Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Tuesday, June 20, 2006

Nikah Misyar: Antara Syara’ dan Adat

(Gambar Sekadar Hiasan)

Nikah Misyar: Antara Syara’ dan Adat
(Beberapa Pandangan Ulama’ Semasa)
Hasil Terjemahan : PMRAM 2006

Segala puji bagi Allah SWT tuhan pencipta sekalian alam.

Bagi menentukan adakah sesuatu perkahwinan itu boleh diiktibar (dianggap) sah di sisi Syara’ perlulah ianya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syara’. Antara syarat-syarat untuk memastikan bahawa perkahwinan itu sah ialah:

1. Wujudnya keredhaan yang tulus daripada kedua-dua pihak suami dan isteri.
2. Lafaz yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu tidak dibataskan oleh waktu-waktu tertentu.
3. Adanya wali bagi pihak isteri.
4. Perkahwinan itu disaksikan oleh saksi yang melengkapi syarat-syarat persaksian.
5. Perkahwinan tersebut diwarwarkan kepada umum.

Jika lengkap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’ ini maka perkahwinan Misyar ini adalah perkahwinan yang sah selagi mana perkahwinan ini tidak bertempoh walau apa nama perkahwinan ini sekalipun. Namun apabila si isteri rela untuk menggugurkan hak-hak yang berhak untuk diperolehi oleh si isteri tersebut yang telah diberikan oleh syarak seperti nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk suami bermalam di rumah isteri yang bermadu, maka pengguguran hak tersebut adalah harus di sisi syara’ sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidah Sau’dah R.A. Beliau telah menghadiahkan hari yang sepatutnya Rasulullah saw bermalam di rumah beliau kepada Saiyyidah Aisyah R.A


Pendapat daripada Fadhilah Al-Syeikh Dr. Nasr Farid Wasil
(Bekas Mufti Mesir)

Perkahwinan di dalam Islam adalah di antara hubungan kemanusiaan dan sosial yang paling suci yang dijaga oleh Islam dan Islam turut menyuruh untuk diambil segala jalan. yang boleh memudahkan perkahwinan di kalangan manusia, lelaki dan wanita malahan syarak turut meminta untuk menjaga perkahwinan dengan mewujudkan satu perjanjian yang kukuh yang menjelaskan hak-hak dan kewajipan rumahtangga dan kekeluargaan. yang diberkati dengan kalimah Allah. Perkahwinan adalah dituntut berdasarkan nas Al-Quran melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 32:

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.


Allah swt juga berfirman didalam surah al-Rum ayat 21:

Dan di antara membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi tanda-tanda yang orang-orang yang berfikir.

Rasulullah saw juga bersabda dengan kalamnya yang mulia:

“ Perkahwinan itu adalah sunnahku. Barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku maka bukanlah mereka daripada golonganku.”

Melalui perkahwinan, berlakulah perlaksanaan Syariat Islam yang dikehendaki oleh Allah bagi kepentingan manusia menelusuri firman Allah taala yang bermaksud:

Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi
(Al Baqarah ayat 30)

Melalui perlaksanaan Syariat Islam maka ibadah akan sempurna yang kesempurnaan ibadah itu adalah dituntut dan diperintahkan oleh Allah memalui firmannya yang bermaksud:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Al Zhariat ayat 56 hingga 58)

Perkahwinan yang memenuhi tujuan yang baik dan mulia ini adalah perkahwinan yang sah di sisi syara’ yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat perkahwinan yang digariskan oleh syarak yang diperintahkan oleh Allah dan rasulNya di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah di samping turut disepakati oleh ulama Islam di setiap zaman. Ini kerana itu, rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnyalah yang akan membezakan antara akad nikah yang menepati syarak dan akad nikah yang diharamkan oleh Islam. Rukun serta syarat nikah ini yang akan menjadi pembeza yang berterusan sehingga hari kiamat.

Sehubungan dengan itu, pihak Dar al-Ifta’ (Majlis Fatwa Mesir) berpandangan bahawa nikah misyar jika ia memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukun ini iaitu keredaan yang sempurna daripada pihak suami dan isteri, lafaz akad nikah yang mengandungi maksud perkahwinan yang berterusan, wali daripada pihak pengantin wanita, saksi-saksi yang memenuhi kriteria yang penuh sebagai seorang saksi yang sempurna dan peisytiharan perkahwinan tersebut dengan cara yang pelbagai maka perkahwinan tersebut adalah perkahwianan yang sah di sisi syara’ dengan kita tidak perlu memandang kepada apa sahaja jenis istilah yang diberikan terhadap nama perkahwinan itu selama mana perkahwinan itu tidak diterhadkan kepada tempoh tertentu atas sebab-sebab berikut:

1. Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan risalah Muhammad SAW ini sebagai penutup segala risalah dan Allah swt telah menurunkan al-Quran sebagai penunjuk kepada kesejahteraan seluruh umat sehingga waktu di mana Allah akan mewarisi bumi ini dan insan yang berada di dalamnya (hari kiamat). Oleh itu tidak ada satupun perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia melainkan manusia akan mendapati penyelesaiannya di dalam kitab kepada risalah Nabi Muhammad SAW (Al-Quran) Allah berfirman:

Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini
(Al An`am ayat 38)

Istilah Misyar terdapat hukum padanya jika kita meniliti secara terperinci di dalam sejarah-sejarah para ulama terdahulu dan sekarang. Sesiapa yang meneliti sejarah pengembaraan umat Islam terdahulu, dia akan mendapati bahawa terdapat di kalangan generasi terdahulu insan-insan yang mengembara keluar daripada tanah air demi menuntut ilmu atau berniaga. Jika mereka singgah di sesuatu negara di tengah perjalanan maka mereka akan menetap di situ dalam beberapa masa tertentu, lama atau sekejap seterusnya berkahwin dengan penduduk negeri tersebut dan mendapat zuriat kemudian menyambung kembali perjalanannya dengan meninggalkan isterinya sama ada dengan jalan talak atau sebagainya dalam keadaan isterinya rela dengan perkara tersebut.

2. Di sana hanya ada satu jalan sahaja tanpa ada jalan yang kedua yang membenarkan kepuasan seks dapat disalurkan. Jalan ini ialah perkahwinan yang menepati syarak. Oleh itu selain daripada perkahwinan yang sah di sisi syarak, maka ia adalah dilarang oleh syariat-syariat Allah dalam semua agama malahan syariat-syariat Allah Taala menganggap jalan selain perkahwinan adalah jalan-jalan yang mungkar. Al-Quran telah menerangkan perkara ini di dalam firman Allah Taala :

Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas
(Al-Mukminun ayat 5-7
)

Syariat Islamiah telahpun menerangkan bahawa perkahwinan yang menepati Islam sahaja yang dapat mengumpulkan antara lelaki dan wanita dengan kalimat Allah di atas akad yang berterusan dan perjanjian yang kukuh. Oleh itu setiap kehendak yang jauh daripada perkahwinan yang menepati syarak adalah satu penderhakaan terhadap Allah dan satu pelampauan batas terhadap garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah.

3. Seseorang isteri itu mempunyai hak di sisi syariat untuk menggugurkan hak-hak mereka yang sepatutnya mereka perolehi seperti memohon nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk bersama dengan suami bagi isteri yang bermadu. Perkara ini secara jelas telah ditunjukkan oleh isteri Rasulullah saw iaitu Sayyidah Saudah yang secara rela telah memberikan hari yang sepatutnya Rasulullah saw bersama dengannya kepada Saiyyidah Aisyah r.a. Seandainya kerelaan ini tidak menepati syarak maka pasti Rasulullah akan tidak bersetuju dengan tindakan Sayyidah Saudah.

Oleh itu setiap syarat yang dibuat yang tidak menafikan tujuan asas dan maksud utama bagi perkahwinan, maka syarat tersebut adalah sah dan tidak akan sama sekali mencacatkan akad nikah atau membatalkannya.

Dar al-Ifta’ (Majlis Fatwa Mesir) tidaklah bermaksud melalui fatwa ini untuk menyuruh masyarakat memilih jalan perkahwinan sebegini. Namun begitu, pihak Dar al-Ifta’ hanya bertanggungjawab untuk bersungguh-sungguh menerangkan hukum-hukum syarak yang betul dengan bersumberkan sumber-sumber hukum daripada Al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah saw serta pendapat para ulama muktabar daripada mazhab terdahulu.


Pendapat daripada Fadilah al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi


Perkahwinan Misyar adalah perkahwinan yang seperti kita selalu perhatikan. Cuma yang berbeza disini ialah istilah misyar yang digunakan. Sesuatu perkara itu bukanlah diambil hukumnya daripada nama dan ibaratnya tetapi dilihat kepada apakah yang terkandung didalam perkara tersebut. Terkadang manusia ada meletakkan nama yang lain daripada nama tersebut. Kita mengetahui bahawa terdapat dikalangan para suami yang berkahwin dengan isteri yang kedua tanpa memberitahu kepada isterinya yang pertama berhubung dengan perkahwinan tersebut. Perkahwinan seperti ini seolah-olah menyerupai nikah urfi walaupun bukanlah secara keseluruhannya. Terdapat juga sebahagian daripada para fuqaha’ yang berpendapat bahawa harus bagi si isteri untuk tidak menuntut hak kepada suami mereka seperti hak bermalam dirumah mereka.

