Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Thursday, August 30, 2007

Don't Judge The Book By It's Cover

Beberapa hari yang lalu, saya membeli Majalah I Keluaran September 2007. Latar belakangnya berkonsepkan wajah artis terkenal Wardina Safiyyah. Siapa yang tidak kenal watak anggun wanita ini mengacarakan Wanita Hari Ini di TV3. Namun, bukanlah itu menjadi topik perbualan saya hari ini.

Majalah yang dikendalikan oleh Saudara Ahmad Yani Abd. Manaf ini telah lama di dalam pasaran. Seingat saya, ketika tahun 2003 atau 2004 saya diperkenalkan dengan majalah ini. Itupun ayah yang mula dapatkannya di kedai buku. Namun, setelah bersiri-siri keluarannya, saya melihat Majalah I mempunyai daya tarikan tersendiri. Menghimpunkan risalah-risalah ilmiah agama untuk keperluan masyarakat hari ini.

Ketika membaca majalah keluaran ke 59 ini, saya pada mulanya hanya membaca sekali lalu. Membelek tajuk-tajuk yang menarik adalah menjadi pilihan utama, selepas itu barulah saya menghayati satu persatu pengisian yang terkandung di dalamnya.

Sementelah beberapa hari saya menatapnya, terpandang saya pada ruangan Tegas Bernas yang ditulis oleh Dr. Asri Zainal Abidin, Mufti Kerajaan Perlis pada bulan ini. Mengapa saya tidak memilih karya beliau sejak dari awal? Mungkin terlalu taksub kepada pandangan sesetengah orang yang menafikan tulisan Dr. Asri di dalam beberapa siri penulisannya sebelum ini memaksa saya meninggalkan karya beliau.

Mungkin kesilapan saya itu perlu diubah. Pandangan saya perlu ditajamkan lebih lagi. Mungkinkah saya tersilap mentafsir? Entah!

"Zakat Berbaki Atau Kita Kurang Bijak Membahagi". Jika anda semua belajar dengan Faisal Tehrani, di dalam bengkel penulisan novel, ada suatu perkataan yang disebut satira. Satira pula terbahagi kepada dua, iaitu horatia dan juvenalia. Kalau mahu bacakan novel satira horatia lihat sahaja pada "Advencer Si Peniup Ney" dan yang terbaru "Tuhan Manusia". Namun, dengan mudah saya mengkelaskan karya judul ini adalah seperti satira juvenalia.

Kritikan dan sikap tegas bernas di dalam ruangan ini memaksa saya mengkhatamkan bacaan saya untuk beberapa minit. Cukup ampuh isinya. Cukup masak dan ranum hasil karyanya. Mungkin juga menyucuk-nyucuk hidung kepada mereka yang bertanggungjawabnya. Atau tertimbul ulat-ulat air di punggung kepada mereka yang wajar dipertanggungjawabkan.

Beberapa ketika, saya terfikir bahawa dahsyatnya sistem pentadbiran zakat pada hari ini. Mengapa mereka yang layak menerima zakat tidak mendapat hak yang sewajarnya.

لِلْفُقَرَاء الَّذِينَ أُحصِرُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ

لاَ يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ

الْجَاهِلُ أَغْنِيَاء مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ

لاَ يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا وَمَا تُنفِقُواْ مِنْ خَيْرٍ

فَإِنَّ اللّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Surah A-Baqarah ayat 273

Nilai Seorang Editor

"Apabila saudara menghubungi editor, perkenalkan diri saudara sebagai penulis bebas. Saudara mungkin pelajar dari mana-mana kolej ataupun universiti, tetapi perkenalkan diri saudara sebagai penulis bebas. Tujuan menghubunginya mungkin dengan sebab yang pelbagai, sama ada mahu membincangkan berkaitan artikel-artikel yang hendak saudara hasilkan dan menyerahkan kepada pihak majalah, perkara-perkara yang saudara mahukan sebagai panduan bagi memudahkan penerimaan editor pada artikel-artikel saudara ataupun apa sahaja yang berkaitan."

