Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Monday, July 24, 2006

Membebel Sebentar

Oleh : typeace
Usai menunaikan Solat Maghrib, aku pulang meneruskan sisa – sisa perjuangan mata pena yang masih belum selesai. Kelmarin, separuh daripada karya non – kreatif telah aku sempurnakan. Unsur dan bahan yang dipamerkan tidaklah sehebat mana, namun aku yakin akan peranan dan tanggungjawab aku sebagai orang agama. Aku perlu nyatakan sesuatu. Aku perlukan sampaikan sesuatu yang aku tahu. Semuanya melalui mata pena yang merupakan jalan perjuangan yang mudah untuk dipamerkan.

Karya kreatif bila pula akan menyusul. Entah. Mungkin keripuhan masa dan keadaan yang diisi dengan lena pejuang yang berpanjangan menjadikan aku alpa lantas ia terhenti seketika. Atau kerana rancangan televisyen yang berlambak memaksa aku duduk kejung di hadapan skrin tersebut.

Petang tadi, aku merantau ketiga tempat yang berbeza. Bermula daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), kemudian ke Pejabat Pendidikan Agama Daerah Johor Bahru, kemudian melawat pula sahabat di Jalan Padi Huma 11, Bandar Baru UDA. Ketika di DBPWS aku mendapatkan majalah Tunas Cipta keluaran yang lalu. Bermula daripada bulan Mac sehingga Jun setelah aku tidak berkesempatan mendapatkannya kerana menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Sebelum meninggalkan DBPWS, sempat aku bertanyakan perkembangan pusat tersebut lantas mencari – cari ruang kosong sekiranya masih ada lagi program – program DBPWS yang boleh diikuti.

Lewat senja, aku keluar lagi dari rumah untuk berbincang dengan Dr. Mohd. Effy Saiful berkenaan buku program untuk Program Bakti Siswa. Terima kasih kerana beliau sudi membantu. Aku bukannya suka menyusahkan orang lain. Namun, sekurang – kurangnya masih ada lagi insan yang boleh membantu menggerakkan BKPJM di Malaysia ini. Rata – rata masih tidak dapat dihubungi di Malaysia tatkal khidmat dan jasa mereka diperlukan. Namun, aku tetap bersyukur apabila ada lagi yang masih dan sanggup membantu.

Fikiran kekadang buntu. Mujurlah aku ada Allah. Dia yang Maha Kuasa. Membantu dan menolong setiap gerak kerja agar senantiasa mudah untuk aku meneruskan tugas dan tanggungjawab ini. Jutaan terima kasih kepada Ustaz Fahrul Irfan yang banyak menggalas tugas sebagai Pengarah Program ini sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu aku dan BKPJM. Syabas buat ustaz. Ini adalah usaha yang paling bermakna buat aku dan ahli BKPJM yang lain.

Tugas aku perlu teruskan. Banyak lagi perkara yang harus dilunaskan sebelum program bermula 17 Ogos ini. Doakan aku, dan semua sahabat – sahabat aku di sini.

p/s : Petang tadi, Rasul telefon minta perjumpaan di Maahad Tahfiz Pasir Gudang dengan Ustaz Norden.

Antara Mehnah Negara Hari Ini

Oleh : typeace

Dua puluh satu tahun mengenali dunia yang fana merupakan suatu jangka masa dan tempoh yang amat panjang. Bermula semenjak dia dilahirkan dan kini telah pun dewasa, pelbagai rencam hidup yang dialami. Dia, seorang mahasiswa Al-Azhar yang banyak menghabiskan masa mengecapi isi – isi perjuangan kemerdekaan telah seminggu menjejakkan kaki ke Malaysia, Negara yang sarat dengan arus pemodenan semasa. Barangkali, inilah fenomena semasa yang terpaksa beliau hadapi.

Pelik tapi benar. Semalam, setelah puas membuang pandangan ke Selat Tebrau yang entah bila akan jernih dengan kotoran sisa bahan kimia, dia melawat pusat membeli – belah terkemuka di Bandar Johor Bahru. Plaza Angsana. Itulah nama persis sekuntum bunga yang mekar di bawah neon samudera selatan. Jumaat, pastinya penghulu hari yang bakal menjanjikan sebuah pemandangan Islamik terhadap alam sarwajagat. Namun, tanggapan itu benar-benar tidak tepat lantas memaksa dua buah biji mata terjojol menyaksikan remaja Melayu yang mencipta kehidupan sungguh hina.