Saya bukanlah dikalangan orang yang mencanangkan perkahwinan sebegini, dan saya juga bukanlah dikalangan orang yang menulis risalah untuk menyokong kearah perlaksanaan perkahwinan sebegini. Namun bukanlah saya mampu untuk mengharamkan sesuatu perkara yang telah dihalalkan oleh Allah swt. Bilamana ditanya kepada saya, apakah hukum perkahwinan sebegini? Saya pasti akan berkata saya tidaklah mengetahui akan perkahwinan sebegini. Tetapi cubalah kamu berikan gambaran secara jelas kepada saya berkenaan perkahwinan tersebut. Maka kata lelaki tersebut, Perkahwinan tersebut terdapat akad yang sah, terdapat saksi yang memenuhi syarat, terdapat juga didalam perkahwinan ini walimatulurus, dan pendek kata kesemua hukum yang ditetapkan syara’ memenuhi pekahwinan ini.

Bagaimana mungkin bagi seorang fakih yang mendengarkan permasalahan sebegini akan mengatakan perkahwinan sebegini adalah haram? Walaupun ianya mengundang ketidak puasan hati dikalangan masyarakat. Terdapat perkara yang tidak disepakati oleh masyarakat tetapi ianya adalah harus bagi syara’. Contohnya ialah seperti perkahwinan antara seorang hamba dengan tuannya Perkara ini tentulah tidak mendapat persetujuan daripada masyarakat tetapi jika ianya sempurna syarat-syaratnya dan rukunnya maka tentulah saya akan mengatakan bahawa perkara adalah harus bagi syara’.

Contoh lain yang dapat saya berikan disini ialah perkahwinan seorang perempuan dengan seorang lelaki yang sudah tua seperti datuknya (hanya kerana lelaki itu kaya) tentulah akan mendapat tentangan daripada masyarakat. Adakah perkahwinan antara perempuan muda tersebut dengan lelaki tua itu haram? Jawabnya Tidak! Kita tidak pernah mengatakan perkara itu haram. Bahkan saya mengatakan perkara ini dibenci oleh masyarakat.Tetapi untuk mengatakan sesuatu perkara itu haram atau halal bukanlah satu perbuatan yang mudah. Mahu tidak mahu bagi si alim perlulah senantiasa takutkan Allah dan senantiasa berjaga-jaga didalam mengistinbatkan (mensabitkan) sesuatu hukum berkaitan dengan agamanya. Kita tidak mengatakan bahawa perkahwinan sebegini haram melainkan jika terdapatnya dalil-dalil yang menguatkan bahawa perkahwinan sebegini adalah haram!!


Pendapat daripada Fadhilah al-Syeikh Dr. Ali Jum’ah Al-Syafie
(Mufti Mesir Sekarang)

Syarat perkahwinan di dalam Islam adalah perlunya ada ijab dan qabul serta tidak bercanggah dengan larangan syara’ pada suami, isteri, wali, dan saksi. Apabila telah sempurna syarat-syarat dengan akad di antara lelaki dan wanita, maka sempurnalah pernikahan tersebut. Sebaliknya apabila tidak cukup syarat tersebut, maka pernikahan tersebut terbatal. Orang Islam diminta untuk menunaikan syarat yang telah dipersetujuinya. Oleh itu seorang wanita dibenarkan untuk menggugurkan hak yang berhak diperolehinya dalam masalah kewajipan suami untuk bermalam dengan si isteri kerana Sayyidah Saudah Binti Zam`ah telah tidak mengambil hak bermalam bersama Rasulullah SAW dan memberikan hak tersebut kepada ‘Aisyah R.A. Wanita juga dibenarkan untuk memulangkan maharnya atau nafkah yang berhak diperolehinya kerana Allah SWT berfirman di dalam surah An-Nisa’ ayat 4 yang bermaksud :

Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.


Pendapat Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaily
(Universiti Damsyiq, Syria)

Perkahwinan Misyar adalah satu perkahwinan dimana seorang wanita tidak mengambil sebahagian daripada hak-haknya. Perkahwinan ini walaupun tidak menyampaikan hasrat dan maksud perkahwinan, namun perkahwinan ini harus tetapi makruh dan tidak sepatutnya diamalkan melainkan pada beberapa keadaan tertentu.

Telah berkata Prof Dr Wahbah Az-Zuhaily, pensyarah Syariah di Universiti Damsyiq, Syria. “Perkahwinan disyariatkan oleh Allah SWT untuk merealisasikan beberapa tujuan”. Di antaranya adalah :

1. Untuk menambah keturunan dan memelihara kelangsungan zuriat.

2. Adalah untuk mendatangkan kebahagiaan,

3. Memelihara diri daripada terjebak ke kancah maksiat dan zina

4. Mewujudkan kerjasama dan keserasian hidup antara lelaki dan wanita untuk kehidupan berumahtangga.

5. Perkahwinan juga adalah untuk mewujudkan kebahagiaan, dan ketenangan di antara suami dan isteri selain bertujuan untuk mendidik anak-anak dengan didikan yang sempurna.

