Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Monday, April 30, 2007

Apabila Datang Bulan Peperiksaan...


Semestinya, apabila datangnya musim peperiksaan insan yang paling akan diingati adalah kedua ibu bapa serta ahli keluarga semuanya. Semalam, apabila mendengar lagu ini rasa sayu di hati (kes tengok cerita sedih la...berkaitan dengan ayah dan ibu)
Faham-faham je la...

Ayah Dan Ibu

Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari
Ahai...

Yang dikurniakan dari Ilahi
Ahai...
Ayah dan ibu lah
Mesti dihormati

Ayah dan ibu
Wali keramat
Pada mereka kita beri hormat
Ahai...
Bagilah tunjuk ajar dan nasihat
Supaya hidup
Supaya hidup kita akan selamat

Thursday, April 26, 2007

Berita BKPJM

Pihak Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir mengalu-alukan kedatangan rombongan MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR (MAINJ) pada 5 Mei hingga 9 Mei 2007

Senarai Ahli Rombongan :


YB Tuan Haji Zainal Abidin bin Osman dan Isteri

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Johor


YB Dato’ Haji Zalil bin Baron dan Isteri

Pengarah Jabatan Agama Johor


Tuan Haji Ramlee bin Abdul Rahman dan Isteri

Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Johor


Tuan Haji Yahya bin Ahmad

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Zakat, Wakaf dan Baitulmal, MAINJ

Monday, April 23, 2007

Surat Untuk Sahabat



"Sumpah! Saya tidak lakukan." Dia memberanikan diri. Ijat mengerling mata ke arah Salman. Hatinya bergalau. Rasa bersalah. Tuduhan palsu itu tidak patut dilemparkan buatnya. Dendam tadi kian surut pulih. "Awak patut digantung sekolah atau dibuang sahaja. Tidak patut bergelar anak murid!" Suara deras Cikgu Marina menghentak tembok bilik disiplin pagi itu.
Sahabat,

Penghayatan di dalam melirik setiap satu bait di dalam cerpen amat penting. Selain itu perlu diingat juga, menghasilkan cerpen yang terbaik bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi susunan ayat serta tatabahasa yang tidak cermat boleh mencacatkan hasil karya. Justeru, bukanlah mustahil karya generasi baru mampu setaraf dan setanding dengan mereka yang sudah berusia di dalam arus ini.

Bagaimana hendak menjadi seorang penulis popular? Itulah sifat tamak yang akan lahir kepada semua penulis- penulis baru yang ingin menceburi bidang penulisan. Usaha, dan hasil kerja tangan yang dilakukan tidaklah setara mana. Namun, keberhasilan untuk menjadi terkenal lebih daripada jangkauan.

Sahabat,

Saya bukan ingin lontarkan kritikan buat sahabat. Cukuplah saya menjadi pengkritik tetap di dalam sastera. Berhujah atas dasar pemikiran yang waras. Menerima bidasan orang sebagai perangsang.

Di atas tadi, adalah sebuah sedutan daripada sebuah cerpen yang saya reka-reka untuk tatapan pembaca. Tidak sesenang makan kacang untuk menulis cerpen yang panjangnya hampir enam muka surat kertas A4. Apatah lagi berangan ingin menghasilkan novel setara Zaid Akhtar seperti Sesegar Nailofar, Rona Borhoporus dan lain-lain lagi. Juga, tidaklah sehebat Faisal Tehrani yang memenangi tempat pertama di dalam penulisan Sayembara DBP melalui karyanya 'Bedar Sukma Bisu'. Itu semua latihan. Perlu gigih dan bertatih daripada awal.

Itulah rencam sebagai seorang penulis. Jauh daripada itu, ingin saya melakarkan rasa sayang saya kepada sahabat-sahabat yang bakal menempuh peperiksaan tidak lama lagi. Bukan mudah untuk menggapai kejayaan tanpa usaha. Kalian jangan berdiri lagi di belakang pintu itu. Ayuh ke mari. Membawa sekeping kertas bernama ijazah dan ilmu.

p/s : Sifat malas seseorang itu akan terhapus apabila mereka pandai mendisiplinkan diri.


