Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Friday, March 23, 2007

Arab – Melayu : Usah Permainkan Bahasa


Oleh : typeace

Kata saduran atau pinjaman daripada bahasa Arab yang disadur ke dalam bahasa Melayu telah meluas. Dewan Bahasa dan Pustaka telah berusaha serta berbincang dengan lebih mendalam berkaitan kata pinjaman dan saduran tersebut.

Walaubagaimanapun, baru-baru ini saya menjadi terkilan apabila penggunaan kata pinjaman ini tidak diambil berat. Mengapa hal sedemikian berlaku? Ada sesetengah kata pinjaman ini berubah tanpa tentu hala. Saya beranggapan, penulis langsung tidak merujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka lantas meneka serta menggunakan kalimah yang mudah mengikut kesesuaian pertuturan.

Sebagai contoh, perkataan bid’ah sepatutnya ditulis dengan bidaah. Selain itu, Ramadhan seharusnya ditulis dengan perkataan Ramadan. Banyak lagi perkataan dan kata pinjaman ini yang tidak diendahkan.

Sebenarnya, dengan kata yang mudah kita perlu kaji permasalahan yang sebenar khusus kepada generasi pada hari ini yang lebih mudah menulis tanpa merujuk. Rujukan merupakan asas kepada sesebuah cara dan teknik penghasilan kajian yang sempurna. Justeru, usah menjadi golongan yang malas dan mempersia-siakan peluang dan ruang yang ada untuk menulis dengan menggunakan bahasa dan perkataan yang betul.

Sekian, terima kasih.

Contoh – contoh lain :

SALAH - BETUL

Al-Qur’an - al-Quran

Dzat - zat

Haidh - haid

Mulahazat - mulahazah

Thursday, March 22, 2007

Dua Wacana Kita

Percaya atau tidak, setiap manusia memerlukan keterampilan di dalam dua wacana. Apabila seseorang lengkap dengan dua wacana tersebut maka tidak hairanlah kematangan dan pemikiran seseorang itu didasari dengan wacana itu tadi.

Seni pertuturan (percakapan/ komunikasi) serta seni penulisan merupakan dua buah elemen yang amat terpenting. Apabila kita memandang jauh, kedua-dua unsur ini membawa kepada keterampilan individu sama ada ia berlaku secara sengaja atau tidak.

Orang yang dapat menghimpunkan kedua-dua wacana ini dianggap sebagai seorang yang hebat. Sebagai contoh, apabila seseorang itu dapat melengkapkan dirinya dengan seni komunikasi maka dia akan menjadi berani berada di khalayak, pandangannya dapat diterima secara jelas dan hujahnya diperhatikan dengan tepat.

Selain itu, unsur kedua melalui seni penulisan pula, seseorang itu akan dapat bergerak secara halus di dalam berhujah. Kalamnya diukir dan diterjemah di dalam bentuk lakaran mata pena lantas pemikirannya dapat dibaca oleh khalayak sebagai suatu tanggapan bahawa mata penanya boleh menghasilkan keterampilan peribadi penulis itu tadi.

Walaubagaimanapun, kedua-dua unsur tadi mempunyai perselisihan di antara satu sama lain. Pertama, apabila unsur pertama (pertuturan) digunakan, masalah yang akan timbul adalah hujah dan kalam yang dituturkan tidak dapat disunting dan diubah. Ianya tertumpu kepada apa sahaja perkataan dan hujah-hujah yang dipertuturkan. Manakala apabila unsur kedua digunakan, secara jelas kita dapati bahawa kelangsungan untuk mengubah serta menyusun ayat dapat dilakukan. Ini bererti setiap perkataan dan kalam itu dapat disunting dan diedit dengan cara dan gaya tersendiri sehingga ianya benar-benar diubah dengan baik.

Tuntasnya, ketrampilan terhadap kedua-dua wacana ini adalah penting. Sama ada perkara tersebut dinilai daripada unsur pertama atau unsur kedua, setiap daripadanya mempunyai kelebihan tersendiri. Justeru, ketrampilan anda dimana?

Monday, March 12, 2007

kudrat

sengsara menjerit
dalam diam terpendam
mulahazah diri
tiada lagi kau gagah
tunggu...

kudrat itu
jelma kembali

120307

Tuesday, March 06, 2007

Suara Itu Anugerah (SIA)

Hampir lapan bulan tidak menaiki Penerbangan Singapore Airlines (SIA). Rindu rasanya pada negaraku, Malaysia yang banyak memberikan jasa. Terima kasih juga kepada SIA kerana memberikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang penerbangan merentasi benua Afrika dan Asia. Ini adalah sesuatu anugerah yang paling bermakna. Demikian itu bukan cerita penerbangan SIA yang ingin saya lanjutkan.

Sepanjang setahun menjawat jawatan sebagai Ketua Badan Komunikasi dan Bahasa Arab PMRAM saya tidak pernah menghadapi kesukaran bertutur dengan baik. Lebih-lebih lagi sepanjang hidup saya, kalam saya mudah dan baik halnya. Tetapi tidak pada hari ini, (Muktamar Sanawi PMRAM) usaha saya untuk membaik pulihkan suara tidak berjaya.