Perkahwinan Misyar juga merealisasikan sebahagian daripada tujuan-tujuan perkahwinan walaupun tidak kesemuanya. Isteri tidak mengambil haknya di dalam nafkah, tempat tinggal, sekiranya suami mempunyai isteri lain. Tujuan yang jelas daripada pernikahan ini adalah untuk bersenang-senang (melunasi fitrah batin isteri) samada si suami jelas mengambil faedah daripada harta isteri manakala si isteri dapat menikmati kehidupan berumah-tangga. Pada hemat saya, hukum perkahwinan misyar ini adalah sah sekiranya cukup dan sempurna rukun-rukun dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak iaitu kerelaan wali, saksi dan pemakluman kepada umum. Sekiranya tidak cukup salah satu daripada syarat-syarat ini maka tidak sah di sisi para fuqahak.

Tetapi, sebagai jaminan kepada isteri dan hak-haknya dalam jangka masa yang panjang, hendaklah isteri tersebut berwaspada dengan mendaftarkan perkahwinan tersebut kepada pendaftaran rasmi dengan pihak berkuasa atau yang bertanggungjawab. Hal ini kerana, sekiranya si suami meninggal dunia, dituntut daripada si isteri ‘iddah dan berhak terhadap warisan harta pusaka suami. Si isteri pula telah berubah fikiran dan menuntut haknya di dalam nafkah atau bahagian yang wajib daripada harta pusaka suami. Selagimana pernikahan ini tidak merealisasikan semua tujuan dan motif perkahwinan, kemanusiaan dan kemasyarakatan didalam keadaan yang sempurna dan optimum, maka saya memberikan peringatan dan tidak menggalakkan pernikahan ini dan menghukumkan ia sebagai makruh.

Sesungguhnya perkahwinan adalah bersendikan kepercayaan yang padu. Namun begitu, sekiranya sesuatu pasangan masih tetap ingin mendirikan rumah tangga mereka dengan perkahwinan jenis ini, maka diharuskan tetapi mereka berdua mesti menanggung kesan dan akibat daripada perkahwinan tersebut seperti salah seorang daripada keduanya tidak adil didalam menjaga hak-hak dan melaksanakan kewajipan khususnya di dalam hubungan suami isteri. Pada keadaan begini, ianya menjadi haram walaupun aqad perkahwinan tersebut sah.

*Artikel asal adalah dalam Bahasa Arab, sila rujuk dalam www.islamonline.com

P/S: Diharapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat tidak mudah melatah dengan segala persoalan berkaitan dengan hukum-hakam Islam, sebaliknya bertanyalah kepada pihak yang sepatutnya (para Alim Ulama’) bagi mendapatkan penjelasan yang sebenar!


MULAHAZAT :
Soalan Peperiksaan "Akhwal Syakhsiah" , Tahun 2, Fakulti Syariah Undang-Undang, Kaherah tahun ini adalah berkaitan Perkahwinan Misyar.

Antara Perjuangan dan Airmata

Bersama Haji Khairul Azhar bin Kamaruddin (berbaju hitam) di hadapan Pejabat PMRAM
Oleh : typeace

Jumaat yang lalu, 16 Jun menyaksikan seorang lagi anak pejuang Islam meninggalkan sejuta kenangan yang dilalui di Kota Kaherah, Bandar yang sesak dengan khazanah ilmu dan para ilmuan serta ulama muktabar. Gudang dan pasar ilmu yang bertebaran menjadi saksi bahawa semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh insan yang bergelar hamba Allah ini terpaksa melangkah pergi.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah hakikat yang perlu diterima oleh semua manusia. Sebagai hamba Allah, yang bermula pasti akan berakhir. Namun, perjumpaan terakhir Badan Pengurus PMRAM bersama Haji Khairul Azhar bin Kamaruddin yang berasal dari Negeri Sembilan amat memilukan.

Dalam nada sebak hanya Allah yang tahu betapa sayangnya beliau terhadap perjuangan Islam yang masih panjang dan masih belum ada penghujungnya. Meninggalkan Kota Bandar Mesir amat pedih bagi dirinya. Namun inilah semangat seorang pejuang yang harus dicontohi oleh generasi pelapis yang telah meninggalkan Al-Azhar sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Kenangan bersama Haji Khir (nama samaran) semasa menjawat sebagai naqib Badan Pengurus PMRAM amat memberikan kesan yang mendalam. Sebagai seorang murabbi yang ingin mendidik anak-anak dan adik-adiknya untuk terus berjuang di atas suatu landasan yang sebanr amat dikagumi. Justeru, inilah sedikit pengorbanan yang beliau telah anugerahkan untuk generasi ulama sehingga menjadikan barisan saf kepimpinan khususnya mahasiswa Al-Azhar mengerti nilai dan erti Islam yang sebenar.

Apapun, kami mendoakan kesejahteraan Haji Khir di dalam menempuhi secebis lagi keringat pengorbanan perjuangang yang terus mekar di medan sebenar iaitu Malaysia.