Sunday, April 22, 2007

Setitis Darah

merah mengalir
dalam kabus malam

tarahan pembilah
yang tajam lagi mencuka

aduh!!!
perit jerih menanggung...
kerana setitis darah

Sangeetha antara dua budaya


p/s : Saya teringin benar hendak mentelaah Novel Sangeetha karangan Azizi Hj Abdullah. Jika tidak keberatan, adakah yang sudi menghantar?


Oleh: RAZALI ENDUN

Azizi Hj. Abdullah berjaya menggarap dengan berkesan pergolakan emosi kedua-dua watak utama dalam novel terbarunya Sangeetha. Kedua-dua wataknya, Sangeetha dan Derus, warga emas yang dalam kesunyian dan kesepian tanpa zuriat. Kemudian terjebak di alam percintaan yang luar biasa di penghujung hidup mereka.


Sangeetha bukan sahaja memaparkan soal cinta warga emas yang unik, malah Azizi menggarap persoalan cinta itu sebagai sebuah konsep perpaduan menggunakan simbol dua budaya dan agama yang berbeza. Alat-alat muzik seperti tabla, danga dan gambus menjadi simbol penyatuan dua budaya yang berbeza rentak dan cara permainannya. Ternyata Azizi telah membuat penyelidikan yang mendalam memahami fungsi alat-alat muzik sebelum menulis novel ini.


Istilah-istilah seperti vadi, syahi or gab, kinar or chat, garja, yang agak janggal bagi kita, tentu sekali didapatinya hasil kajian, pembacaan dan penyelidikan yang teliti. Malah jenis rentak pukulan alat-alat muzik itu seperti 6 1/2, 8 1/2 , vilambit, madhyan, theka, tintal, maidan, tal, tin, na, bol, kaida, gat, peshkar, tukda sebagai ilmu bantu bagi menguat dan meyakinkan pembaca.


Gambus, alat muzik permainan orang Melayu, menurut Azizi dipelajarinya juga dengan seorang pemain muzik alat itu di Johor ketika pesta layang-layang. Katanya, kebetulan pada masa yang sama ada dipersembahkan permainan gambus di pesta itu. Dan melalui penelitiannya, dia telah berjaya menggambarkan bentuk gambus itu seperti berikut; ‘badan gambus itu buncit seperti labu air, di permukaannya ditutup kulit kambing yang kering dan tegang, licin tidak berbulu. Leher gambus itu agak panjang dan kepalanya melengkok ke atas semula menyerupai kepala kuda laut, telinga pemulasnya seperti kayu hoki kecil dan bertali sepuluh.’ Lihat betapa rincinya diskripsi Azizi terhadap gambus.


Baca Lagi…

Wednesday, April 18, 2007

Kosa Kata Pada Hari Ini


Sudah lama tidak bersua untuk berkongsi makalah atau bahan berunsur sastera. Justeru, hari ini saya ingin berkongsi dengan kalian beberapa kosa kata baru yang wajar digunakan oleh kita sama ada di dalam penulisan kita seharian atau sebagainya.


1. Adar : bertandang (bertandang, bermalam di rumah orang)

Contoh ayat – Aiman dan Akram selalu beradar ke rumah bapa saudaranya pada hari Ahad.


2. Atip : susun (susun, atur)

Contoh ayat – Ustaz Hairul meminta agar semua badan pengurus PMRAM mengatip baju-baju yang berserakan di dalam almari besi itu.


3. Banjar : baris (baris, jajar, deret)

Contoh ayat – Izzat, Ifwat dan Izmir berdiri sebanjar di dalam perbarisan kawad kaki sempena Hari Sukan di sekolahnya.