Lihatlah, betapa jijiknya manusia hari ini dengan kehidupan ala- Barat yang sememangnya amat dikagumi oleh Negara pada hari ini. Hidup tanpa agama, ibarat membaca tanpa buku. Itulah sandiwara melankolik dunia pada hari ini.

Dimanakah silapnya? Lunturkan institusi keagamaan hari ini? Lenyapkah suara panglima bergelar mufti? Atau Negara sudah tandus akal memikirkan gejolak masalah sosial yang terus menyimpang dari arah yang berlalu pergi.

Justeru, pemangkinnya adalah kita para pendakwah yang berciciran di merata. Adakah tugas kita sudah lenyap atau bebanan ini tidak mampu dipikul. Suara kita di mana? Lewatkah bangsa mengenal agama? Atau dayuskah agamawan dalam hidup? Perlukah kita berehat sahaja tanpa ada rasa tanggungjawab?

Persoalan demi persoalan mampu diutarakan. Persidangan demi persidangan diadakan. Jika ini mehnah kita, ada lagi perkara yang lebih utama. Itulah solat. Solat tiang agama. Bukan saya yang kata. Nabi s.a.w bersabda : “Solat itu tiang agama, siapa yang mendirikannya, maka dia telah mendirikan agama. Dan barangsiapa yang meruntuhkannya, maka dia telah meruntuhkannya.”

Justeru, pokok pendirian hidup adalah solat. Tanpa solat hidup akan merana. Jiwa akan sengsara. Lewatkah masa depan kita yang terus dibuai dan diulit oleh syaitan durjana.

Thursday, July 20, 2006

Sains Dalam Detektif Indigo


Novel Detektif Indigo - Faisal Tehrani
Saya baru tamatkan pembacaan saya menerusi Novel Detektif Indigo karya Faisal Tehrani. Rencam dan jalan cerita yang dibawa adalah berbentuk teladan dan nasihat. Namun, saya tidak pasti berapa banyak lagi elemen yang saya masih tidak diketahui. Uniknya, sejak memulakan sesi pembacaan, saya tidak pasti bahawa novel yang saya baca adalah novel rekaan semata-mata dan bukanlah suatu yang ‘real’.

Dari muka ke muka, helaian demi helaian yang dibaca tidak langsung menunjukkan bahawa ini adalah suatu cereka. Mujurlah penulis menyatakan pendirian di akhir babak bahawa novel tersebut semata – mata rekaan.

Dalam Novel Detektif Indigo, pengarang menjadikan pembaca lebih matang di dalam bidang ilmu sains dan penyiasatan. Rentetan dari babak ke babak menunjukkan pengarang terus mendominasikan pemikiran pembaca dengan menerokai alam sains, kimia, fizik dan seangkatan dengannya. Ini menjadikan penajaman pemikiran terhadap sains lebih mudah menyerap masuk apabila pembaca menghayati nilai teknologi yang disampaikan melalui karya beliau.

Novel ini cuba membangkitkan isu-isu remaja indigo yang mempunyai keajaiban dan keunikan yang luar biasa. Misalnya Chen –chung yang mempunyai nilai IQ sebanyak 357 sedangkan untuk mencapai tahap IQ terbaik hanyalah sekadar 120 sahaja.

Beberapa ilmu baru sains diperoleh apabila wujud watak “Si Tahukah Anda?” Beliau adalah Faruq. Seorang pelajar indigo yang mempunyai kelebihan seperi Chen-chung dan rakan – rakannya.

Membaca “Detektif Indigo” seperti mengkhatamkan majalah ‘Penyiasatan Remaja’ atau majalah – majalah fiksyen sains yang lain. Ini adalah perkara baru di dalam diri saya. Terima kasih kepada pengarang di atas ilmu yang diberikan.
Penulis

Monday, July 17, 2006

Program di Malaysia

Assalamualaikum w.r.b.