Saturday, June 17, 2006

Di Sebalik Keghairahan Piala Dunia 2006

Oleh : typeace

Semenjak seminggu yang lalu, bahang Piala Dunia 2006 telah bermula. Selepas Perancis menjadi tuan rumah empat tahun yang lalu, kini giliran Jerman menggantikan tempat pula. Di Mesir, perlawanan akan berlansung di dalam tiga sesi. Pertama, bermula tepat jam 4.00 petang, kemudian 7.00 petang dan 10.00 malam untuk perlawanan terakhir.

Saya tidak pernah menyalahkah masa yang ditentukan oleh pihak pengurusan. Ketetapan tetap ketetapan. Namun, disebalik ketetapan itu ada yang perlu dinilai. Disebalik keghairahan menonton Piala Dunia, kekadang suatu tontonan akan menjadi haram disebabkan beberapa faktor :-

1. Tidak menghiraukan azan Maghrib yang berkumandang sekitar jam 7.55 petang. Lantas terus menonton.
(Budak Al-Azhar pun dah tak pandai sembahyang)
2. Memaki – hamun pemain dengan mengeluarkan kata-kata kesat di atas kesilapan yang dilakukan pemain
( Hai! Awak tu pandai main ke)
3. Menjerit terlolong-long “Gol! Gol!”
(Biarlah berpada-pada jeritan itu)

Biar saya jadi seorang penulis jujur. Inilah resam dan adat. Kekadang siaran Piala Dunia ini menjadikan manusia yang dididik dengan pendidikan agama sehingga peringkat universiti pun lalai dan leka. Anda yang terasa, harap berubah. Saya pasti penulisan furuk dakwah. Namun, saya tidak akan menyalahkah diri saya selepas ini kerana tidak menegur anda.

Jangan jadi “ulama sesat”. Saya palingkan pandangan untuk anda. Saya benci sangat dengan sikap kalian. Di manakah identiti Islam yang sebenar. Saya tidak hairan jika sehingga kini Islam masih belum lagi dihormati kerana segelintir pelajar Islam
(yang belajar di Universiti Al-Azhar pun sama perangainya.)

p/s : Bersalahkah menjadi manusia yang paling dibenci oleh orang lain.

Bijak Bahasa Siri Kedua

“Bijak Bahasa” kali ini akan mengkaji beberapa elemen di dalam penggunaan bahasa seharian kita. Sering dimaklumi bahawa, kekeliruan ejaan yang seakan-akan hampir sama menyebab kita seringkali syak terhadap dua ejaan yang akan menyebabkan kita terkandas.

Berikut disenaraikan beberapa kekeliruan ejaan yang sering timbul di kalangan pengguna bahasa Melayu :-

1. agung dan agong

Dalam bahasa Melayu, mengikut hokum keselarasan vokal, vokal ‘a’ akan berpasangan dengan vokal ‘u’ (a-u). Oleh itu, kata ini sepatutnya dieja
‘agung’.

Contoh :
mesyuarat agung, seniman agung, pemimping agung, perhimpunan agung

Tetapi terkecuali untuk Yang di-Pertuan Agong yang menggunakan vokal ‘o’ untuk kata agong

2. pamir atau pamer

Ejaan yang tepat adalah pamer kerana kata tersebut ialah pinjaman daripada bahasa Indonesia.

3. istirehat atau istirahat

Ejaan yang tepat ialah istirahat. Kata tersebut ialah kata serapan daripada bahasa Arab. Itirahat bermaksud rehat.

Contoh : Waktu istirahat ialah pukul 12.30 tengah hari.

4. Ramadhan atau Ramadan

Ejaan yang tepat adalah Ramadan, iaitu kata yang berasal daripada bahasa Arab.

Contoh : Semua umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan.

5. dialog atau dialog

Ejaan yang tepat ialah dialog, iaitu kata serapan daripada bahasa Inggeris (dialogue). Cara penyebutannya adalah mengikut bunyi huruf bahasa Melayu.

6. sessi atau sesi

Sesi adalah ejaan yang tepat dalam bahasa Melayu kerana tergolong dalam kata serapan daripada bahasa Inggeris.

(Ihsan : Dewan Bahasa dan Pustaka)

Wednesday, June 14, 2006

Bijak Bahasa Siri 1

Saya bukan ahli sasterawan. Namun, saya mengambil berat di dalam penggunaan bahasa sama ada di dalam penulisan atau pengucapan awam. Pengalaman menghadiri Konvensyen Bahasa dan Pendidikan Nasional Kebangsaan lima bulan lalu banyak memberikan pendedahan kepada saya tentang nilai bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Buat pertama kali, saya ingin ketengahkan beberapa siri "Bijak Bahasa". Semoga cita-cita saya di dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda tercapai. Di dalam siri pertama, saya cuba membawa pembaca menerokai beberapa kecelaruan mengeja di dalam kata yang biasa kita gunakan harian.