(Dipetik daripada Buku Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas)

Petang tadi saya dihubungi oleh Kak Shahriza Sidin, Editor Majalah Fokus SPM. Teringat saya beberapa bulan yang lalu, dapat berhubungan dengan beliau hanya menggunakan khidmat emel. Alhamdulillah, setelah beberapa lama terputus talian, dapat juga kami berbual bersama.

Justeru disebalik itu, kejayaan seorang editor bukanlah suatu tugas yang mudah. Bermula dari menghasilkan karya, mengedit karya, dan akhir sekali menyuntingnya merupakan perkara yang boleh dianggap rumit. Namun, inilah tanggungjawab yang harus digalas oleh seorang editor.

Berlatar pendidikan agama, saya lebih menjurus ke arah dua bidang utama. Menulis untuk ruangan agama, selain daripada ruangan undang-undang keluarga. Beberapa ketika, saya latih diri untuk memahami perjalanan sastera tanah air atau mudah disebut Kesusasteraan Melayu. Insya-Allah, jika diberi kekuatan, saya akan teruskan di dalam bidang ini.



Tuesday, August 28, 2007

Sebuah Tali Perjuangan


Tahniah dan Takziah kepada saf kepimpinan Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir bagi sesi 2007/08. Teruskan usaha. Lipat gandakan tenaga. Walau berapa tahun pun kalian berada di dalam kepimpinan, yang penting usaha dan amanah perlu diteruskan bagi melahirkan modal insan yang berwawasan. Peh! Modal insan tu.. Macam kempen Islam Hadhari pulak..Biasalah selepas mengajar kat sekolah kerajaan ni, kena kempenlah....

Terima kasih kepada anda yang sanggup menggalas beban ini. Bukan mudah menyatakan hak walau ianya sebuah yang amat pahit. Lakukanlah tugas dengan baik yer.. Saya balik lambat lagi... Insya-Allah ada masa kita jumpa. Kalau tidak kita conference je ok.. Bye bye
Wassalam



Saturday, August 25, 2007

Kuasa penyiasat syariah negeri terhad


Saya mahu kalian membaca. Sebab itu kemalasan saya hari ini disajikan dengan hanya men "copy" dan "paste" kan saja maklumat daripada sumber lain. Namun, saya bukan mahu kalian lihat sikap saya yang pemalas, tetapi lihatlah kerajinan saya untuk membantu kalian membaca ilmu-ilmu fardhu kifayah ini.

Sementelah itu, beberapa jam yang lepas Kumpulan nasyid Inteam telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Membantu PMRAM untuk mengadakan Konsert Amal Dana Apartment, sumbangan mereka amat dihargai.

Apapun, semoga terus berjaya dalam apa lapangan sekalipun.

Semalam, carta Nasyid IKIM.fm menyaksikan Azimat Ibunda (Fareast) mengungguli carta. Tahniah diucapkan buat Ustaz Nabil dan gengnya.

Petikan Berita Harian (Sabtu, 25 Ogos 2007)


Kuasa penyiasat syariah negeri terhad


PERINCIAN peruntukan berkaitan penguatkuasaan, bidang kuasa penyiasat dalam sesuatu kes dan hukuman perlu disemak bagi memastikan kedudukan undang-undang jenayah syariah dilaksanakan dengan lebih berkesan.


Penolong Prof, Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Shamrahayu A Aziz, berkata ia bermakna kuasa penyiasatan termasuk kuasa memanggil saksi atau menangkap orang disyaki adalah terhad kepada persempadanan negeri.


Katanya, semua kepincangan itu diluahkan Tokoh Perundangan Negara, Prof Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim sehingga beliau pernah mencadangkan supaya diadakan penambahbaikan proses penguatkuasaan undang-undang jenayah di negara ini.


