu memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1994 yang sekali gus menyemarakkan lagi semangat beliau untuk terus menulis.

Meskipun tidak pernah mengikuti sebarang kursus penulisan secara formal, pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti Yarmouk, Jordan ini telah memenangi pelbagai hadiah sepanjang 13 tahun lepas.

Antaranya termasuklah Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Cerpen Sekolah-sekolah Menengah Malaysia 1994, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 dan Hadiah Sastera Darul Ta’zim 2001.

Hadiah Karyawan Bukan Melayu pula dimenangi Lim Tiam Hion, seorang pendidik di Sekolah Tinggi Segamat.

Meskipun bukan anak jati negeri ini, Lim tidak kekok dengan dunia budaya dan kesusasteraan Johor kerana di sinilah bakatnya bermula lebih 30 tahun dahulu.

Antara hasil karyanya ialah Keranamu Nisah (kumpulan cerpen), Kekasih dan Kenangan Itu (kumpulan puisi) dan Melodi Hidup (kumpulan puisi, Dewan Bahasa dan Pusataka 1989).

Lim sehingga kini aktif dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ), Ikatan Penulis Guru Johor (IPGJ) dan anggota Persatuan Pelayang Johor.

Anugerah Sastera Negeri Sembilan

Semalam, Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007. Saya memetik laporan kecil daripada Ayahanda Latip Talib. Klik {Latip Talib} Tahniah kepada semua penerima anugerah.

Ogos lalu, ketika berada di Malaysia Hadiah Sastera Darul Takzim VI berlangsung di Hotel Selesa, Johor Bahru. Namun, di atas pertembungan program, saya tidak dapat menghadiri.

Kecewa sedikit. Namun, saya masih belajar-belajar erti sabar.

Tambahan :
-Baru merangkak mengenal sastera.

Otai-Otai Lama

Ustaz Rosdie

Ustaz Khaled Salikan

Ustaz Jupri

Dah lama tidak bersua dengan muka-muka abang-abang lama. Pun begitu, sempat menatap wajah Ustaz Irfan dan Ustaz Khalid ketika di Malaysia dahulu. Mereka adalah otai-otai PMRAM dan BKPJM suatu masa dahulu.

Payah menafikan perjuangan dan bantuan orang-orang lama. Tapi, benar juga. Jika tiada orang lama, tiadalah orang baru!

Gambar-gambar ini saya ambil dari laman

Ustaz Irfan

Wednesday, November 14, 2007

Kenangan di Aswara


Saudara Azman Ismail, Pengarang Berita Sastera, Utusan Malaysia

Masih terngiang-ngiang lagi peristiwa yang berlaku di Aswara. Hari ini pula, Saudara Azman Ismail (pengarang berita sastera Utusan Malaysia) menyampaikan input yang berguna kepada pembaca ruangan sastera.

Saya akui, ketika mengikuti program ini, sekurang-kurangnya saya telah mengerti, pengertian Penulisan Cereka walaupun saya masih mentah dan baru. Banyak manfaat yang saya peroleh ketika berada di sana.

Klik untuk membaca laporan berita.

Sasterawan Negara Bukan Sekadar Penulis

Aswara sedia pikul tanggungjawab sastera

Lim Swee Tin khusyuk mendengar Datuk A Samad Said menyampaikan amanat.


Kekadang juga, kita terlalu ghairah mengenali sasterawan negara sendiri. Namun, selepas bertemu sendiri dengan mereka, beliau adalah insan biasa yang punya hati dan budi. Jom pakat-pakat tulis novel dan drama.

Ciplak Karya Orang

Menjarah Kasih

Kasih takkan memurka kasih
bak air di kali
walau deras di hulu
akhirnya tenang jua di bibiran.

Satira kasih
satu hibah suci
yang membawa firman hati
mendayung firman hati
mencari sabda ilahi
lantas pasrah
membungkam rasa resah
takut kasih ditolak lagi.

Ini adalah ayat-ayat puitis Ustaz Hairul Nizam Mat Husain (Presiden PMRAM). Saya kira ia sesuai dijadikan sebuah bait puisi indah. Oleh yang demikian, saya ralit meng 'copy-paste' ayat tersebut lantas menurunkannya di sini.