SALAH

ampangan - ejaan yang betul adalah empangan
anggrik - ejaan yang betul adalah anggerik
bahru/bharu - ejaan yang betul adalah baharu/baru
binte - ejaan yang betul adalah binti
cendera mata - ejaan yang betul adalah cenderamata
durhaka - ejaan yang betul adalah derhaka
hajjah - ejaan yang betul adalah hajah
kobis - ejaan yang betul adalah kubis
lembab - ejaan yang betul adalah lembap
murtabak - ejaan yang betul adalah martabak
pendita - ejaan yang betul adalah pendeta
raksaksa - ejaan yang betul adalah raksasa
taugeh - ejaan yang betul adalah tauge
tauladan - ejaan yang betul adalah teladan
(Sumber : Lembar Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia)

Terima Kasih Khamsah Wa Sab-ien

Oleh : typeace

Dua kali pernah terjadi. Lewat sebulan yang lalu; dua minggu yang lalu. Parah. Mungkin sangat parah. Mana tidaknya, di saat itulah Khamsah Wa Sa-ien amat berguna pada diri saya. Pertama kali menyeluk saku, saya pasti di dalam poket hanya tinggal Khamsah Wa Sab-ien. Ini bermakna saya tidak layak untuk menaiki kenderaan selain daripada bas yang hanya bernilai Khamsah Wa Sab-ien atau lebih murah daripada itu.

Kelakar memang kelakar. Mungkin itu suatu yang lucu. Saya mempunyai prinsip yang satu. Jika tiada wang kecil di dalam poket, wang bernilai 5, 10, 20 , atau sebagainya tidak akan saya pecahkan. Mengapa? Takut – takut tidak sampai sehari nilainya akan lenyap berkurangan. Namun, ianya bukanlah semata-mata menunjukkan saya terlalu kikir dalam perkar ini. Prihatin.

Saya ingin kembalikan beberapa nostalgia lampau. Pernah sekali, saya terpaksa berhati-hati memilih bas untuk pulang ke rumah. Saya pasti, jika pulang dengan bas 133, 1, 33, atau sebagainya (bas pendek) pastinya nilainya LE 1.00. Justeru, saya tidak akan menaikinya kerana saya hanya ada LE 0.75.

Di Kota Kaherah ini amat berbeza dengan Bandar Johor Bahru. Jika kita menaiki kenderaan awam (contohnya: bas), kita perlu membayar mengikut kadar nilai yang ditetapkan mengikut jenis bas. Berbeza dengan situasi Malaysia yang mempertaruhkan jarak perjalanan sebagai nilai kadar bayaran.

Perbandingan :

(i) Di Mesir, perjalanan daripada Gamik ke Darasah (Kuliah), dengan jarak jauh hampir 30 kilometer hanya bernilai LE 0.25 atau LE 0.50 (Jika menaiki 80 atau 65)
(ii) Di Malaysia, perjalanan daripada Bandar Baru Uda ke Bandaraya JB, dengan jarak jauh hampir 15 kilometer bernilai RM 1.70.

Walaupun kadar tambang amat murah di Mesir, ada sesetengah individu yang terlalu mengambil berat berkaitan nilai wang. Ada sesetengahnya yang langsung tidak akan bertolak ansur hanya dengan LE 0.25. Ini adalah suatu pandangan. Anda bagaimana?

(Khamsah Wa Sab-ien : LE 0.75)

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON

KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam.

Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib.

Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan. Kebetulan Salah ad-Din yang berasal dari Syria di mana setiap bandar mempunyai kubu kota masing-masing telah membawa konsep sedemikian ke Mesir.

Salah ad-Din menggunakan teknik binaan kubu paling moden ketika itu untuk mendirikan Kubu Kota di Kaherah. Ia memiliki menara bulat yang dibina menjulur dari dinding dan membolehkan pertahanan melambung api dari dinding tersebut. Ukuran dinding adalah 10 meter tinggi dengan ketebalan tiga meter.

Untuk memberikan kemudahan air kepada penghuni Kubu Kota, Bir Yusuf (Perigi Salah ad-Din) telah digali sedalam 87 meter. Perigi ini mempunyai lubang yang cukup besar untuk memuatkan haiwan turun ke dalamnya dan menghidupkan sistem jana kuasa air. Malangnya, perigi ini sudah ditutup dan pelancong tidak berpeluang melihat perjalanan operasinya.

Catatan sejarah menunjukkan kebanyakan kubu dibina selepas pemerintahan Salah ad-Din tetapi sebahagiannya dimusnahkan semasa pendudukan British. Selepas kemangkatan Salah ad-Din, anak saudaranya Al-Kamil memperkukuhkan kedudukan Kubu Kota dengan membesarkan beberapa menara, antaranya Burg al-Haddad (Blacksmith Tower) dan Burgar-Ramlab (Sand Tower) kepada tiga kali ganda berbanding ukuran lama. Kedua-dua menara ini mengawal laluan sempit antara Kubu Kota dengan Bukit Muqattam. Bahkan, Al-Kamil turut mendirikan beberapa menara utama di sekeliling dinding dan tiga daripadanya kelihatan di kawasan hadapan Kubu Kota. Struktur besar ini mempunyai ukuran 25 meter tinggi dan 30 meter lebar.