Ahmad juga pernah mencadangkan supaya penghakiman dibuat di mahkamah syariah sesebuah negeri boleh dikuatkuasakan di negeri lain.


“Prof Ahmad berpendapat peruntukan dalam undang-undang prosedur jenayah tidak lengkap. Contohnya, Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, tidak mempunyai borang penting seperti borang sapina saksi dan borang jaminan.


“Walaupun peruntukan berkaitan kedua-dua perkara itu ada dengan jelas dalam peruntukan akta terbabit, tetapi ada kepincangan. Ia menunjukkan penguatkuasaan, peraturan atau prosedur itu tidak jelas dan terperinci,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Ahmad Ibrahim dan Isu Berkaitan Penguatkuasaan Jenayah Syariah, baru-baru ini.


Beliau berkata, masalah dan penguatkuasaan undang-undang jenayah boleh dikaitkan dengan sistem pentadbiran. Sebagai contoh, pejabat Ketua Pendakwa Syarie iaitu orang yang mempunyai kuasa kawalan dan arahan ke atas segala prosiding jenayah diletakkan menerusi Pengarah Jabatan Agama dan kedudukannya adalah sama dengan pengarah lain.


Keadaan itu, katanya, boleh menimbulkan persoalan dari segi kebebasan Ketua Pendakwa Syarie dalam membuat keputusan berkaitan pendakwaan. Dengan kata lain, ia mungkin menyebabkan campur tangan pentadbiran dan boleh menyulitkan penguatkuasaan dan pendakwaan.


Shamrahayu berkata, Ahmad juga mengakui kedudukan mahkamah syariah direndahkan dan dipinggirkan British sehingga menjadi mahkamah paling bawah hierarki dalam sistem keadilan sesama pentadbiran penjajah.


Katanya, bidang kuasa mahkamah syariah dikikis dan keperluan infrastruktur diabaikan.


Namun selepas merdeka, Perlembagaan Malaysia meletakkan mahkamah syariah menerusi bidang kuasa negeri kecuali Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.


“Oleh itu, kedudukan mahkamah syariah boleh dikatakan menduduki tempat selari dengan mahkamah sivil.


“Prof Ahmad adalah antara mereka yang bertanggungjawab membawa pembaharuan termasuk penggubalan undang-undang prosedur, jenayah dan sivil serta undang-undang keterangan syariah,” katanya.


Dalam beberapa tulisannya, Ahmad pernah menyuarakan orang Islam di Malaysia harus menerima Islam sebagai satu cara hidup dan perlu yakin hukum Islam yang diasaskan kepada al-Quran adalah undang-undang sebaiknya yang perlu ditadbirkan di negara ini.


Thursday, August 23, 2007

Bisik - Bisik Perundangan


Pada amnya, sistem mahkamah di Malaysia dijalankan dalam dua bentuk, iaitu Mahkamah Negara (secular) dan Mahkamah Syariah (agama). Kedua-dua bentuk mahkamah ini menggunakan bidang kuasa mereka secara sepenuhnya tetapi kedudukan Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Sekular. (Kedudukan Undang-Undang Islam Dalam Perlembagaan Malaysia: Hamid Jusoh)


Akhbar hari ini terpampang kisah perundangan negara. Undang-Undang Syariah telah diterima secara umum? Kalau ianya benar, saya menyusun jari menadah tangan menerimanya dengan hati yang terbuka. Namun, beberapa perhatian dan permerhatian perlu dilakukan agar ianya tidak hanya meniti dibibir semata-mata.


Dapatkan maklumat lanjut dalam Utusan Malaysia hari ini.


Berkias


Kalau berladang menanam keladi,
Keladi di bawa ke tanah seberang;
Kalau dagang pandai berbudi,
Sampai mati dikenang orang.

Saturday, August 18, 2007

Sepoi-Sepoi Bahasa Yang Biadab


Mungkinkah Ishaq Hanis dan Elyeen meratapi perjuangan bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka seperti saya?