JEMPUTAN KE PROGRAM SIRIH PULANG KE GAGANG (PSPG)

Sukacitanya dimaklumkan bahawa Tuan/ Puan/ Ustaz/ Ustazah Ahli BKPJM Di MALAYSIA dijemput untuk menyertai Program Bakti Siswa Al-Azhar Johor yang akan diadakan pada ;-

Hari : Khamis – Isnin
Tarikh : 17 – 21 Ogos 2006
Tempat : Kg. Serkat, Pontian, Johor.

Kehadiran tuan/ puan akan memeriahkan program tersebut. Insya-Allah.

*Keterangan lanjut sila hubungi Ustaz Syafiq bin Zulakifli (012-7351860)

Sila maklumkan kehadiran anda kepada beliau untuk makluman dan tindakan beliau. Semoga tuan/puan akan mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t.

Air Mata Kasih

Jaulah BP PMRAM ke Mansurah

Saya minat sastera. Biarlah apa orang kata, saya akan maklumkan, saya minat sastera. Bila cerita tentang sastera, perkara pokok yang harus difikirkan adalah jiwa dan naluri kesusasteraan. Mengapa? Orang yang mudah mengambarkan perawakan dan pembawaan di dalam sesuatu perkara akan mampu menghasilkan suatu gambaran yang mendalam berkenaan dengan konsep penghayatan.

Justeru, apa yang ingin saya ungkapkan. Dari mana lahirkan mood dan naluri seseorang? Semestinya dari dalam jiwa dan sanubari. Oleh yang demikian, tidak hairanlah bahawa perkara utama yang harus saya bincangkan pada hari ini adalah nilai semangat kasih dan sayang sesama sahabat kepimpinan PMRAM dan BKPJM yang selama ini ada di dalam nubari saya ini.

Jauh disudut hati kaki melangkah pergi meninggalkan pentas pemtadbiran di Kota Kaherah, Mesir. Sesungguhnya memang payah dan hanya kecekalan dan ketabahan mengatasi segalanya. Rindu mengenangkan saat manis ketika kita bersama bangun dan jatuh. Rindu di dalam memperjuangkan semangat keislaman di dalam pentadbiran kita. Jua rindu mendengar hilai tawa semua sahabat kepimpinan sekalian.

Buat Majlis Presiden, buatlah keputusan yang bijak di dalam mengatur gerak langkah persatuan kita. Jangan fikirkan yang buruk sedang ada perkara yang lebih baik dari itu. Buat Jabatan Setiausaha (expecially) SU Agong, semangat ustaz dan kekanda amat berharga buat diriku ini.

Kepada Bendahari pula, jangan kesal di atas amanah yang dipikul. Ini adalah suatu tanggungjawab. Dan buat semua ketua badan, bidang dan tugas anda sedang diperhatikan. Jangan menoleh ke belakang lagi. Kita harus mara. Buktikan orang muda ada kemampuan. Orang muda lebih bijak mengurus strategi pentadbiran.

Janganlah mengeluh di atas taklifan ini. Usah terapung tanpa suara. Bijaklah berfikir. Kita mampu melakukannya.

Meraut Pengalaman Di Kedai Buku

Beberapa buah buku yang saya dapatkan di Plaza Angsana, JB

Lewat petang tadi saya membawa diri bertapa seketika di Kedai Buku Badan Cemerlang, Plaza Angsana, Johor Bahru. Selepas bapa saya ripuh dengan tugasan sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Mohd Khalid, Johor Bahru bulan April yang lalu, kini dikerah berpindah ke Jabatan Pelajaran Negeri Johor. Atas sentimen dan perkara – perkara sebegini memaksa saya mendapatkan kenderaan awam untuk ke sana, walau jarak cuma sekangkang kera.

Melangkah perjalanan memasuki ruang majalah dan buku di sana, meluaskan pemandangan saya tentang kepentingan membaca di kalangan mahasiswa pada hari ini. Kerajaan secara simbolik memaksa remaja serta belia hari ini menimba ilmu dengan membaca dan menikmati isi kandungan bahan bacaan peribadi.

Bermula daripada fiksyen sastera, saya berubah arah ke bidang syariah. Banyak juga buku yang telah saya miliki. Namun, ada pula yang terpaksa ditangguhkan dahulu kerana terlalu mahal harganya.