Pada 1218, semasa kemangkatan ayahandanya, Sultan al-Kamil telah berpindah dari kediamannya dan mendirikan istana di Kubu Kota yang kini merupakan Tembok Selatan (Southern Enclosure). Istana tersebut tidak bertahan lama sehinggalah pembinaan Istana Abdeen pada pertengahan abad ke-19. Ia kemudian diduduki oleh kerajaan Mesir.

Apabila Mamluk berkuasa sepenuhnya ke atas pemerintahan Ayyubid pada 1250, Sultan Baybars al-Bunduqdari (1260-1277) berpindah ke istana al-Kamil. Beliau mengasingkan istana dengan membina dinding yang memisahkan kubu kepada dua tembok yang menghubungkan Bab al-Qullah. Kawasan yang menempatkan istana ialah Tembok Selatan manakala kawasan Kubu Kota yang lebih besar ialah Tembok Utara.

Sultan an-Nasir Muhammad yang memerintah dalam tiga era berbeza (1294 hingga 1295, 1299-1309 dan 1310-1341) telah meruntuhkan beberapa bangunan awal di Tembok Selatan dan menggantikannya dengan binaan yang tersergam indah. Hanya masjid An-Nasir Mohammed yang mula dibina pada 1318 dan siap sepenuhnya pada 1355 terletak berdekatan dengan tembok pintu kota. Dipercayai Sultan an-Nasir Muhammad turut mendirikan Dewan Keadilan (Hall of Justice) dengan bangunan yang tersergam indah dan kubah berwarna hijau. Kemudiannya beliau turut membina Qasr al-Ablaq (Striped Palace) dengan batu marmar berjalur hitam dan kuning. Istana ini digunakan untuk majlis-majlis rasmi dan ketika mengendalikan hal-ehwal negara. Ia mempunyai tangga menuju ke Tembok Bawah dan Kandang Diraja yang menempatkan 4,800 kuda peliharaannya.

Mesir berada di bawah pengaruh Empayar Uthmaniah antara tahun 1517 hingga awal abad ke-20 kecuali ketika zaman pendudukan Perancis. Tembok Bawah yang menempatkan kandang kuda An-Nasir turut dikenali sebagai al-Azab kerana kebanyakan tentera Uthmaniah (rejimen Azab) beroperasi di bahagian ini. Tentera yang berkhidmat dengan kerajaan Uthmaniah tidak dibenarkan berkahwin hinggalah mereka bersara. Perkataan Azab boleh diterjemahkan sebagai ‘bujang’.

Masyarakat Uthmaniah membina semula dinding yang memisahkan Tembok Utara dan Selatan termasuklah Bab al-Quallah. Mereka juga membina menara terbesar di Kubu Kota iaitu Burg al-Muqattam yang merupakan pintu masuk ke Kubu Kota melalui Lebuh Raya Salah Saalem. Menara ini mempunyai ketinggian 25 meter dan berdiameter 24 meter. Pada 1754, Uthmaniah mendirikan semula dinding di Tembok Bawah dan memperkukuhkan pintu kubu kota, Bab el-Azab.

Merosot
Pada akhir abad ke-16 hinggalah ketibaan zaman pendudukan Perancis, perkhidmatan ketenteraan Uthmaniah semakin merosot. Ketika ini askar Azab mula mendirikan rumah tangga dan mereka dibenarkan membina rumah di sekitar kubu. Pada pertengahan abad ke-17, Kubu Kota menjadi kawasan yang menempatkan kedai dan perniagaan komersial termasuklah rumah mandi awam dan jalan kecil yang berliku-liku.

Muhammad Ali Pasha ialah pemerintah yang bertanggungjawab membawa arus kemodenan ke Mesir dan mula berkuasa pada 1805. Beliau melakukan banyak pembaharuan pada bangunan dan Kubu Kota. Beliau membina semula dinding di bahagian luar yang semakin usang. Selain itu, Muhammad Ali Pasha menterbalikkan fungsi Tembok Utara dan Selatan dengan menjadikan Tembok Utara sebagai kawasan persendirian manakala Tembok Selatan terbuka kepada orang awam. Masjid Muhammad Ali dibangunkan dengan gaya seni bina Barok Uthmaniah yang menyerupai beberapa masjid terhebat di Istanbul, Turki.