Jika karya ini dijual, saya akan jual LE 1,000,00.00 untuk pembelian Dana Syaqah PMRAM. Dan, jika karya ini dipertandingkan di Hadiah Sastera Perdana saya kira ia ada tempat.

Tuesday, November 13, 2007

Usah ROGOL saya!!!

Keputusan undian setakat 13 November 2007

Puan Ainon semestinya membenci tajuk ini. Maafkan saya!

Jika ditanya kepada saya, apakah tujuan menerbitkan perkara ini? Saya hanya berseloroh menjawab, sengaja! Benar, saya sengaja meraih populariti disamping ingin mendapat petunjuk suara ramai secara ikhlas.

Dan, hasilnya saya meramalkan hampir 80% pengundi adalah insan yang berada di dalam kepimpinan. Sewajarnyalah mereka mengatakan SAYA HARUS MENERUSKAN KEPIMPINAN AKAN DATANG.

Saya berbasa-basi. Tidak mahu lagi sebenarnya. Walhal, inilah pujukan hati saya. Saya harus berundur untuk sesi mendatang. Saya khuatir, jika saya meneruskannya saya akan melakukan perkara-perkara yang diluar jangkaan.

Bukan ingin lari dari perjuangan berada di dalam PMRAM, tetapi sudah sampai masanya mengalihkan tumpuan kepada bidang sastera. Itu mungkin alasan yang berkarat bagi mereka yang tidak mengenal perjuangan dengan mata pena. Sedari itu, ada pula yang berani-berani minta saya berundur.

Hati tidak menentu. Tidur tidak tetap punggung. Benar! Mungkin air sembahyang telah batal. Tetapi, saya harus menyatakan bahawa saya tidak lagi ingin KEKAL di dalam pentadbiran. Salahkah saya membuat keputusan sendiri? Atau harus mengikut telunjuk mereka yang bersikap ke'biadap'an terhadap diri saya.

Hati kecil membisik kecewa. Kecewa kerana tidak memahami perasaan saya. Dan, saya harus mengaturkan program saya pada tahun mendatang. Pertama, menghadiri kelas-kelas bahasa (berbayar). Kedua, memperkasa KELAP PMRAM selepas dilantik selaku pembantu saudara Mohd Zaki. Ketiga, menguruskan penerbit saya.

Insya-Allah, jika ada rezeki saya akan pulang ke Malaysia lagi tahun mendatang selepas peperiksaan fasal thani (Jun) hingga (November) untuk meneruskan penulisan sastera saya di tanah air. Datuk A Samad Said, Abang Faisal, Kak Nisah sudah tidak sabar menunggu.

Faham, Jujur, Ikhlas.

Menulis Mengikut Tempat

Jika fenomena ini berlaku kepada penulis-penulis baru, perkara ini adalah selayaknya. Penulis baru mungkin belum ada disiplin yang tinggi untuk menulis.

Saya kurang pasti, adakah fenomena ini juga terlimpah kepada diri sendiri. Saya terpaksa akur. Seperti syampu 2 dalam 1. Perlu mengkhatamkan beberapa perkara di dalam satu-satu masa. Saya harus membuat jadual agar masa penulisan saya tidak terbatas.

Usah menggagalkan hasrat saya. Walaupun ada yang sudah berani-berani berbuat demikian. Sinis.

p/s : Sedang menekuni "Beraraklah Awan Pilu" karya Abdul Latip Talib.

JADUAL SAYA

- Siapkan urusan kuliah
- Menyelesaikan masalah ahli
- Menguruskan pentadbiran
- Mengurus peribadi

Monday, November 12, 2007

Pulang Dari Iskandariah

Ripuh memuncak. Ombak mengganas. Penat keruan. Itulah perjalanan yang panjang dari Iskandariah.

Friday, November 09, 2007

Izinkan Aku Jadi Penulis

Saudara Zamri Mohamad penulis buku Cara Mudah Cari Duit Sebagai Penulis Bebas terbitan PTS Publication mengiklankan diri saya di dalam laman webnya. Tiba-tiba ketawa sendiri. Siapalah saya ini.