Ubat tekak dan batuk dihirup tetapi tiada kesan. Sedih rasanya hati. Anugerah itu telah hilang. Reputasi sudah kurang. Kali terakhir saya menjadi pengacara majlis ketika kehadiran YB Brig. Jen. Dato’ Seri Abdul Hamid Zainal Abidin, Pengerusi Mara ketika Kursus Keusahawanan Pelajar Bumiputera Mesir di ARMA.

Saya disunting oleh MARA (Majlis Amanah Rakyat) untuk memperkasa tahap kebolehan supaya diasah dengan lebih mendalam lagi. Cita-cita saya ada dua, wartawan atau pengacara. Pengalaman duduk di pentas RTM dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) lebih mematangkan saya. Insya-Allah, jika ada rezeki saya akan ke bidang kewartawanan pula selepas ini. Bidang yang sememangnya saya lebih cenderung. Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Mass Com) yang saya inginkan.

Semua itu berkaitan dengan suara. Namun, sejauhmana anugerah Allah itu dikekalkan atau akan ditarik pada bila-bila masa. Moga diberikan kekuatan diri. Ya Allah anugerahkanlah nikmat ini berterusan.

Hanya Dua Muka Surat

Muka Surat Pertama

Muka Surat Kedua

Terbih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih khusus kepada Kak Shahriza Sidin selaku Editor Majalah Fokus SPM yang sudi menerbitkan artikel saya pada bulan Februari lalu. Bukan cerita yang ingin didagang, bukan kisah yang ingin dijual tetapi cukuplah sekadar memberi laluan kepada golongan tertindas untuk bangkit mengejar cita-cita.

Saya bukan orang yang hebat. Tapi saya berjanji untuk menjadi orang paling hebat. Siang dan malam berjuang untuk menegakkan agama Allah ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Hanya kerana dua muka surat, saya dikenali. Ramai bertanyakan saya. Tiada jawapan daripada saya yang boleh dirumuskan. Jika mahu kisah itu dirakam lebih baik, datanglah dan tuntutlah ilmu di bumi Mesir. Banyak sejarahnya. Banyak ulamanya. Banyak kitabnya. Banyak juga ilmunya.

Itulah bumi saya. Bumi yang lahirkan saya sebenarnya. Bumi ini amat subur. Namun, pengalaman itu tidak cukup hanya sekadar dua muka surat.

Untuk kalian yang sedang bertatih di dalam bidang penulisan, usah ragu-ragu pada usaha kalian. Anda lebih hebat.

Bantut dan Terbantut – Kisah Dulu dan Sekarang.

Semenjak menjawat jawatan sebagai Badan Pengurus PMRAM, banyak kekalutan berlaku. Kejap-kejap ada tugas. Pada waktu itulah, banyak yang masih tidak terurus. Bermula dari A hingga Z, ada sahaja yang menghalang. Ripuh menjadi rutin harian. Dari pagi hingga ke malam, sibuk yang berpanjangan.

Itulah kisah sebagai seorang pemimpin. Kalian yang duduk di atas kerusi sofa di bilik atau rumah masing-masing lebih seronok lantas mentertawakan saya dengan alasan, saya yang mahu jadi pemimpin. Tidak! Bukan itu hadaf saya. Saya ingin membantu, tidak lebih daripada itu.

Dua tahun lepas, ketika saya masih baru, banyak tugas yang mudah dilaksanakan. Boleh menulis, pagi hingga ke malam. Mampu membaca buku dari pagi hingga ke malam dan sebagainya. Yang paling utama, saya dapat menghasilkan pelbagai genre penulisan sama ada kreatif ataupun non-kreatif. Namun, kini segala-galanya terbantut. Mahu menghadiri seminar-seminar di peringkat BKAN atau DPM, bahkan mencari ruang untuk ke ARMA tidak berkesempatan.

Saya ingin kembali seperti dahulu. Menghadiri Kem Penulisan PMRAM (KELAP) dan boleh masuk ke dalam program-program yang lain tanpa diganggu. Kekadang minat mendalami penulisan telahpun dikikis sedikit demi sedikit oleh kepimpinan ini. Saya tidak mahu salahkan sesiapa. Mungkin salah saya sendiri.

Banyak amanah yang masih tergendala. Malik dan Iqbal merupakan orang paling setia di rumah. Masak, basuh baju, dan semuanya boleh dikerjakan. Tidak pula bagi saya. Mahu jadi penentang sahaja. Entah, semuanya dipaksa.

Jurang seolah-olah sudah berbeza. Ada yang mengagungkan saya. Ada pula menjadikan saya sebagai idola. Itu sedikit pun tidak menaikkan semangat saya. Saya tahu saya masih gagal di dalam banyak perkara. Saya akan lakukan pembaharuan. Walaupun orang tidak suka, itu cara saya. Saya pun ada pendirian. Saya ingin jadi seperti dahulu.

Kepimpinan telahpun berubah. Tugas saya duduk di pejabat sahaja selepas ini. Itu tidak bermakna saya boleh berehat-rehat. Tugasan itu lebih mencabar. Lebih banyak perjumpaan saya akan lakukan. Dan pada waktu itu, lebih banyak amanah yang tidak dapat dilangsaikan.

Moga Allah sahaja yang membantu. Saya tidak pernah kesal. Tapi saya minta untuk berehat. Saya Bukan Seorang Insan yang kuat.