Masjid Selatan di Hawsh ialah Istana Gawharah yang didirikan antara tahun 1811 dan 1814 yang menempatkan kerajaan Mesir hinggalah mereka kemudian berpindah ke Istana Abdeen. Hari ini, Muzium Nasional Polis terletak berdekatan dengan Kubu Kota. Ia dibina di atas tapak Qasr al-Ablaq yang kedudukannya bertentangan dengan Masjid an-Nasir Muhammad.

Beberapa langkah dari Bab al-Qullah di Tembok Utara kelihatan Istana Harem Muhammad Ali dengan gaya seni bina Uthmaniah yang dibina pada 1827 dan menempatkan keluarga diraja hinggalah pada tahun 1874 sebelum mereka berpindah ke Istana Abdeen. Ia digunakan sebagai hospital tentera semasa zaman pendudukan British. Pada 1946, istana ini telah berubah menjadi Muzium Tentera Mesir yang menghimpunkan artifak dan sejarah ketenteraan di Mesir.

Di belakang pintu muzium tersebut, terdapat arca patung Sulayman Pasha yang pada asalnya didirikan di pusat bandar. Berdekatan dengan muzium itu ialah Muzium Kereta Kuda (Carriage Museum) yang merupakan tapak bangunan yang menempatkan para pegawai British. Konsep yang berdasarkan kepada Muzium Kereta Kuda di Bulaq itu menempatkan koleksi lapan kereta kuda yang digunakan keluarga diraja Muhammad Ali. Burg at-Turfah (Masterpiece Tower) iaitu menara terbesar yang dibina oleh Al-Kamil pada 1207 terletak di bahagian belakang muzium tersebut.

Binaan struktur dan monumen yang menjadi bukti kepada sejarah tamadun Islam terus terpelihara dan ia menjadi salah satu tarikan utama pelancong ke Kaherah, Mesir yang turut menyimpan pelbagai khazanah Islam hingga ke hari ini.

Monday, June 12, 2006

Kerana Dia Sahabat

Khusus buat Zulkarnain bin Ramlan yang sedang di dalam pertarungan menghadapi ujian dari Allah SWT.

Semalam,
Kita sama-sama ketawa
Kita sama-sama cerita
Kita sama-sama berduka

Semalam,
Jiwamu seperti aku
Bercerita tentang PM
Bercerita tentang timbalannya
Bercerita tentang menterinya

Semalam,
Kau tidak seperti hari ini
Dalam sedar atau tidak
Kau membisu di sisi

Hari ini,
Tidak sama lagi seperti semalam
Kau ditimpa sakit misteri
Yang sedang gagah kau tempuhi

Aku menangis hari ini,
Berfikir tentang dirimu lagi
Ujian Allah kah ini?
Moga kau tabah menghadapi

Jangan kesali penderitaan ini
Syurga Allah sedia menanti
Bagi dirimu
Hamba yang redha dengan ketentuan-Nya.


Syafiq Zulakifli
(typeace)

Sunday, June 11, 2006

Kerana Ayam Cookies


Semenjak menuruni flight SQ 492 pada 6 Mac yang lalu, saya jarang-jarang dapat menikmati makanan yang paling digemari. Ayam. Banyak cerita pasal ayam. Sebelum "influanza tuyur" sejak beberapa bulan yang lalu, saya tidak dapat menikmati hidangan yang paling menyelerakan. Mungkinkah nikmat ayam ini ditarik atau sekadar menguji manusia bahawa ikan pun perlu mengambil tempat sebagai sajian pilihan. Biarpun begitu, saya tetap menikmati ayam "cookies" yang amat digemari dan mudah untuk dapatkan. Pergi sahaja ke Barakat maka terjumpalah plastik Cookies Ayam.

Dua hari yang lalu, sementelah menyempurnakan enam madah imtihan yang banyak mengundang misteri, saya disajikan dengan Nasi Ayam Ala Iqbal Restaurant. Peh! Suatu nikmat yang luar biasa. Memasaknya bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran. Bermula dengan merebus ayam ke dalam periuk besar seterusnya menanak nasi di atas dapur gas, banyak perkara baru yang saya dapat timba. Mungkinkah keseronokan memasak ini boleh dijadikan sebagai rutin harian atau sekadar menyeronokkan badan yang lesu-lesu ini. Biarpun penat, namun kepuasan tetap melanda diri.

Masa tetap berjalan. Esok imtihan kedua terakhir. Madah "Ahwal Syakhsiah". Best sangat madah ini. Kena kaji dalam-dalam agar mudah diperbahaskan. Di dalamnya juga terkandung Nikah Mis-yar yang sedang diperbahaskan oleh ulama terkini, Nikah Mut'ah, Nikah 'Urfi dan bermacam-macam lagi. Tidak ketinggalan diselitkan Bab Pertunangan dan Nikah Cerai agar mahasiswa Al-Azhar (khususnya Syariah) mengkaji sedalam-dalamnya masalah furu' ini.

Biar sucsess selalu. Imtihan dah nak melabuhkan tirai...