Minggu ini saya kurang berinteraksi. Entah. Mungkin malas membelenggu diri. Sementelah merantau menghabiskan sisa-sisa cuti di bumi sendiri, terkadang rasa mengelamun seorang tanpa ditemani.

Mungkin rindu berpanjangan. Tatkala perpisahan yang tidak diduga itu bertandang, lantas memaksa saya berada di dalam alam khayalan sehingga sekarang.

PMRAM. Nama yang sinonim dengan saya. Ucapkanlah apa jua, namun jika disebut PMRAM pasti ada yang menoleh ke arah saya. Barangkali itulah rencam kehidupan. Jika tidak, masakan saya boleh teriak kerana mendengar namanya, PMRAM.

Sesekali, cuba dibayangi erti kasih yang tidak pernah putus. Hati yang bergalau ini, terus dirundum rasa takut. Takut kalau-kalau saya punca segalanya. Namun, itu semua hanya bayangan yang tiada kesudahan.

Minggu terakhir persekolahan ini mengajar saya erti sabar. Telatah anak-anak yang masih lagi belum tahu erti beradab. Bukan pada saya, pada guru-guru yang lain. Beberapa orang guru mengadu mereka diherdik oleh anak-anak murid. Sungguh, saya tercabar mendengarnya. Adakah ini anak didikan yang tidak diajar nilai akhlak?

Hakikat ini benar-benar menguji jiwa dan perasaan. Beberapa kali saya juga hampir tewas oleh kenakalan anak-anak manja. Namun, usai saya tabah dan akur dengan pendirian mereka, saya terus tegak mempertahankannya.

Pengetua, berulang-ulang kali mengingatkan kami untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Namun, jika ini yang disuakan pada kami, tidak mampu kami uar-uarkan mereka anak-anak kami.

Ini rencam dan fenomena hari ini. Semalam, saya menegur beberapa orang pelajar yang makan gula-gula meragukan. Saya yakin, itu bukanlah halal. Tapi, ada pula yang menafikannya lantas mendakwa saya hanya berbual kosong. Sudah letih saya mengingatkan mereka.

Paling saya menyesal, selepas jam 6.45 petang semalam, ketika semua pelajar sudah mula bergerak pulang ke rumah masing-masing, saya terserempak dengan anak-anak saya yang sedang berciuman. Oh! Sungguh biadab. Mahu saja saya tempeleng mereka berdua. Namun, atas dasar tidak mahu menyusahkan guru disiplin kerana sudah lewat senja, niat itu saya tangguhkan. Tapi, saya mahu uar-uarkan pada mereka nanti setelah sekolah bermula semula minggu hadapan.

Saya tidak sangka, watak baik di dalam kelas mengundang luka amat parah dihati. Remuk hati saya. Namun, kalau tidak kena pelempang ajar, mereka mungkin akan terus lagi biadab.

Saya amat kecewa.

Monday, August 13, 2007

Surat Untuk Sahabat


Kak Nisah mengajar erti perundangan dalam penulisan

Abang Faisal bersama penulis-penulis luar negara



Sahabat,

Sewajarnya, coretan ini saya titipkan minggu lalu. Empat hari bermukim di Kuala Lumpur merupakan pengalaman indah saya dan beberapa orang rakan seperjuangan seperti Mohd Zaki, Elyeen, Ishaq Hanis, Fahd Razy, dan Muiez (lobam). Berhadapan dengan tokoh-tokoh sastera tanah air seperti Bonda Zaharah Nawawi, Abang Faisal Tehrani, Kak Nisah dan beberapa orang lagi merupakan pengalaman yang cukup mematangkan diri.

Dunia penulisan berputar dipaksinya. Tiada siapa yang memaksa saya berada di dalam kampus ini. Dahulu, seni suara dalam kumpulan sastera saya latihkan. Benar! Ia bukan jalan singkat. Sembilan tahun saya membentukkannya. Perjalanan ini yang mengajar saya erti kesabaran.