4. Enigma : kebingungan (menjadi bingung atau kebingungan) – disebabkan oleh sesuatu hal atau seseorang)

Contoh ayat – Pegawai itu berada di dalam situasi enigma setelah diminta untuk berundur daripada tugasnya di dalam masa 24 jam.


5. Suang : mudah (senang)

Contoh ayat – Razali tidak gemar menggunakan cawan kaca itu kerana suang pecah.


(Petikan daripada Majalah Pelita Bahasa, Edisi Januari 2006)

- Koleksi Pustaka typeace interprise



Monday, April 16, 2007

Jangan Jual Harga Diri


Seawalnya, saya tidak berhajat untuk menyatakan sedemikian. Namun, secara ikhlas saya nyatakan ada yang tersurat dan tersirat di dalam diri.

Walaupun permusafiran telah lama menjejaki, saya ada sesuatu yang tidak kena pada diri. Malu. Berbekalkan kudrat menghayati ilmu bahasa Arab selama enam tahun dibangku sekolah serta disusuli dengan beberapa tahun permukiman di padang pasir Al-Azhar ini, banyak lagi yang saya tidak mengerti.

Pada awalnya, saya meminati bidang pengajian yang dilalui pada hari ini. Namun, lama - kelamaan ada yang sering terbuku di dalam hati. Benarkah laluan ini yang mustaqim. Benarkah pilihan ini yang hakiki. Semua itu bermain di dalam diri.

Sebetulnya, saya tidak mahu menjual harga diri. Apatah lagi, menyatakan hasrat berundur di jalan yang panjang ini. Namun, setiap insan sebagai manusia punyai pilihan. Benar. Pilihan itu perlu. Tapi apakah pilihan yang lebih hakiki nanti.

Termenung. Memikirkan jalan yang penuh dengan pancaroba ini seharusnya memerlukan kekuatan. Biarpun Jayyid atau Jayyid Jiddan yang dipegang nanti, tetapi jika bibir bisu menyatakan hak perjuangan peribadi, siapalah diri ini.

Kegelapan malam menyaksikan ada coretan lagi yang tersembunyi. Tidak mahu berpaling lagi. Namun, saya perlu berjanji menunaikan amanah ini hingga pulang nanti.

Apakah masa masih ada pada esok hari?

p/s : Kekadang, tidak semua orang agama menjadi ustaz dan ustazah. Anda bagaimana?

Tuesday, April 10, 2007

Mahasiswa Al-Azhar : Jangan Semua Jadi Ustaz, Ustazah?

Sedetik mengimbau kembali fakta atau beberapa hujah saya terhadap generasi Al-Azhar yang kini hanya tertumpu kepada satu bidang pengajian.

Akhir-akhir ini, golongan agama dianggap sebagai golongan kelas paling bawah dan berada haya di dalam kelompok kecil sebagai pentadbir agama, ustaz, dan ustazah. Pengkhususan bidang atau pemikiran bidang sempit ini wajar diketepikan. Secara peribadi, saya kurang bersetuju mahasiswa kita hanya berada di dalam sektor kecil ini.


Mengapa warga Al-Azhar tidak dididik di dalam bidang-bidang lain? Fenomena hari ini menunjukkan mahasiswa Al-Azhar akan mengisi kekosongan di pusat-pusat pendidikan Islam serta pusat pentadbiran Islam sama ada di jabatan-jabatan agama atau sebagainya.


Adakah dengan pasca sistem pendidikan Al-Azhar yang hanya tertumpu kepada bidang pengajian agama tanpa mengembang ke dalam bidang pengkhususan yang lain. Melihat kepada kesan-kesan negatif ini, saya menyokong semua IPTA dan IPTS di Malaysia untuk terus menghidupkan dwi-pengkhususan di semua peringkat pengajian tinggi.


Namun, permasalahan ini masih terjadi kepada golongan Al-Azhar dan mereka akan masih berada di dalam kelas manusia tahap paling rendah lagi. Justeru, tiada cara lain yang lebih berkesan selain individu sendiri mengaktifkan diri di dalam pelbagai lapangan.