Hari ini saya ada satu matlamat. Mencari buku sastera sahaja. Alhamdulillah, saya telah memiliki enam buah majalah dan tiga buah buku sastera untuk dibawa pulang dan dibaca. Antara majalah yang telah saya dapatkan adalah Dewan Agama dan Falsafah, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Tunas Cipta, Dewan Sastera, dan Dewan Budaya. Manakala tiga buku fiksyen sastera pula adalah Novel Detektif Indigo karya Faisal Tehrani, Warna Sari Sastera Melayu Moden yang memuatkan beberapa cerpen dari sasterawan terkenal tanah air, dan sebuah buku lagi yang berjudul Biografi Sasterawan A. Samad Said karangan Awang Abdullah.

Saya memaksa diri untuk menamatkan sesi pembacaan di dalam jangka masa yang singkat. Moga ada hasil yang bakal memutik.

Sunday, July 16, 2006

Hijrah Itu Bukan Mudah

Sedetik Bersama Sebuah Kenangan

Alhamdulillah, dua hari lepas saya bersama tiga orang sahabat telah selamat sampai ke destinasi yang dituju. Bermula dengan perjalanan bersama SQ 493 – Singapore Airlines selama 10 jam untuk sampai ke Singapura, banyak suka duka yang telah saya alami. Ini adalah kali kedua saya pulang ke tanah air selepas kepulangan yang pertama lebih kurang lima bulan yang lalu. Namun, saya bersyukur kerana telah selamat tiba di sini.

Cabaran

Ramai orang menasihati saya untuk sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan yang tiba. Nasihat itu saya simpan dalam saku ingatan saya. Belum sempat dua puluh empat jam selepas saya tiba di Singapura, saya telah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat bersama jawatankuasa kampong di Kg Serkat, Pontian. Mesyuarat Program Sirih Pulang ke Gagang (PSPG) anjuran BKPJM dan DE Hikmah Management, syarikat milik Ustaz Irfan.

Pada hari Ahad, jam 5 petang saya diminta untuk bersama-sama Ustaz Irfan untuk ke sana. Alhamdulillah, saya tiba di sana tepat jam 7 malam dan terus ke Tanjung Piai untuk bersantai menikmati keindahan panorama pantai. Keseronokan yang amat sangat. Sudah lama tidak merasakan sepoi –sepoi angin pantai. Inilah sebuah pengalaman yang sangat terpendam.

Bertemu Pak Ismail, Sastera Lama Johor

Jaulah ke Pontian hari ini ( 16 Julai ) bukanlah sesuatu perkara yang biasa. Namun, kehadiran saya kali ini lain jadinya. Saya telah bertemu dengan Pak Ismail seorang sastera lama di Johor. Banyak yang saya cerita tentang sastera. Yang paling tidak dilupakan bagaimana sikap beliau yang terus menunjukkan saya semangat seni sastera dengan mengungkapkan setiap kata-katanya dengan puisi dan pantun. Saya rasa tidak menyesal hadir ke sini. Apa yang saya telah cari akhirnya dijumpai.

Pak Ismail telah menunjukkan sijil-sijil dan anugerah-anugerah yang diterimanya dari DBP. Banyak juga yang saya dapat timba dari beliau. Dari riak wajah yang tampak ego sedikit, namun itu bukanlah penghalang bagi saya. Itu cara beliau. Lebih 100 pantun dilontarkan kepada saya secara spontan. Saya tidak terlepas untuk merakamkan semua pantun yang beliau lontarkan kepada saya di dalam MP3 saya.

Tahniah buat diri saya dan Pak Ismail.

Sunday, July 02, 2006

Salam Hari Lahir


Sebuah kasih setulus rindu buat seorang bapa yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 48 pada tahun ini. Semoga dirahmati dan senantiasa di dalam lindungan dan payungan Ilahi.
Sesungguhnya, kehidupan ini tidak akan lari dengan onak dari duri. Namun, setiap cabaran dan halangan yang kau hadapi adalah menjadi saksi bahawa Allah masih ingin memelihara dirimu agar sentiasa bersabar dan thabat dalam perjuangan.
Orang berjaya tidak faham apa erti putus asa. Orang cemerlang tidak mengerti maksud sebuah kekecewaan. Hayatilah jerih -perih hidup ini dengan baik agar ianya sebati dan tetap segar di dalam kamus peribadi.
Salam Manis, Semanis Madu...
Kaherah, Mesir