Sahabat,

Lama sudah merenung jauh ke dalam dunia seni suara, saya cuba meneroka alam penulisan. Dunia ini sebenarnya lagi mencabar. Berbekalkan disiplin, semangat, bakat, kebolehan dan kekuatan yang menebal di dalam diri, saya garapinya dengan baik.

Lelah diri ini merantau. Sejujurnya, saya tidak reda diri ini berada di dalam kampus ini pada awalnya. Namun, semua itu mengajar saya erti perjuangan mata pena yang perlu dipertahankan. Mengapa suara kita selaku generasi muda tenggelam timbul akhir-akhir ini. Kasus kita suram dek kemuraman sikap pemimpin duniawi.

Sahabat,

Saya sudah ranum mengenal erti perjuangan. Saya juga kaget dengan beberapa tokoh sastera yang amat lantang di dalam berhujah. Lihatlah pada Saudara Azizi Abdullah yang mempunyai pendirian tersendiri, hatta Faisal Tehrani yang mula menapak nama akhir-akhir ini pun sudah menunjukkan belangnya.

Sahabat,

Kita perlu belajar erti pengalaman hidup dengan menulis. Benar, susur galur hidup kita harus diatur lurus. Penuh mustakim. Jangan berundur lagi. Coretan bahasa dan sastera kita harus didengari oleh rakyat tempatan. Jangan sia-siakan peluang yang ada. Menulislah dari sekarang.

Sahabat,

Kini, saya sedang mengajar anak-anak saya erti kaya-raya. Bukan saya tawarkan mereka dengan Skim Cepat Kaya. Tapi, saya asuh mereka menulislah untuk menjadi seorang yang bijak lantas mendapat sedikit wang poket hasil daripada penulisan. Benar, jika itulah jalan terbaiknya, mengapa harus kita duduk sahaja.

Sahabat,

Sebagai penutup, saya bukan berlantang kosong. Mungkin, saya tidak sehebat mereka dan sahabat sekalian. Tetapi saya sudah berada di landasannya.


http://typeace.blogspot.com

Thursday, August 09, 2007

Coretan Panjang (Tanjang)


"Salam. awak apa khabar? Dukacita dimaklumkan. Adinda bawak 3 madah.tafsir,quran dan muqaran untuk tahun 3.mnkala utk tahaluf,adinda bawa quran shj."

Inilah pesanan ringkas(SMS) pertama yang saya terima menyatakan keputusan peperiksaan saya. Ketika itu, saya baru 12 jam tiba di Kuala Lumpur. Sungguh, ia tidak dijangka. Mengharapkan kegembiraan untuk bersama-sama ketika program sastera di Kuala Lumpur dengan aman, berubah menjadi galau yang tidak menentu. Tidak keruan. Pandang kanan salah, pandang kiri lebih-lebih rasa bersalah.

Ya! Salah pada kedua orang tua sendiri. Hati berkecamuk ketika itu. Sukar untuk mempercayainya. Tapi itulah natijahnya. Serebrum dan serebelum saya berfungsi laju. Bersama-sama medula oblongata yang mencernakan pergerakan saraf, saya buntu. Mahu saja, diri ini dibuang jauh-jauh. Tapi saya yakin Allah masih ada.

Waktu itu juga, saya masih mampu mengukir senyum. Walau pahit di hati, tetapi saya masih boleh berdiri melihat bandaraya Kuala Lumpur yang tersergam dek anak-anak betina yang berpeleseran.

Hati sudah nekad. Mesir saya akan tinggalkan. Keluarga saya maklumkan. Beberapa rakan juga saya telah unjukkan khidmat pesanan ringkas itu. Cukup memalukan. Lebih-lebih lagi saya seorang pemimpin. Pemimpin sebagai contoh. Bukan sekadar cakap di mulut sahaja.