Sebagai contoh, jika ada di antara kalian yang berminat di dalam bidang pengkomputeran atau pengendalian laman web, mengapa tidak mereka diajar secara mendalam di beberapa institusi yang berada di tempat mereka belajar. Adakah faktor kewangan yang terbantut menyebabkan golongan dan generasi ini sering dipinggirkan?


Selain itu, bidang-bidang pengkhususan lain seperti bidang penulisan, komunikasi massa, pentadbiran awam, penterjemahan,teknik jurubahasa, dan banyak lagi sektor pendidikan yang harus ditimba daripada hari ini agar pengalaman dapat mempengaruhi kedudukan semasa pada hari ini.


Kebangkitan golongan azhari berada di dalam pelbagai lapangan harus diberi peluang. Keterbukaan dasar Negara agar mahasiswa sentiasa berada di dalam kelas pertama. Peluang generasi akan datang selepas kewujudan sekolah kluster telah bermula, justeru di mana tapak mahasiswa Al-Azhar kita. Jangan pandang belakang. Jika ada sesuatu yang ingin diraih, berlarilah lebih laju lagi ke hadapan.


Friday, April 06, 2007

Mari Sembang-Sembang


Seputar kehidupan di Mesir ini, banyak ragamnya. Selepas Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-74 pada bulan Februari yang lalu, ripuh melanda pada diri. Pagi, petang, siang ke malam menjadi saksi bahawa tugas dan amanah yang digalas berterusan dan tidak terhenti. Hebat. Sememangnya hidup bermasyarakat ini mengajar kita erti segalanya. Terima kasih kepada kalia yang sudi membantu walaupun kalian tahu bahawa kudrat ini tidak sehebat dahulu.

Kalau dahulu, semua pekerjaan yang kita lakukan tidak berhenti. Laju. Tapi, kudrat itu hilang sedikit demi sedikit kerana amal kita kurang. Sedih rasanya. Namun, kita tetap bersyukur kerana kita ada Allah yang Maha Mendengar rintihan hamba-Nya.

Seputar jaulah BP PMRAM bulan Mac lalu sememangnya memenatkan. Namun, di dalam kepenatan itu tersimpan seribu kenangan untuk dimuhasabahkan kembali kekuatan diri. Itulah lumrah dan sunnah orang berjuang. Sibuk macam mana pun, tugas dan amanah yang terpundak segera dilakukan.

Duduk dikerusi selesa bukanlah asbab untuk tidak bekerja. Semuanya perlu digalas dengan sempurna. Kita bukan orang sempurna. Tetapi, kita akan rasa selesa dengan tugas yang kita lakukan apabila ada orang menghargai tugas kita itu tadi.

Akhir Mac lalu, selesai sudah Persidangan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PERMIT). Tahnia h kepada pengarah serta ahli jawatankuasa yang terlibat. Tahniah juga kepada kalian sahabat-sahabat daripada Syria, Yaman, dan Jordan. Kepenatan dan peluh kalian hadir ke bumi Mesir ini memberi anugerah buat kami khusus di peringkat PMRAM ini.

Usai semua itu, tugas terakhir yang perlu disempurnakan adalah peperiksaan akhir semester yang dijangka bermula bulan Mei ini. Aduh! Masa amat mencemburui. Kekadang , kita terpaksa cemburu pada sahabat yang ada masa untuk menuntut ilmu lebih banyak. Tidak berorganisasi dan boleh lepak tidak kira waktu. Tetapi, itu bukanlah jenis manusia seperti saya. Seperti pelesit yang tidak mampu untuk duduk diam. Ada sahaja tugas yang ingin dilakukan. Entahlah, mungkin ini rutin harian. Semacam orang memakan budu, kalau sehari tak makan, mesti rasa tak sedap badan. Begitu juga dengan saya, sehari tidak keluar daripada premis kediaman, rasanya ada amanah Allah yang masih belum terlaksana.