Capai pautan ini

http://www.zamrimohamad.com/pembaca.html


Moga diizinkan Allah s.w.t tahun 2008 nanti ada buku yang akan terbit di pasaran Malaysia.


Terima Kasih

Kembali

Lapangan Terbang Changi, Singapura telah ditinggalkan. Benar!Pada jam 6.30 petang (waktu Malaysia) saya telah berangkat pulang ke Mesir. Harus meninggalkan sisa-sisa perjalanan yang berada di tanah air. Walaupun kepiluan, hiba, tangis dan tawa yang dirasai namun amanah untuk menuntut ilmu Allah amatlah besar dan utama.

Laksana berperang di medan jihad, semua rentetan perjalanan ini saya akui sedikit tertekan. Tertekan meninggalkan SMK Bandar Baru UDA yang mengajar saya erti mengenal pelajar. Tertekan meninggalkan dunia sastera kerana saya akui cabaran lebih hebat bakal ketemu di Mesir. Dan tertekan meninggalkan sanak-saudara, rakan dan ibu bapa sendiri kerana sudah empat bulan saya menatap mereka.

Pemergian harus dilaksanakan. Yang pergi harus pergi. Yang tinggal, insya-Allah, bakal ketemu lagi suatu ketika nanti.

Changi Airport, Singapore

Terima Kasih Pegawai SIA

Saya kurang pasti berapa kilogram saya bawa ketika menaiki kargo SQ 492 ini. Namun, daripada kelibat mata saya yang sedikit tajam ini, saya sempat mengerling hampir lebih muatan yang saya bawa. Namun, sekalung penghargaan buat pegawai SIA yang membenarkan saya membawa barang lebih muatan.

Tertinggal Pesawat

Sepanjang tiga kali pulang ke Malaysia dan empat kali pulang ke Mesir, inilah kali pertama saya jadi kelam-kabut dan tergesa-gesa menaiki pesawat. Sedari awal, saya kurang pasti perjalanan menaiki pesawat sebenarnya, justeru sengaja saya berlengah-lengah untuk menaiki pesawat.

Namun, apabila ternampak "LAST CALL" barulah hati mula tidak tenteram. Saya meninggalkan keluarga di dalam keadaan terpinga-pinga. Otak hanya memikir, saya harus pulang. Bagi saya, pulang lebih aula kerana takut tertinggal pesawat.

Sesak. Apabila menghampiri kaunter imigresen untuk mengecop pasport sememangnya debar hati hanya Allah yang tahu. Saya kurang pasti bagaimana pucatnya saya ketika itu. Apabila melepasi ruang legar pondok imigresen saya mengenal pasti GATE E11 yang wajar saya dapatkan.

"GATE CLOSED". Itulah ketakutan yang benar-benar saya alami, apabila menyaksikan papan berubah kepada perkataan tersebut. Hati berbisik. Ya Allah, sampaikanlah aku pada pesawat ini. Jarak yang terlalu jauh memaksa saya berlari hampir 1 kilometer untuk ke GATE E11. Aduh! Seketika memikirkan bebanan ini, saya menginsafi diri sendiri. Mungkin salah kerana sengaja melewatkan perjalanan.

Namun, apabila tiba di kawasan kaunter berlepas hati sedikit reda kerana tiada apa yang berlaku. Hanya, paling gelak kecil apabila tali pinggang tertanggal. Ketawa sendirian. Wajah sudah pucat kerana tidak menjamah makan petang sementelah meninggalkan kediaman nenek di Boon Lay Avenue pada jam 3.00 petang.

Hati bergalau. Merundum kecewa sebentar. Namun, segalanya sedikit demi sedikit hilang dengan nafas yang terlalu laju.

Konsep Berubah

Sepanjang saya pulang ke Mesir, fenomena ini adalah kali pertama saya lakukan. Tidak membawa makanan tetapi membawa BUKU. Saya kurang pasti mengapa saya terlalu ghairah menjamah buku-buku daripada makanan. Biarlah orang mengatakan saya kurus kerana tidak makan. Tetapi saya tidak kurus ilmu kerana saya membaca.