Entah! Memang saat mendukacitakan. Namun, boleh dikawal. Semasa program Bengkel Penulisan Karyawan Muda Luar Negara di Hotel Mandarin Court, Kuala Lumpur, tumpuan saya tidak hilang. Saya masih lagi dapat memfokuskan segalanya. Mungkin tidak mahu berfikir lama. Atau sudah gembira dengan keputusan yang dilakukan sendiri.

Sebetulnya, ibu bapa saya menyalahkan penglibatan saya dalam persatuan. Saya sanggah. Itu bukan satu hujuman tidak bertempat. Saya tidak suka membabitkan natijah dengan persatuan. Persatuan yang banyak membantu saya. Bukan salah mereka. Malah, kerana persatuan saya tahu cara makan, faham cara berkenal dan mampu berfikir secara kreatif sebagaimana hari ini.

Benar! Saya boleh coretkan kronologi peperiksaan saya. Saya juga sudah meramal bahawa saya akan gagal lebih awal daripada kalian. Tapi perhitungan saya meleset. Saya jangka untuk fasal thani sahaja. Tapi, merebak satu madah di fasal awal. Mendukacitakan. Segala yang dirancang tidak menjadi.

Sememangnya, saya berhajat menunaikan haji pada tahun ini. Mengumpul sedikit wang di Malaysia untuk mendapatkan cagaran awal. Segalanya tidak dirancang. Namun, itulah perjalanan mustakim Ilahi.

Sejujurnya, madah tafsir merupakan madah yang paling saya tidak jangka untuk gagal. Saya sudah lakukan yang terbaik. Saya mengkaji setiap ayat. Seingat saya, Surah Al-An'am ayat 1 menjadi pertaruhan soalan peperiksaan. Saya tahu apa yang saya jawab di atas kertas. Saya yakin saya boleh lulus walau sekadar jayyid. Tapi meleset. Saya tidak dapat berbuat apa. Itu natijahnya.

Madah feqh muqaran pula saya sudah ramal selepas saya mendudukinya. Ketika itu, saya amat kecewa. Soalan yang keluar semua, saya tidak tahu apa jawapannya. Malah, buku nota yang saya baca, saya tidak nampak di mana jawapannya. Langsung. Hitam, gelap. Saya cuba cari jawapan, tetapi tewas. Keluar dari dewan peperiksaan, saya sudah dapat meramal. Saya akan gagal untuk madah ini. Tak pe la.... dapat manqul pun ok. Hati mengetus.

Untuk madah al-Quran tahun 3 dan tahun 2, saya sudah menjangkakan sebelum masuk ke dewan peperiksaan dan dewan syafawi lagi. Saya tahu apa yang saya jawab. Waktu itu, saya benar tidak menghafaz. Langsung, doktor pun bertanya, "Awak nak juzuk berapa?" Seraya saya mengatakan saya hanya ingat juzuk 3 dan 4.

Doktor memberikan peluang saya menjawab soalannya itu. Ya! Saya hanya dapat beberapa soalan sahaja, walau tersekat-sekat pada awalnya. Kronologinya amat mudah. Saya sudah menjangkakan saya akan tewas, tetapi percaturan saya salah. Saya sudah silap langkah. Yang diramal semua tidak menjadi.

Beberapa hari, saya cuba dapatkan keputusan lengkap daripada seorang rakan di Mesir, hasilnya keputusan saya seperti ini :-

Manhaj Dakwah MUMTAZ
Ahwal Syaksiah JAYYID
Tafsir DHAIF JIDDAN
Bahasa Inggeris JAYYID JIDDAN
Bahasa Arab JAYYID
Hadis Ahkam JAYYID
Feqh Muqaran DHAIF JIDDAN
Feqh JAYYID
Usul Feqh MAQBUL
Qadaya JAYYID
Quran DHAIF JIDDAN
Bahas MAQBUL

Tahun 2

Quran DHAIF JIDDAN
Bahas NAJAH

Selepas mendapat tahu inilah natijahnya, saya tertonggeng. Ya! Percaturan yang amat salah. Jika tidak semestinya saya menggondol JAYYID pada tahun ini. Tetapi madah-madah lain ada yang mencari pasal. Saya yakin, saya boleh lakukan. Selepas berfikir panjang, saya buat keputusan saya akan pulang semula ke Mesir untuk melengkapkan keseluruhan keputusan peperiksaan untuk memastikan saya layak mendapat JAYYID atau JAYYID JIDDAN tahun hadapan. Itu harapan besar saya.