Maaf kepada sahabat ahli bait (serumah) kerana meninggalkan kalian semua di dalam keadaan rela. Ini adalah amanah. Sama-sama kita berusaha untuk kejayaan peperiksaan akan dating pula. Kita bantu agama Allah, insya-Allah Allah pula bantu kita. Mari sama-sama kita membantu.

Wednesday, April 04, 2007

Siapa Nak Ajar Sastera?


Bukan semua orang minat bahasa Melayu walaupun ia merupakan bahasa ibunda rakyat Malaysia. Dan pada waktu itulah, kita menyaksikan ramai yang gagal di dalam SPM untuk matapelajaran ini kerana minat yang tidak mendalam.

50% pelajar yang ditinjau dan diramal tidak meminati matapelajaran ini disebabkan kehadiran sastera di dalam bahasa Melayu. Malang sekali, pelajar Melayu tetapi tidak minat sastera Melayu. Saya akui bahawa genre sastera bukanlah suatu pemilihan yang paling sesuai untuk metod pelajar sekolah, namun ia perlu dididik dan dijiwai oleh semua termasuklah tenaga pengajarnya.

Daripada sudut yang lain, kajian menunjukkan bahawa guru merupakan faktor utama kecenderungan minat pelajar ini dipupuk. Rata-rata mengatakan bahawa sikap guru yang sambil lewa di dalam mengajar matapelajaran KOMSAS serta minat yang kurang daripada guru sendiri adalah penyumbang kes jenayah terbesar.

Adakah kita kekurangan guru bahasa Melayu yang minat sastera? Atau guru bahasa Melayu menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia yang dicipta oleh JPN hanya sekadar melepaskan batuk ditangga?

Sedari perkara ini, saya menyarankan agar guru bahasa Melayu seharusnya dididik dengan bahasa Melayu sastera. Bukan hanya bahasa Melayu semata-mata lantas hasil yang terjadi adalah kelembapan nilai minat pelajar-pelajar.

Jangan menuding jari ke arah satu generasi jika kita punyai jatidiri yang tidak semulajadi. Usaha harus lebih. Berubah diri. Saya pasti, kita ada jatidiri. Buat semua guru bahasa Melayu, jangan jadikan alasan diri untuk tidak hidup lagi kerana mesej ini.


Monday, April 02, 2007

Mari Kita Gaduh


Barangkali orang tidak suka mendengar. Dan pada itulah waktu yang paling mengecewakan. Apabila mulut berkata A, ada pula yang menyampuk dengan mengata B. Selepas itu, ada mengecewakan dengan mengata C. Terlalu parah. 3 dalam 1. Semacam syampu. Tetapi, itu mungkin tiada perancangan.

Lemah dan sangat lemah. Malah boleh dikatakan bodoh dan bangang. Mungkin mereka tidak diajar. Atau mereka terlalu kurang ajar. Saya tidak pasti. Kelemahan demi kelemahan. Mungkin itu tanggapan mereka. Tetapi tidak bagi saya. Ada yang sudah malas bercita-cita jadi pemimpin, lantas jua itulah bukan kerusi yang saya idam-idamkan damai untuk duduki.

Masa amat pantas berlalu. Ada yang bangun, dan ada pula yang duduk. Bagus. Itulah cara kita. Perlu angkat punggung apabila masa sudah tiba. Badan jadi malas. Fikiran jadi tak tentu hala. Inilah peluang yang harus digunakan.

Orang kata, manusia jangan suka cepat marah dan perlu sabar. Itu jua yang terkandung di dalam sifat sabar untuk manusia. Tetapi mengapa mesti saya. Saya bukanlah seorang yang minat untuk sabar dan bukan orang yang suka menjadi alim dan warak serta berlakon-lakon seperti Rosnah Mat Aris di dalam meja perdebatannya.

Inilah masanya untuk kita berdebat. Sudah timbul tahi, baru menyesal nanti. Saya sudah malas mendengar orang menemplak serta memaki hamun.

p/s : Ada yang tak puas hati, silakan