Tahniah buat diri sendiri yang berjaya membawa hampir 20 kilogram buku-buku yang berkisar fiksyen/novel/buku ilmiah/kepimpinan dan majalah. Hampir-hampir saya tenggelam dengan buku-buku tersebut. Namun, sekurang-kurangnya ini peluang saya membaca. Jika tidak, peluang ini akan lenyap berdikit-dikit.

Mesir Masih Serupa

Hari pertama saya berada di Mesir, saya telah singgah ke destinasi pilihan. Pejabat PMRAM. Asrama Pelajar Johor. Menaiki bas 995. Membeli sim card baru. Rata-ratanya masih serupa walaupun ada beberapa perubahan dari segi pembangunan infrastuktur di kawasan kediaman saya.

Bilik masih belum kemas rapi. Saya harus bekerja semampu saya. Doakan kejayaan ini.

Tuesday, November 06, 2007

Bau Debu



Tidak pasti
bau masam
atau
yang mengitari rongga.

Yang dilihat
dan dirasa
bau angin baru.

Wah!
Masam rupanya
dan kelat
tapi
ini sebuah rahsia...

Ketika menghampiri
terlekat bau itu
pada ronggaku.

Syafiq Zulakifli
J.Bahru, 7 November 2007
1.58 a.m.

Ceritera di ASWARA

Seminar Penulisan Cereka 2007 yang berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah melabuhkan tirainya. Mungkin terlalu asing saya perturunkannya di dalam catatan blog ini kerana ianya akan melibatkan 99% bicara saya berkaitan sastera.

Walhal saya menyedari bahawa pembaca blog ini rata-ratanya bukanlah orang sastera. Namun, saya perlu lontarkan jua apa yang saya peroleh sepanjang berada di sana.

Matang di dalam berhujah. Idea yang realistik. Pendapat yang menggugah. Itulah kesimpulan awal yang dapat saya rangkumkan.

i
Pesanan ini untuk mereka orang sastera di Malaysia yang tidak hadir ke ASWARA

Jika anda pecinta penulisan cerpen dan novel tetapi tidak menghadiri, mimpilah anda untuk menjadi seorang penulis yang hebat. Kerana, mereka yang hadir bukan insan terbuang. Dan anda telah meletakkan kehebatan insan ini di celah-celah bulu hidung anda. Mungkin sinis dan pedas. Tetapi saya amat memarahi kepada penulis-penulis muda hari ini sepanjang berada di ASWARA.

ii
Pesanan ini untuk insan yang sudah matang dengan sastera tetapi bodoh

Jika anda sudah terkenal pun, tidak salah duduk lama di dalam ASWARA. Masakan tidak. S. Othman Kelantan dan A. Samad Said pun boleh duduk di atas kerusi selama dua hari, mengapa anda yang belum di anugerahkan Sasterawan Negara ringan punggungnya untuk pulang.

Saya tidak marah jika anda marah.

iii
Pesanan ini untuk insan yang tidak mendapat maklumat tentang program

Jika anda peminat setia sastera, mengapa tidak anda melayari semua laman web terkini atau membaca akhbar tempatan. Namun, yang dilihat anda hanyalah bermimpi-mimpi dalam khayalan indah.

iv
Pesanan ini untuk kawan-kawan sastera di Mesir

Mungkin ada sesuatu untuk anda. Nantikan saja.

Saya perlu memberikan sesuatu analogi ini sebelum bercerita lebih lanjut. Mengapa? Dendam makin membara. Marah terus bermaharajalela dalam diri. Terkenangkan insan-insan yang tuli dalam sastera sendiri. Jika anda mahukan isteri yang baik akhlak dan budinya tentunya anda akan mengajarnya dengan baik, mendidik dan membimbing ke arah kebaikan. Betul?

Jadi, mengapa anda tidak lakukan pada sastera?

Saya tidak harus berleter kepada semua. Saya harus teruskan apa yang saya tahu. Sepanjang program berlangsung, ada drama-drama yang saya lihat tidak wajar dipertontonkan. Namun, di dalam seminar kritikan itu harus.