Hari ini hari Kemerdekaan buat negara Singapura (09/08/2007). Dan, mulai hari ini juga saya sudah bertekad, saya akan lakukan sesuatu perubahan.

p/s : Coretan ke Kuala Lumpur boleh dapatkan di http://gkln.blogspot.com

Saturday, August 04, 2007

Sebuah Kisah Yang Tidak Di Duga


Koleksi Gambar Peribadi
Dari Kiri : Khusaini, Fadhil, Firdaus (Wak) , Saya, Razis(Ajis) dan Zaidi (Edi)

Saya tidak tahu mengapa saya harus bercerita dan memulakan kisah ini. Hari ini adalah sejarah bagi saya. Benar! Ia sebuah sejarah yang tidak dijangka. Awal Subuh lagi saya mendapat panggilan daripada seorang rakan. Beliau mengatakan beliau adalah sahabat saya ketika di Maahad Johor dahulu.

Saya termangu seketika. Sudah 4 tahun saya meninggalkan Maahad Johor, namun ada yang masih mengenali saya. Wah! Saya sungguh terharu ketika itu. Walau di dalam kelam-kelam samar pada waktu Subuh kerana saya baru sahaja mencelikkan mata, tetapi saya tetap gagah melayan beliau.

Petang pula, saya mendapat panggilan daripada seorang rakan (Razis Azmi) rakan sebilik ketika di Maahad Johor dahulu. Memang tepat pada ketikanya. Walaupun saya hanya mengenali mereka hanya beberapa bulan, namun mereka masih mengingati saya. Saya terharu ketika itu. Dapat berbual dengan Ajis ketika itu membuatkan saya teruja seketika.

Ini sebuah kisah benar. Sejujurnya, saya tidak rapat dengan rakan-rakan di Maahad Johor kerana terlampau singkat waktu kami untuk bersama. Saya ketika itu lebih rapat dengan rakan- rakan sesekolah sendiri ketika di Kluang. Namun, inilah berkat persahabatan. Jika kita berpisah hari ini, kita akan bertemu juga satu masa nanti.

Justeru, mulai hari ini saya menanam tekad untuk mencari sahabat-sahabat saya yang pernah mengenali saya semenjak sekolah rendah lagi. Walaupun "friendster" saya sudah jejaki, tetapi ianya masih belum cukup lagi.

Kisah ini saya akan rakamkan dalam diari saya. Ianya sungguh tidak dijangka. Kita rupanya sama-sama berjaya.

Satu kesimpulan yang saya boleh buat adalah, hidup ini hendaklah bersahabat dan aktifkan diri kita dengan hidup bermasyarakat. Mereka menghubungi saya pun kerana dapat jejaki nombor telefon saya dengan seorang sahabat baru saya, Yusri di Masjid Jamek BBU.




Pengumuman

IKLAN UMUM

Sebelum saya melangkah kaki meninggalkan bandaraya Johor Bahru untuk beberapa hari, saya perlu menyatakan sesuatu kepada kalian supaya ianya tidak terlewat. Namun, jika saya masih berkesempatan untuk bertemu dengan kalian selepas ini (baca : jika saya dapat bertemu cyber cafe di Kuala Lumpur nanti) maka tiada masalah.