M berpendapat, si F menulis tidak mengikut teori sastera. Dan F berkata, ini cara saya. Namun
M berpendapat bahawa penulisan yang tiada teori adalah gagal. Perkara kecil, usah dibangkitkan.
Cikgu Azizi yang ramah orangnya

Hari kedua seisi dewan menggugah rasa apabila Azizi Hj Abdullah mengisi ruang pentas. Jika beliau tidak mengharukan keadaan, bukanlah dinamakan orang utara. Walaupun Puan Ainon sedikit sebanyak menegur kalam Azizi yang dilihat tidak syariah.

Benar! Sebagai seorang pengarah syarikat penerbitan, beliau memastikan kehendak penulisnya haruslah mengikut syariah. Itu teori Puan Ainon.

Apabila orang muda di pentas. Dari kiri, Nisah Haron, Faisal Tehrani , Mawar Shafie

Bagaimana pula dengan anak-anak muda seperti Nisah Hj Haron, Faisal Tehrani, Dr. Mawar Shafie, Salina Ibrahim, SM Zakir, dan lain-lain?

Mereka orang muda ada cara tersendiri. Berhujah dan terus berhujah atas dasar pemikiran yang kreatif dan kritis. Wajar saya tidak melanjutkan ceritera ini kerana ingin memberi laluan kepada kalian bertanya nanti (orang Mesir).


Sunday, November 04, 2007

Bersama A Samad Said

Terima Kasih Pak Samad

Sebelum saya meneruskan bicara, kredit wajar saya berikan kepada insan-insan di bawah sepanjang saya di ASWARA, Kuala Lumpur.

1) Firdaus Ariff , mahasiswa IIUM yang merupakan penulis muda yang berbakat besar di dalam penulisan karya sains dan paling banyak membantu saya sepanjang di ASWARA.
http://www.flickr.com/photos/ibnu_ariff/tags/aswara/

2) Abang Faisal Tehrani dan Kak Nisah Haron, penulis muda yang disegani kerana masih mengingati saya ketika berada di ASWARA. (Mereka yang tegur saya lebih dahulu)

3) Ustaz Azman Ahmad (Ibnu Ahmad Al-Kurauwi), ustaz DBP yang mudah mesra dengan beliau.

4) Pak Samad yang sudi bergambar dengan saya lantas menurunkan tandatangan pada karya "Rindu Ibu" yang telah saya miliki.

5) Abang Hisham (pensyarah UDM) yang memberikan peluang saya berkenalan dengan dunia Bahasa Inggeris.

6) Puan Ainon Mohd, Sifu Besar PTS Publication Sdn. Bhd. yang telah memberikan saya sesuatu di dalam dunia penulisan ini.

7) Kak Zaliza Maz, penulis novel yang sudi menghulurkan bantuan kepada PMRAM.

8) Abang Nazmi Yaakub, otai Berita Harian yang sememangnya prolifik sebagai wartawan sastera.

9) Dan...semua insan-insan yang telah saya kenali sepanjang berada di ASWARA termasuklah Abdul Rauf (mantan MPR), Zamir (mahasiswa IPT Ipoh), dan banyak lagi.

Saya tidak dapat menyenaraikan kenalan saya di ASWARA dengan baik. Namun, saya yakin pastinya ASWARA telah memperkenalkan saya dengan insan-insan yang hanya didengari daripada corong radio dan televisyen sahaja. Dan, bukan calang-calang insan yang memenuhi Dewan Utama ASWARA ini.

Selama dua hari berseminar, saya amat yakin ilmu yang saya peroleh bukan sedikit. Malah, sebagai penulis muda yang baru bertapak saya harus memahami segalanya dengan baik.

Insya-Allah, kesempatan yang lain saya akan berbicara tentang seminar tersebut.

p/s: Mahu dengar Manasikana dan Faisal Tehrani berdebat kecil? Ingin ketahui bagaimana Azizi Hj Abdullah yang kelakar orangnya? Nantikan selepas ini...