Semua ahli Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) sama ada pulang bercuti atau sudah tamat pengajian, dijemput menghadiri "Sambutan 10 Tahun Masjid Jamek Bandar Baru UDA" yang akan diadakan seperti ketetapan berikut :

Hari : Sabtu dan Ahad
Tarikh : 11 dan 12 Ogos 2007
Tempat : Masjid Jamek Bandar Baru UDA, Johor Bahru

Untuk makluman, ini adalah program Bakti Siswa Mahasiswa Johor di Mesir kepada masyarakat khususnya di Bandar Baru UDA.

Justeru, kalian dijemput untuk hadir awak iaitu pada Hari Jumaat (10 Ogos) pada jam 8.00 malam untuk taklimat bersama Ketua Urusetia yang akan dimaklumkan nanti. Sebarang kemusykilan, bolehlah berhubung terus kepada :

Ustaz Muhamad Firdaus Sulaiman ( 013-7422957) - TYDP BKPJM
Ustaz Syafiq Zulakifli (012-7351860)

Sekian, Wassalam

Thursday, August 02, 2007

Bicara Sastera


Oleh : Syafiq Zulakifli

Abdul Samad Muhammad Said atau dikenali dengan nama penanya A Samad Said adalah salah seorang pejuang sastera yang masih hidup hingga ke hari ini. Zaman pemberontakan, penjajahan dan keperitan yang dialami oleh beliau seringkali dirakamkan melalui novelnya. Antaranya Hujan Pagi dan Salina yang mengisahkan babak di dalam zaman penjajahan. Selain itu, Di Hadapan Pulau yang merupakan novel terpilih melalui pembelajaran Komponen Berasaskan Sastera (KOMSAS) telah mula dikaji semenjak tahun 2000 lagi.


Seni kepengarangan yang ditunjukkan oleh A Samad Said merupakan lakaran sejarah yang amat panjang. Realiti peristiwa dan kebabakan yang ditunjukkan oleh beliau menampakkan bahawa penulisan beliau bukan sekadar khalayan. Di sebalik nilai yang ditunjukkan oleh beliau melalui penulisannya, pembaca pastinya terpegun terhadap simbolik-simbolik perkataan yang disiratkan.


Cukuplah kita membaca puisi-puisi beliau yang amat tajam panahnya. Nilai kesusasteraan yang dipilih merupakan suatu jalan cerita yang amat luas. Justeru, tidak hairanlah mengapa A Samad diangkat sebagai Sasterawan Negara Malaysia pada tahun 1985.


Kehadirannya ke dunia sastera membawa perubahan sehingga kini. Penampilan diri yang ditunjukkannya mencerminkan dialah A Samad Said dari jarak yang jauh.


Siapa yang tidak kenal watak anak lelaki yang bermisai dan berjanggut putih itu. Liuk lentuk suara merdunya amat dikenali. Bukan itu sahaja, lihat sahaja pada seni dan teknik penulisannya yang jarang-jarang kita lihat ianya terlalu ringan.


Bahasa yang puitis dan olahan kreatif menjadikan beliau amat peka walau berada di mana-mana sudut.


Hari ini, Malaysia telah mengenali A Samad Said. Sumbangan terhadap perjuangan bangsa dan agama seharusnya dipandang tinggi oleh kita selaku warga hari ini. Tampil memberikan suatu yang baharu kepada masyarakat dan mengketengahkan polemik – polemik isu yang rencam menjadikan beliau masih dikagumi hingga ke hari ini.


Seputar itu juga, minggu hadapan saya akan bersama rakan-rakan ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menghadiri bengkel penulisan kreatif anjuran Jabatan Sastera. Diulit mimpi-mimpi indah untuk bertemu dengan Nisah Haji Haron, Faisal Tehrani, dan Zaharah Nawawi antara sesuatu yang dinantikan.


Bukan itu sahaja, sekurang-kurangnya orang yang saya kenali kerana bukunya mampu dilahirkan di depan mata sendiri.


(Kak Nisah, ini kali kedua aku bertemu denganmu.)